Mencari Hasil Ilmu

Monday, February 16, 2009

Speaker Iran ingatkan Amerika

Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani mengingatkan Amerika Syarikat (AS) supaya berhati-hati sekiranya ingin berurusan dengan Iran, sambil menyifatkannya ia seumpama bermain catur dan bukannya seperti perlawanan tinju.

Menurut beliau, masalah antara dua negara tersebut tidak boleh diselesaikan hanya dengan kata-kata.

''AS perlu mengubah cara tindakannya terhadap Iran,'' ujarnya.

Ingatan beliau itu disuarakan melalui agensi berita rasmi Iran, IRNA semasa lawatan sekumpulan wartawan agensi berita itu, di sini semalam.

Ali berkata demikian selepas Presiden AS, Barack Obama menyatakan kesediaan negara kuasa besar itu untuk memulihkan hubungan dengan Iran, setelah sekian lama hubungan kedua-dua negara tegang.

Obama pada minggu lepas memberi jaminan akan mempertimbangkan hubungan Washington AS dengan Iran.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, sebelum ini menyambut baik hasrat AS itu, namun beliau berkata, ia mestilah dibuat dalam keadaan saling hormat-menghormati.

Pegawai-pegawai kerajaan Iran berpendapat, kenyataan Ahmadinejad itu bermaksud AS perlu menghentikan tuduhan tidak berasas terhadap republik Islam itu dalam usaha mencapai rundingan dua hala.

AS menuduh Iran menyokong keganasan dan membina senjata nuklear secara rahsia, namun kedua-dua tuduhan tersebut dinafikan Iran.

Ali dalam pada itu berkata, tindakan AS itu hanya menambahkan rintangan dalam pemulihan hubungan baik antara kedua-dua negara berseteru itu.

''AS sering menuduh Iran menyokong kumpulan-kumpulan pengganas, mencabuli hak Iran dan berkali-kali mendakwa Iran membangunkan senjata nuklear rahsia,'' katanya.

Sebagai balasan, Iran pula menuduh AS secara rahsia menyokong People Mujahedeen, sebuah organisasi yang kononnya ditujukan khas untuk menggulingkan kerajaan Iran.

Bagaimanapun AS menafikan dakwaan itu atas alasan kumpulan tersebut juga salah satu kumpulan pengganas.

Pegawai kerajaan Iran menyifatkan tiada rundingan akan berjaya antara kedua-dua negara berkenaan, melainkan Washington melihat Iran setanding negara-negara lain.