Mencari Hasil Ilmu

Thursday, February 12, 2009

sekatan ekonomi amerika pemangkin kejayaan IRAN

'TONGKAT sakti' pemimpin Iran terus memeranjatkan dunia, apa lagi selepas ia melancarkan satelit komunikasi yang pertama ke orbit minggu lalu ' satu lagi mercu tanda bagi meraikan ulang tahun Revolusi Iran ke-30 pada setiap 11 Februari.

Laluan ditempuh rakyat Iran selepas membebaskan diri daripada pemerintahan diktator Shah Iran pada 1979 penuh onak dan duri. Satu persatu cabaran dihadapi dan paling memeritkan sekatan ekonomi yang dikenakan kuasa dunia ke atas kepemimpinan Islam yang berani menumbangkan pemerintah yang pro-Amerika.

Duta Iran ke Malaysia, Mehdi Khandaqh Abadi, berkata sebelum revolusi pada 1979, rakyat Iran langsung tidak mempunyai sebarang kebebasan. Segala pergerakan dan tindak-tanduk mereka tertakluk kepada kehendak Shah Iran.

"Ketika itu tidak ada kebebasan bersuara, meluahkan perasaan atau menikmati kebebasan untuk mencipta kehebatan dalam dunia ilmu dan teknologi seperti negara lain.

"Suasana berubah selepas revolusi yang meletakkan Ayatollah Khomeini sebagai pemimpin pertama Republik Islam Iran. Dunia boleh melihat, walaupun rakyat kami ditekan dengan pelbagai tindakan serta sekatan, kami bukan lagi satu bangsa yang lemah, sebaliknya kami menjadikan setiap rintangan sebagai peluang untuk mencipta kejayaan lebih besar," katanya.

Revolusi Iran pada Februari 1979 menyaksikan pemerintahan Shah Iran, Reza Pahlavi, yang pro-Amerika ditumbangkan rakyatnya sendiri dan menggantikan kuasa diktator itu dengan Khomeini, seorang ulama yang anti-Amerika.

Kewujudan Republik Islam Iran menaikkan kemarahan Amerika Syarikat dan pertelingkahan antara kedua-dua negara berlaku tidak lama selepas revolusi berakhir.

"Apa yang penting dalam perubahan pemerintahan ini ialah sokongan ke atas isu Palestin, yang mana jika Shah Iran bukan saja menyokong, malah memberi bantuan kepada Israel selepas rakyat merampas kuasa, kami pula memberi sokongan dan bantuan kepada Palestin," katanya mengenai perubahan dasar yang diperkenalkan kepemimpinan Khomeini selepas 1979.

Perubahan tidak berhenti setakat itu. Landskap pemerintahan, pertahanan, ekonomi dan sosial turut mengalami perubahan besar, terutama selepas pertelingkahan dengan Amerika, berikutan tindakan kuasa dunia itu memberi perlindungan kepada Shah Iran yang mencetus kemarahan sekumpulan pelajar Iran menawan Kedutaan Amerika di Teheran, pada 4 November, 1979.

Kumpulan yang menjadi pengikut setia Khomeini itu menawan 52 diplomat Amerika dan menahan mereka selama 444 hari. Tindakan itu dilihat ramai sebagai tamparan kepada Amerika apa lagi beberapa operasi menyelamat mereka gagal.

Krisis berakhir dengan kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Algiers di Algeria pada 19 Januari 1981, tetapi kesannya meninggalkan impak mendalam ke atas hubungan diplomatik dan ekonomi Iran.

Ketika zaman pemerintahan Shah Iran, Amerika adalah rakan dagang utama Iran dalam bidang ekonomi dan pertahanan serta terbabit aktif dalam proses pemodenan infrastruktur dan industri di Iran. Lebih 30,000 rakyat Amerika bekerja di Iran ketika itu.

Bagaimanapun, suasana dan kepesatan kemajuan Iran terencat selepas revolusi terutama selepas seluruh aset Kerajaan Iran dibekukan ketika golongan pelajar menawan Kedutaan Amerika di Teheran.

Namun, selepas Perjanjian Algiers, sebahagian daripada aset itu diserahkan semula, tetapi hubungan dengan Amerika semakin buruk apabila kuasa dunia itu mengenakan sekatan ke atas Iran untuk membeli makanan, produk perubatan dan barang ganti.

Sekatan ke atas Iran dikenakan sejak 1995, apabila Kerajaan Amerika melarang mana-mana syarikatnya mengadakan sebarang hubungan dagang dengan Iran dan pada masa sama, mengharamkan kontrak untuk membiayai pembangunan sumber minyak di Iran.

Daripada Akta Sekatan Iran dan Libya pada 1996, Kongres Amerika mengubahnya menjadi Akta Sekatan Iran (ISA) pada 2006 dan ia dilanjutkan sehingga 31 Disember 2011.

"Tetapi apa yang berlaku ada hikmahnya. Kami menjadikan sekatan itu sebagai satu peluang untuk menjadi negara yang boleh berdiri di atas kaki sendiri. Hari ini kami tidak lagi menjadi pengimport gandum utama dari Australia, tetapi menanam sendiri gandum dan pelbagai produk pertanian lain.

"Kekuatan kami dalam bidang sains dan teknologi semakin menyerlah, industri perubatan kami mencipta banyak penawar, termasuk untuk penyakit kanser dan Aids dan industri pembangunan nuklear untuk tujuan pembangunan.

"Walaupun terus dikenakan tindakan dengan pelbagai fitnah, terutama dari Amerika, tidak ada siapa pun termasuk badan penyiasat IAEA boleh membuat laporan bahawa ada teknologi nuklear kami digunakan untuk tujuan jahat.

"Terbaru, Iran menjadi negara Islam pertama melancarkan satelit komunikasi ke orbit. Ini semua menjadikan ulang tahun ke-30 revolusi ini diraikan dengan penuh kesyukuran kerana rakyat kami terus bersatu menjulang demokrasi yang kami kecapi pertama kali pada 11 Februari 1979," katanya.