Mencari Hasil Ilmu

Monday, February 09, 2009

Palestin harapkan Obama

Rakyat Palestin menaruh harapan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama untuk memastikan proses damai tidak berkubur apabila bekas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dijangka memenangi pilihan raya Israel pada Selasa ini kembali berkuasa.

Penduduk Palestin masih mengingati pemimpin Parti Likud itu sebagai Perdana Menteri Israel yang berusaha sedaya upaya untuk menggagalkan perjanjian Oslo mengenai autonomi Palestin, semasa penggal pertama beliau pada 1996-1999.

Tinjauan pendapat umum secara konsisten menunjukkan Parti Likud bakal memenangi kerusi terbanyak di Parlimen pada pilihan raya Selasa ini, sekali gus meletakkan Netanyahu sebagai calon utama untuk menjadi Perdana Menteri akan datang.

Netanyahu menentang penubuhan sebuah negara Palestin, agenda utama dalam rundingan damai yang terbengkalai antara Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dengan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) bagaimanapun, mengambil sikap berhati-hati untuk tidak menyuarakan sokongan terbuka kepada mana-mana calon.

Mahmoud menegaskan, pihak Palestin akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dipilih oleh rakyat Israel, selagi "pemilihannya tidak membawa kita balik ke titik permulaan."

Pergerakan Hamas yang memerintah Genting Gaza juga tidak menyuarakan sokongan kepada mana-mana calon dan menyifatkan calon-calon Israel sebagai "semuanya sama belaka."

"Kami tidak menjangka sebarang perubahan dalam entiti penjenayah itu," kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhum yang merujuk kepada rejim Yahudi tersebut.

Netanyahu pula menggesa agar kerajaan Hamas di Genting Gaza digulingkan dan berpendapat serangan Israel selama 23 hari ke atas wilayah Palestin itu telah dihentikan terlalu awal dengan Hamas dibiarkan terus berkuasa.

Perunding damai Palestin, Saeb Erakat berpendapat, masyarakat antarabangsa, terutamanya pentadbiran Obama hendaklah bersedia mengambil pendirian tegas sekiranya kerajaan baru Israel nanti membelakangkan rundingan damai.

"Jika perkara itu berlaku, AS, Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menegaskan tidak ada lagi rakan untuk berdamai di Israel," kata Saeb.

Beliau memberi amaran, jika kerajaan Israel akan datang meneruskan kegiatan pembinaan penempatan Yahudi dan menolak penyelesaian berdasarkan dua negara (Israel dan Palestin), proses damai akan berkubur.