Mencari Hasil Ilmu

Saturday, February 07, 2009

IRAN MELANCARKAN SATELIT BARU

Sebenarnya tiada apa yang memeranjatkan apabila Iran berjaya melancarkan satelit buatan sendiri pada hari Selasa lepas. Satelit yang diberi nama Omid (Harapan) berjaya dilancarkan ke orbit dengan menggunakan pelancar roket Safir-2 yang mempunyai keupayaan untuk kegunaan telekomunikasi dan kutipan data alam sekitar.

Tetapi pelancaran Omid mendapat reaksi yang agak keterlaluan terutama sekali daripada Washington, London dan Paris.

London umpamanya mengeluarkan kenyataan yang cuba mengaitkan teknologi Omid dengan pembangunan nuklear Iran.

Antara lain kenyataan tersebut menyebut, "Kejayaan pelancaran Omid sebenarnya menghantar isyarat yang salah kepada masyarakat antarabangsa yang sehingga kini telah meluluskan lima resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan dengan program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran?

Begitu juga dengan Washington dan Paris, masing-masing mengeluarkan kenyataan yang agak serupa maksudnya dengan London.

Washington dan Paris telah membuat kaitan pelancaran satelit Omid dengan keupayaan membangunkan peluru berpandu balistik yang mempunyai peledak nuklear.

Memang benar satelit Omid dan pelancar Safir-2 dibangunkan oleh saintis Iran secara keseluruhannya akibat sekatan teknologi yang dikenakan terhadap Teheran, tetapi adakah adil mengaitkan pembangunan teknologi satelit dengan peluru berpandu balistik?

Mengapakah Omid mendapat perhatian yang berlebihan sedangkan pada tahun 2005 apabila Iran melancarkan satelit pertama negara tersebut yang dinamakan Sina-1, masyarakat antarabangsa bagaikan tidak begitu ambil peduli.

Perlu diambil perhatian terdapat lebih 40 buah negara yang mempunyai satelit di angkasa lepas dan ini termasuklah Malaysia.

Apabila Malaysia melancarkan satelit Tiungsat-1 pada tahun 2000 tiada siapa yang ambil peduli berkemungkinan kerana menggunakan pelancar roket Rusia iaitu Dnepr.

Mungkin pelancaran Sina-1 tidak mendapat perhatian kerana ia dilancarkan dengan bantuan pelancar roket Rusia sedangkan Omid dilancarkan menggunakan pelancar Safir-2 buatan teknologi Iran seratus peratus.

Mungkin juga keupayaan Safir-2 merisaukan dunia kerana tidak banyak negara yang mempunyai kemampuan sedemikian rupa. Pada ketika ini hanya lapan negara yang mampu melancarkan satelit menggunakan pelancar buatan sendiri iaitu Rusia, Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, China, Britain, India dan Israel.

Tetapi perlu dimaklumkan Safir-2 bukanlah keupayaan pelancar Iran yang baru diketahui umum, kerana pada tahun lepas pelancar Kavosh-1 telah meletakkan Iran setanding dengan lapan negara lain yang mempunyai teknologi pelancar satelit.

Memang benar pemilikan teknologi pelancar mempunyai kaitan dengan pembangunan peluru berpandu balistik kerana kedua-duanya memerlukan teknologi roket untuk bergerak dalam jarak yang agak jauh.

Tetapi masyarakat antarabangsa telah pun akur dengan keupayaan teknologi roket jarak jauh Iran kerana ia bukan lagi menjadi satu rahsia yang besar.

Keupayaan peluru berpandu Shahab-3 umpamanya yang dilancarkan pada bulan Julai tahun lepas mampu mencapai sasaran sehingga 2,500 km jauhnya dan Tel Aviv adalah dalam jangkauan Shahab-3.

Apa yang sedang berlaku mengenai kebimbangan dunia terhadap Iran akibat pelancaran satelit Omid adalah serupa apabila Teheran melancarkan peluru berpandu Sajil pada bulan November yang lepas.

Sememangnya agak menghairankan banyak pihak yang merasa agak teruja dengan kejayaan ujian Sajil.

Memang tidak dapat dinafikan kejayaan ujian Sajil adalah sesuatu yang baru kerana peluru berpandu tersebut menggunakan sistem penggerak bahan bakar yang berlainan dengan Shahab-3.

Sajil walaupun dikatakan tidak mampu mencapai jarak sejauh Shahab-3, tetapi pergerakkannya adalah lebih pantas dan capaian sasaran dapat dilakukan dengan lebih jitu.

Bagaikan terdapat satu komplot yang direncanakan oleh kuasa besar dunia untuk memberi persepsi bahawa pembangunan nuklear Iran adalah semata-mata untuk kegunaan senjata nuklear.

Sekatan teknologi yang dikenakan terhadap Iran melalui resolusi Majlis Keselamatan PBB nampaknya tidak mampu menggagalkan pembangunan satelit dan peluru berpandu Iran kerana saintis negara tersebut mempunyai keupayaan berdiri di atas teknologi buatan tempatan.

Sememangnya tidak adil dan munasabah cubaan kuasa besar mengaitkan pembangunan nuklear Iran dengan kegunaan senjata nuklear. India umpamanya yang secara terbuka menggunakan pembangunan nuklear kegunaan awam tetapi digunakan pula untuk senjata nuklear tidak dicela tetapi dibantu oleh AS.

Bertambah tidak masuk akal apabila kaitan cuba dibuat dengan keupayaan melancarkan satelit dengan pembangunan peluru berpandu balistik kerana setiap negara mempunyai hak membangunkan teknologi satelit yang secara dasarnya membawa kepada kebaikan.

Israel umpamanya mempunyai keupayaan melancarkan satelit yang jauh lebih hebat daripada Iran tetapi tiada kuasa dunia yang mahu mempersoalkan niat sebenar Tel Aviv kerana beberapa kuasa besar hanya mendiamkan diri.

Tidak perlu dipersoalkan mengenai pembangunan nuklear Israel kerana semua sudah mengetahui Tel Aviv mempunyai sejumlah besar peledak senjata nuklear.

Sebenarnya tidak ada apa-apa yang boleh digembar-gemburkan dengan keupayaan pelancar Safir-2 kerana satelit Omid hanya 27 kg beratnya. Untuk melancarkan peluru berpandu balistik yang mempunyai peledak senjata nuklear, pelancar yang digunakan perlu mempunyai tenaga roket yang jauh lebih hebat kerana berat yang ditanggung adalah jauh lebih tinggi daripada satelit Omid.

Washington, London dan Paris nampak gayanya sudah agak keterlaluan cuba mengaburi dunia dengan memberi persepsi bahawa Iran sudah mempunyai teknologi melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

Gambaran tersebut nampak gayanya sedikit sebanyak berjaya kerana masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya merasa agak bimbang dengan keupayaan Iran melancarkan satelit menggunakan teknologi sendiri.

Tetapi masyarakat antarabangsa perlu bersikap lebih adil kerana jika New Delhi dan Tel Aviv dibenarkan membangunkan program nuklear tanpa had, maka tiada sebab Teheran tidak dibenarkan melakukan perkara yang serupa.

Adalah tidak adil menyekat Teheran semata-mata kerana negara tersebut tidak sependapat dengan Washington.

Begitu juga tiada apa yang perlukan dibimbangkan dengan keupayaan Iran melancarkan satelit kerana terdapat lapan negara lain yang mampu melakukan perkara yang sama. Tidak perlu juga dikhuatiri dengan nit sebenar Iran yang mempunyai satelit di angkasa lepas, kerana terdapat lebih dari 40 puluh negara yang lain yang mempunyai satelit di orbit.

Prof. Madya Sr. Dr. Azmi Hassan ialah Pengarah Pusat Dasar Teknologi & KajianAntarabangsa (CENTEPIS), Kampus Antarabangsa UTM