Mencari Hasil Ilmu

Thursday, February 19, 2009

PENCARIAN OSAMA

Profesor geografi guna teknik cari spesies terancam di Pakistan

Seorang profesor geografi menggunakan teknik mencari spesis terancam untuk mengenal pasti tiga rumah di Pakistan yang kemungkinan menjadi tempat persembunyian pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.

Menggunakan corak menunjukkan bagaimana spesies haiwan tersebar, musuh nombor satu Amerika Syarikat itu boleh dikesan di bandar di timur laut Pakistan.

Dengan mengkhususkan keperluan Osama mendapatkan perlindungan, bekalan elektrik, siling tinggi untuk memuatkan beliau yang memiliki ketinggian kira-kira 1.8 meter dan bilik kosong untuk pengawal peribadinya, pencarian boleh disempitkan kepada tiga rumah bertembok.

Menurut pasukan yang diketuai Thomas Gillespie di Universiti California, Los Angeles, lokasi Osama adalah 'antara persoalan politik paling penting pada masa ini.'

Model matematik digunakan untuk menjelaskan bagaimana spesis haiwan tersebar menunjukkan lelaki paling dikehendaki di dunia itu berada berhampiran dengan tempat terakhir beliau dilihat.

Penyelidikan mereka yang disiarkan dalam MIT International Review juga merumuskan Osama juga kemungkinan berada di bandar besar dengan budaya menyamai Afghanistan.

Tempat paling berkemungkinan ialah Parachinar, terletak 19.2 kilometer ke dalam wilayah Pakistan, yang menempatkan ramai pejuang Mujahidin ketika pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan pada tahun 1980-an.

Akhirnya, selepas meneliti keperluan Osama mendapatkan bekalan elektrik untuk tujuan dialisis, tembok tinggi, bilik untuk pengikut, dan pokok untuk berlindung daripada sistem pengintipan, gambar satelit menunjukkan tiga rumah bersesuaian.

"Kami percaya usaha kami membabitkan pendekatan saintifik pertama untuk menentukan lokasi terkini Osama. Kaedah itu berulangan dan boleh dikemas kini dengan maklumat baru diperoleh daripada perisikan Amerika," menurut rumusan penyelidikan.