Mencari Hasil Ilmu

Thursday, February 05, 2009

Misil Iran mampu ke AS

Keupayaan lancar satelit buatan sendiri bimbangkan Barat

Keupayaan Iran melancarkan satelit buatan sendiri ke orbit adalah isyarat bahawa negara itu semakin hampir mencapai matlamatnya membina peluru berpandu jarak jauh yang mampu mensasarkan Eropah dan Amerika, kata pakar.

Jurucakap Agensi Pertahanan Peluru Berpandu Amerika, Rick Lehner berkata keupayaan Teheran menghantar satelit ke angkasa lepas, digabungkan dengan program nuklear dan pengkayaan uranium, mewujudkan andaian bahawa Iran berkemungkinan besar mempunyai simpanan peluru berpandu antara benua.

"Salah satu kebimbangan kami paling besar ialah bahawa mana-mana negara yang boleh menghantar satelit ke orbit, bermakna ia juga boleh menghantar senjata nuklear pada jarak antara benua dan ini termasuk juga dalam kes Iran," katanya.

Seorang lagi pakar Geoffrey Fordan dari Institut Teknologi Massachusetts berkata kejayaan Iran melancarkan satelit itu dianggap mengagumkan di sebalik halangan antarabangsa, termasuk sekatan terhadap teknologi berkaitan peluru berpandu.

"Di sebalik tentangan dunia dan sekatan yang dikenakan, Iran kini menyertai 'kelab eksklusif' negara yang berjaya menghantar satelit ke orbit," katanya.

Pemimpin Iran menyifatkan pelancaran satelit Omid (Hope) Isnin lalu sebagai satu peristiwa penting dan menjadi lambang kebanggaan negara, namun kejayaan itu meningkatkan semula kebimbangan Barat mengenai cita-cita nuklear Iran.

Ia mungkin memberi kesan secara tidak langsung dalam menyokong perdebatan untuk mewujudkan sistem pertahanan peluru berpandu di Eropah, di sebalik petanda Presiden Amerika Barack Obama mungkin melambatkan program itu bagi mengurangkan ketegangan dengan Russia.

Patrick Clawson dari Institut Dasar Timur Dekat Washington, berkata, penyokong dasar pertahanan peluru berpandu Amerika sejak sekian lama melihat Iran sebagai negara yang boleh mengancam Eropah.

"Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin sebelum ini 'memperlekeh' kenyataan Amerika mengenai kemampuan Iran mempunyai satu sistem yang boleh sampai ke Eropah dan menyifatkannya sebagai 'karut'," katanya.

Dengan tindakan Iran yang tidak mempedulikan tuntutan antarabangsa agar membekukan program nuklearnya, pelancaran satelitnya ke angkasa lepas sudah pasti merumitkan lagi hubungan antara negara itu dengan Eropah dan Amerika, ketika presiden baru Barack Obama, cuba meredakan ketegangan dan bersikap terbuka mengenai kemungkinan mengadakan dialog. - AFP