Mencari Hasil Ilmu

Monday, February 02, 2009

Netanyahu ancam serang Iran

Benjamin Netanyahu yang mendapat pencalonan tertinggi untuk menjadi Perdana Menteri Israel setakat ini, semalam memberitahu bahawa Iran tidak akan memiliki senjata nuklear.

Netanyahu berkata, jika beliau terpilih menjadi Perdana Menteri, misi pertamanya ialah ''menghalang ancaman nuklear Iran", katanya dalam temuramah dengan televesyen Channel 2 Israel.

Netanyahu yang juga merupakan pemimpin pembangkang serta ketua Parti Likud menganggap Iran sebagai ancaman besar terhadap Israel dan masyarakat dunia.

Ketika ditanya apakah hasrat menghentikan program nuklear Iran itu termasuk melakukan serangan tentera, beliau berkata, "Ia termasuk semua yang perlu bagi merealisasikan kenyataan ini".

Sebelum ini, Iran menyatakan bahawa mereka membangunkan program nuklear bagi tujuan keamanan dan bukan untuk membina senjata nuklear.

Netanyahu yang pernah menjadi Perdana Menteri Israel pdari 1996 hingga 1999 pernah berikrar akan meneruskan dasar untuk terus menguasai Tebing Barat dan membiarkan "pertumbuhan penempatan haram Yahudi secara semula jadi". Ungkapan itu merujuk kepada pembinaan perumahan baru bagi menampung pendatang Yahudi di Israel.

Tanpa mempedulikan pandangan Amerika Syarikat, beliau menegaskan bahawa 'Tebing Barat perlu terus berada dalam cengkaman Israel.'

Televesyen Channel 2 turut menemuramah dua lagi calon Perdana Menteri Israel yang akan bertanding pada pilihan raya negara itu yang dijadual diadakan pada 10 Februari ini.

Sementara itu, Tzipi Livni daripada Parti Kadima dan Ehud Barak daripada Parti Buruh ketika ditanya bagaimana mereka akan menghadapi serangan roket Hamas yang dilancarkan ke wilayah Israel dari Genting Gaza, kedua-dua tokoh rejim Zionis Israel itu berkata, mereka akan menggunakan cara kekerasan.

"Hamas telahpun diserang, satu perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, tetapi jika Hamas terus melancarkan serangan roket (ke wilayah Israel), mereka akan diserang lagi,'' kata Barak yang juga merupakan Menteri Pertahanan.

Israel telah menyerang Genting Gaza selama tiga minggu sejak 27 Disember lalu menyebabkan lebih 1,300 penduduk Palestin terbunuh.

Livni yang juga merupakan Menteri Luar berkata, jika Hamas masih tidak dapat pengajaran, mereka akan diserang lagi.

"Saya tidak akan mengadakan perjanjian dengan Hamas. Perjanjian hanya dilakukan dengan mereka yang menerima kewujudan saya.

"Mereka tidak mengakui Israel dan tidak menolak keganasan dan kegiatan pengganas. Mereka tidak akan menjadi satu parti, rakyat Gaza perlu menyingkirkan Hamas," ujarnya.