Mencari Hasil Ilmu

Tuesday, February 24, 2009

Sekatan ekonomi AS ke atas Cuba gagal

. - Pemimpin Parti Republikan di Senat Amerika Syarikat (AS), Richard Lugar menganggap sekatan ekonomi AS ke atas Cuba sejak hampir 50 tahun lalu telah gagal mencapai matlamatnya.

Lugar menyuarakan pandangan tersebut dalam satu laporan yang dijangka merancakkan momentum ke arah mengubah dasar Washington terhadap kepulauan yang diperintah oleh komunis itu.

"Selepas 47 tahun, sekatan AS ke atas Cuba gagal mencapai matlamatnya untuk membawa demokrasi kepada rakyat Cuba," kata Senator dari Indiana tersebut yang juga anggota kanan Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat.

Malah sekatan itu dipercayai telah digunakan oleh rejim komunis sebagai helah untuk menuntut pengorbanan lebih besar daripada rakyat Cuba yang miskin, katanya.

Laporan berjudul Changing Cuba Policy - In the United States National Interest itu dijadual disiarkan hari ini.

Ia dijangka mencorakkan perbahasan mengenai rombakan dasar AS, selepas hampir lima dekad Washington cuba memencilkan satu-satunya negara komunis di benua Amerika.

Presiden Barack Obama telah menjanjikan dialog dengan semua pemimpin asing termasuk musuh-musuh tradisi AS, berbeza dengan pentadbiran AS yang terdahulu.

Namun, setakat ini beliau belum menjelaskan sejauh mana beliau bersedia untuk berdialog dengan Cuba.

AS dan Cuba tidak mempunyai hubungan diplomatik dan Washington mengenakan sekatan ekonomi menyeluruh ke atas Havana sejak 1962