Mencari Hasil Ilmu

Thursday, February 26, 2009

Rusia mula uji loji nuklear Iran

Pegawai nuklear Iran dan Rusia hari ini memulakan ujian ke atas loji nuklear pertama republik Islam itu.

Langkah tersebut tentunya meningkatkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya di Barat berhubung program nuklear Teheran.

Operasi ujian di reaktor nuklear 1,000 megawatt di bandar pelabuhan Bushehr, selatan negara ini telah lama tergendala disebabkan masalah pembinaan dan bekalan.

Reaktor itu dibina dengan bantuan Rusia di bawah kontrak bernilai AS$1 bilion (RM3.6 bilion).

Belum jelas bila reaktor itu akan dihidupkan untuk memulakan operasi sebenar.

Operasi ujian lazimnya dilakukan beberapa bulan sebelum sesebuah reaktor dihidupkan.

Di loji Bushehr, jurucakap agensi nuklear Iran, Mohsen Shirazi berkata, sumber tenaga 'maya' mengandungi plumbum dimasukkan ke dalam reaktor itu sebagai ganti sumber tenaga sebenar yang bakal digunakan kelak, iaitu uranium yang telah melalui proses pengayaan.

Ketua agensi nuklear Rusia, Sergei Kiriyenko memeriksa proses itu bersama-sama rakan sejawatannya dari Iran, Naib Presiden Gholam Reza Aghazadeh.