Mencari Hasil Ilmu

Thursday, February 12, 2009

Netanyahu, Livni isytihar diri menang

Menteri Luar Israel, Tzipi Livni dan Benjamin Netanyahu mengisytiharkan menang pilihan raya Parlimen semalam, manakala keputusan rasmi menunjukkan jurang antara mereka terlalu rapat dan calon ketiga mungkin menjadi penentu siapa bakal menjadi perdana menteri negara Yahudi itu.

Jawatankuasa pilihan raya Israel menyatakan, selepas 99 peratus undi dikira keputusan tidak rasmi menunjukkan Parti Kadima pimpinan Livni, menang 28 daripada 120 kerusi Parlimen, manakala Parti Likud menang 27 kerusi.

Jumlah ini bagaimanapun tidak membabitkan undi beribu-ribu tentera yang dikira esok.

Secara keseluruhan gabungan parti haluan kanan dilihat mampu mengumpul majoriti 65 kerusi memberi peluang kepada Netanyahu membentuk kerajaan baru.

Pemimpin ultra nasionalis Avigdor Lieberman, dikatakan mampu menjadi penentu pemimpin baru negara itu selepas partinya, Yisrael Beitenu menang 15 kerusi yang dilihat akan menyokong Netanyahu.

Namun, percaturan politik Israel selepas pilihan raya dijangka berterusan hingga beberapa minggu lagi, sebelum usaha damai Asia Barat boleh dimulakan kembali.

Kemenangan Livni yang lebih berminat menyerahkan tanah untuk dijadikan negara Palestin menjadi perangsang kepada pentadbiran Obama meneruskan rundingan damai Israel-Palestin.

Bagaimanapun, jika kerajaan baru dipimpin Netanyahu yang menentang kompromi dengan Palestin, Israel dan Amerika akan berdepan perbezaan pendapat.

"Dengan pertolongan Tuhan, saya akan mengetuai kerajaan baru," kata Netanyahu kepada penyokong yang melaungkan namananya.