PERISTIWA Bajet 2010 hampir-hampir tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini adalah satu kisah malang buat Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Pada saya, jika pun ada pihak yang menuding jari kepada menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen sebagai tidak proaktif dan sebagainya, tetapi pada hemat saya lebih 70 Ahli Parlimen yang gagal hadir untuk mengundi bagi meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 itu sepatutnya mesti dipersalahkan.
Mungkin juga Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sudah memaklumkan secara lisan kepada Ahli Parlimen supaya komited untuk menghadirkan diri pada setiap hari sesi diadakan bagi mengelakkan BN daripada terjebak dengan undi belah bahagian yang sentiasa menjadi senjata pembangkang pada saat-saat akhir.
Era BN untuk duduk bersantai dan berbual-bual sudah berlalu sejak hari pertama BN gagal mendapat majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Mengapakah Ahli Parlimen BN masih tidak menganggap serius kedudukan meruncing BN di Dewan Rakyat?
Apakah sudah hampir dua tahun Dewan Rakyat bersidang belum cukup membuka mata dan melebarkan telinga Ahli Parlimen BN bahawa mereka perlu serius membangkitkan isu rakyat di Parlimen dan seterusnya mengambil berat setiap sesi perbahasan dan pengundian meluluskan setiap rang undang-undang yang dibentangkan?
Saya amat bersetuju jika ada cadangan untuk menyenaraihitamkan mana-mana Ahli Parlimen yang gagal memberi penjelasan kewajaran mereka tidak hadir pada 14 Disember itu yang hampir merobohkan kota BN yang didirikan hampir 22 bulan lalu.
Jika Bajet 2010 tidak dapat diluluskan pada hari itu maka berakhirlah riwayat BN untuk mentadbir dan mengurus negara kerana tiada lagi dana untuk meneruskan program pembangunan demi faedah rakyat.
Sebagai pengundi setia BN saya dapat menyelami kekecewaan setiap penyokong kerajaan yang sejak merdeka berdiri teguh di belakang kepemimpinan negara dalam setiap pilihan raya umum.
Sedih dan kesal kerana BN hampir ditewaskan bukan di dalam pilihan raya umum, sebaliknya kecundang di persada Parlimen gara-gara tidak komited untuk hadir mengundi demi kelangsungan kuasa BN yang kian hari kian tercabar dan diperlekehkan oleh wakil rakyat pembangkang.
Saturday, January 02, 2010
Wakil Rakyat tidak komited di Parlimen wajar disenarai hitam
ILHAM DARI PUTERA at 9:41:00 AM