ISLAM merupakan agama yang sangat menganjurkan persefahaman kerana melalui persefahaman itulah akhirnya ia membentuk sebuah penyatuan. Islam yang ditegakkan melalui dakwah Nabi Muhammad SAW amat menekankan agar manusia mempunyai sifat hormat menghormati sesama manusia, dan tidak melihat manusia sebagai kesatuan etnik, agama dan batasan fizikal. Islam disatukan melalui prinsip ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT. Dan kerana itulah Nabi Muhammad SAW turut dianggap sebagai Nabi bagi seluruh umat, kerana membawa mesej perdamaian seluruh manusia.
Islam tidak membezakan suku bangsa dan warna kulit manusia kerana semuanya ialah hamba Allah, bahkan perbezaan bangsa dan warna kulit itu juga adalah suatu rahmat kepada hamba-Nya, agar mereka dapat saling kenal mengenal dan bantu-membantu dalam menempuh kehidupan.
Selain menghormati sesama manusia tanpa mengambil kira sempadan keturunan, bangsa dan budaya, Islam menganjurkan agar penganutnya memelihara hubungan dengan penganut agama lain, selagi mereka tidak memusuhi Islam.
Islam tidak melarang umatnya untuk bergaul secara baik serta bersikap jujur terhadap penganut agama lain, sama ada mereka penganut agama Samawi (Kristian, Yahudi, Nasrani) mahupun agama wadi atau agama yang timbul daripada hasil percikan pemikiran budaya manusia, selama mereka tidak memerangi Islam.
Umat Islam juga harus belajar menghormati agama lain dan dalam masa yang sama patuh ke atas agama yang dianuti. Kalau boleh kita usahakan dialog etika dan kerjasama sosial, mencari kesamaan nilai hidup bermasyarakat, seperti mengembangkan kod etika yang dapat diterima oleh semua ahli masyarakat dan bersifat universal.
Kerjasama antara umat manusia tanpa melihat latar belakang agama, etnisiti dan kelompok dianjurkan oleh Islam bagi membolehkan setiap individu ataupun kelompok berusaha melakukan kebajikan, memakmurkan kehidupan dan menjalin persaudaraan secara harmoni.
Saranan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom (Utusan Malaysia 13 Januari 2010) supaya diadakan dialog antara agama bagi membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini lebih memahami kepercayaan agama yang dianuti masing-masing amat dialu-alukan. Contohnya, dialog dua peradaban terkemuka Islam-Kristian amat penting dalam menentukan bentuk hubungan kedua-duanya serta manusia sejagat.
Sejarah panjang umat Islam melahirkan teladan bagi memahami faktor kemajmukan dan kebebasan beragama, selain masalah-masalah yang timbul. Kebebasan beragama juga diterapkan dalam Perlembagaan Madinah (Mitsaq Al-Madinah) dalam ruang dan waktu ketika itu. Pada dataran struktural dan politik, Nabi Muhammad SAW berusaha mencari titik pertemuan dengan pelbagai golongan di Madinah dengan terlebih dahulu mengakui hak eksistensi masing-masing kelompok dalam dokumen ini, meskipun kemudian ada pelanggaran-pelanggarannya.
Nabi sendiri memberi contoh untuk golongan sekular ketika baginda bersabda: "Aku hanyalah seorang manusia, jika aku perintahkan sesuatu yang bersangkut dengan agama, taatilah, dan jika kuperintahkan sesuatu dari pendapatku sendiri, pertimbangkanlah dengan mengingatkan kepada aku hanyalah manusia." Atau ketika baginda bersabda: "Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu."
Ajaran Islam, sama ada secara teologi atau sejarah, jelas tidak dapat dipisahkan daripada kewujudan agama lain di sisi mereka. Umat Islam sejak Nabi Muhammad SAW dan semasa Khalifah ar-Rashidin hingga sekarang memahami kenyataan adanya pluralisme dan perbezaan dalam keyakinan terhadap agama masing-masing. Pandangan inilah yang mempertemukan umat Islam dengan umat agama lain untuk berinteraksi melalui dialog bagi tujuan saling memahami pandangan masing-masing.
Dialog ini menjadi agenda yang semakin penting dalam situasi dunia kini yang terancam dengan keganasan dan kemusnahan akibat salah faham terhadap perbezaan pegangan agama.
Dialog ini dengan sendirinya akan memperkayakan wawasan kedua-dua pihak dalam rangka mencari persamaan yang dapat dijadikan landasan hidup yang damai dalam suatu masyarakat.
Apa-apa yang menjadi fokus utama dalam setiap dialog tersebut adalah untuk mencari titik temu berkaitan persoalan-persoalan kemanusiaan sejagat serta bersama-sama berusaha menyebarkan nilai-nilai luhur dan dituntut oleh semua agama.
Islam sering menganjurkan prinsip toleransi, saling berhubung dan mementingkan moral serta kehidupan bermasyarakat. Islam menghormati dan tidak menakutkan penganut agama lain.
Dalam hal ini adalah relevan untuk kita mengingat kembali bahawa Islam memiliki pengalaman sejarah berkaitan dengan persoalan pluralisme dan telah menemukan cara untuk menjawabnya secara kreatif.
Lembaran sejarah peradaban yang mengagumkan dari dua masyarakat Muslim menunjukkan betapa tingginya pluralisme yang diamalkan iaitu Moor di Sepanyol dan Moghul di India. Juga sikap toleransi yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh Dinasti Fatimiyah di Maghribi ke atas orang Kristian.
Demikian juga toleransi agama yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga agama besar seperti Islam, Yahudi dan Kristian ketika kegemilangan tamadun Islam Sepanyol. Begitu juga kerjasama positif umat Islam dan Yahudi di Baghdad sejak kehadiran mereka dari abad yang kesembilan lagi.
Di bawah kekuasaan Islam selama 500 tahun, Sepanyol muncul sebagai pusat interaksi antara agama besar sedunia iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Mereka secara damai berinteraksi dan berdialog serta masing-masing menyumbang ke arah mencipta peradaban yang cemerlang.
Sikap pluralisme yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad ke atas orang Yahudi Madinah bukan sekadar dengan memberi kebebasan beragama, malah lebih daripada itu. Rasulullah banyak bersabar dengan kerenah-kerenah yang ditimbulkan oleh orang-orang Yahudi.
Demikian juga sikap hormat Nabi ke atas rombongan 60 orang delegasi Kristian Nestorian yang datang menemuinya. Mereka diterima Nabi di Masjid Madinah dan dibenarkan menginap di Masjid Nabawi serta sebahagiannya di rumah sahabat Nabi. Mereka tinggal beberapa hari dan sempat melakukan ibadah cara mereka di Masjid Nabawi walaupun sebelum ini mereka meminta izin untuk beribadat di luar masjid. Selama di Madinah terjadi dialog antara Nabi dan pimpinan delegasi tersebut.
Sikap Nabi Muhammad SAW terhadap umat Kristian ini diteruskan oleh pemimpin Islam selepasnya. Khalifah Abu Bakar pernah berpesan kepada tentera Muslim agar tidak mengganggu kebebasan dan menodai kesucian agama lain. Demikian juga Khalifah Umar al-Khattab yang pernah membuat perjanjian dengan umat Kristian Kota Aelia (sekarang Jerusalem).
Baitul Hikmah, pusat ilmu pengetahuan yang didirikan ketika pemerintahan al-Makmun pernah dipimpin oleh sarjana Kristian, Hunain bin Ishak. Sikap toleransi juga ditunjukkan oleh penguasa Islam di seluruh Afrika Utara, Mesir dan Turki di mana umat Yahudi dapat menikmati kebebasan beragama dan ekonomi yang hampir sempurna selama beberapa abad.
Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut lain untuk menganuti agamanya. Bahkan Islam juga tidak secara terperinci dan kritis menghalang agama lain dengan prinsip dan etika tertentu.
Islam sering menganjurkan prinsip toleransi, saling berhubung dan mementingkan moral serta kehidupan bermasyarakat. Islam tidak mengunjurkan perilaku negatif dan melancarkan tindakan ganas seperti membakar pusat-pusat ibadah agama lain, malah Islam menghormati agama lain dan tidak menakutkan penganut agama lain. Islam mementingkan perdamaian dan inti dasar Islam sebenarnya membentuk perilaku manusia yang baik, luhur, berbudi tinggi dan menghormati setiap makhluk sebagaimana tujuan sebenar manusia memerlukan agama.
Friday, January 15, 2010
Contohi Nabi dialog antara agama
ILHAM DARI PUTERA at 6:28:00 AM