Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, January 06, 2010

PKR rela kalimah Allah diguna penganut agama lain

Ketika umat Islam negara ini tanpa mengira perbezaan politik bersatu hati menentang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tampil dengan pendirian berbeza apabila menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agamanya, Dr. Muhd. Nur Manuty berkata, keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah suatu perkembangan yang positif dan perlu diterima secara terbuka serta berlapang dada.

"Kami berpendirian fenomena ini sebagai manifestasi fitrah insani sejak dari azali lagi, iaitu semua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT.

"Penggunaan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai tuhan, adalah hak asasi setiap insan.

"Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua (Rabbul Aalamiin atau Lord of the Universe)?," katanya dalam blognya http://muhdnurmanuty.blogspot.com/.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Geraja Katolik, Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Keputusan mahkamah itu bagaimanapun mengundang kemarahan umat Islam di seluruh negara yang mahukan kerajaan dan Majlis Raja- Raja segera campur tangan dalam menangani isu tersebut.

Menurutnya, keinginan penganut Kristian untuk 'mengiktiraf' penggunaan kalimah Allah adalah bertepatan serta serasi dengan wadah PKR.

Tambahnya, perjuangan untuk mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah apabila penganut agama lain mula 'menerima' kalimah Allah.

Muhd. Nur mendakwa, penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam berlaku sejak zaman dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama Samawi.