Penggunaan kalimah Allah dikhuatiri digunakan oleh pendakwah agama bukan Islam yang mahu mengelirukan umat Islam dengan tujuan tersirat mereka, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan gereja Katholik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya telah menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.
"Sebagai sebuah negara yang majmuk, mempunyai pelbagai agama, harus elakkan perkara sensitif ditimbulkan di mana-mana platform perundangan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar miskin di kawasan Parlimen Bagan Datoh di sini hari ini.
Dr. Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah. Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan Allah dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.
Dr. Ahmad Zahid berkata, umat Islam di negara ini amat menghormati kedudukan agama lain dan tidak mahu ada pihak mencampuri urusan agama Islam.
Katanya, sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan dengan jelas bahawa perkataan Allah adalah khusus untuk orang Islam kerana ia merupakan perkataan khas sementara 'Tuhan' merupakan nama am.
"Kalau selama ini tidak ada penulisan yang menggunakan perkataan Allah (bagi agama bukan Islam) mengapa pula akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly terlalu ghairah hendak menggunakan perkataan 'Allah'.
"Dalam Perlembagaan Persekutuan menetapkan agama Islam adalah agama rasmi sementara agama lain boleh diamalkan di Malaysia tetapi tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam," katanya.
Beliau dengan itu menggesa semua tokoh ulama, pertubuhan bukan kerjaan dan seluruh umat Islam bersatu dalam hal melibatkan kesucian agama Islam.
Di KOTA BHARU, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Raja-Raja menyelesaikan segera isu pertikaian penggunaan kalimah Allah agar tidak berlanjutan.
Presidennya Zainul Rijal Abu Bakar berkata, jika tidak diselesaikan segera ia bakal mengundang masalah kepada negara yang dikhuatiri boleh menjejaskan keamanan.
"Dalam soal ini KDN perlu memfailkan segera rayuan bagi menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini manakala Majlis Raja-Raja boleh memutuskan siapa yang berhak menggunakan kalimah suci ini.
"Ini kerana Majlis Raja-Raja dianggotai semua ketua-ketua agama Islam di negeri masing-masing," katanya kepada pemberita.
Monday, January 04, 2010
Penghakiman hakis keistimewaan Islam
ILHAM DARI PUTERA at 1:45:00 PM