Mencari Hasil Ilmu

Sunday, January 10, 2010

ISKANDAR ZULKARNAIN BUKAN ALEXANDER THE GREAT

ISKANDAR Zulkarnain bukan Alexander The Great. Kedua-duanya amat berbeza, kecuali kekeliruan sejarah yang menganggap mereka berdua sama orangnya.

Kekeliruan ini ditimbulkan kerana ciri perkasa dalam cara mereka berperang dan menakluki dunia, sehingga tidak dapat membezakan akhlak dan visi mereka berdua.

Bila kita menonton filem Alexander, jelas menunjukkan perbezaan akhlak mereka.

Alexander berkubang dengan nafsu bila mengahwini Roxana yang dalam satu adegan bertelanjang bulat. Jelas ini bukan tingkah laku Iskandar Zulkarnain.

Filem Alexander dicipta dari segi visi Kristian. Ini boleh dilihat dari sudut usianya. Alexander mencapai segala kejayaannya dalam usia 33 tahun atau 35 tahun, menyerupai pencapaian keagamaan oleh Nabi Isa yang wafat atau diangkat ke hadrat Allah dalam usia 33 tahun. Walaupun ini tidak disebut, itulah yang disampaikan secara halus.

Nama Zulkarnain, disebut dalam Surah al-Kahfi ayat 89-99, apabila Zulkarnain tiba di Armenia, penduduknya meminta pertolongan kerana selalu dianiaya oleh kaum yang dinamakan Ya’juj dan Ma’juj atau Gog-ma-Gog.

Zulkarnain mendirikan dinding campuran besi dengan tembaga sebagai sempadan atau halangan daripada kaum Ya’juj dan Ma’juj itu, tanpa mengambil upah sedikit pun. Zulkarnain juga menyaksikan matahari terbit iaitu untuk menghayati kebesaran Allah SWT dan matahari terbenam di barat.

Alexander tidak berakhlak seperti Zulkarnain. Alexander dengan tenteranya yang besar membawa malapetaka kepada negara yang diserangnya. Di Mesopotamia atau Iraq, Alexander meruntuhkan Babylon dan menghanguskan kota Persepolis yang hebat itu.

Walaupun Alexander membuka kota Alexanderia di Mesir, kebanyakan kota strategik, termasuk Kaherah dimusnahkan. Kota Alexanderia atau Iskandariah dirikan kerana kepentingan pelayaran di Laut Mediteranean untuk ke Greece dan menguasai lautan itu.

Perbezaan paling ketara antara kedua-duanya, Zulkarnain beragama Islam mengikut syariat Nabi Ibrahim sedangkan Alexander tidak beragama atau menganut fahaman Hellas atau Hellenism, suatu fahaman dalam masyarakat Greek waktu itu. Macedonia adalah sebuah negeri dalam Greece.

Zulkarnain memerangi kezaliman, penganiayaan dan menegakkan kebenaran, agama dan kemanusiaan, sedangkan Alexander menyerang untuk keagungan diri, memusnahkan kemanusiaan dan menghambakan manusia.

Jangan samakan Alexander dengan Zulkarnain yang memang agung menjadi contoh perjuangan untuk membina negara Islam kepada Nabi Muhammad SAW.

Kisah Zulkarnain termaktub dalam wahyu Allah SWT, Alexander hanya dicatat dalam sejarah Eropah sebagai penjajah dan pemusnah kemanusiaan di seluruh dunia.