Mencari Hasil Ilmu

Sunday, January 03, 2010

Alasan penganut agama Kristian di negeri ini tidak tahu berbahasa Inggeris bagi membolehkan pihak gereja menggunakan nama Allah, tidak tepat dan tidak

Melayu itu Rasis, itulah ungkapan yang paling bahaya dan semakin popular yang kita semua dengar. Kita sudah mula dijaja terutamanya oleh kumpulan politik yang berkepentingan dengan ungkapan sedemikian sehingga ia menjadi satu stigma baru kepada masyarakat. Seolah-olah menjadi Melayu itu adalah suatu yang teruk dan mengaibkan. Walhal, rakyat negara ini kena berlapang dada dan memahami serta tahu membezakan akan rasis dan keadilan bertempat.

Rasisnya seseorang atau bangsa itu ialah apabila mereka hanya berkehendakkan kelompok mereka sahaja yang mendapat segalanya dan menindas kelompok-kelompok lain sewenang-wenangnya. Dalam hal ini apakah rasis bagi kaum Melayu apabila setiap perkara yang dibuat entiti kaum lain juga tetap diambil kira. Ada kuota khusus diberikan untuk mengelakkan berlakunya penindasan sembrono.

Jika ditinjau dari perspektif yang lebih jauh lagi, isu pertikaian kelangsungan hak rakyat majoriti Melayu Islam yang dirasakan semakin ketara sejak akhir-akhir ini sebenarnya tidaklah wajar diletakkan kesalahannya semata-mata kepada faktor-faktor di luar lingkungan semata-mata.

Kecenderungan melihat kepada faktor luar semata-mata telah menyebabkan masyarakat Melayu menjadi buta dan tenggelam dalam buaian masa dan keadaan. Masyarakat Melayu perlu ikhlas mengakui akan realiti adanya kelemahan bangsa mereka sendiri. Mereka perlu sedar bahawa bangsa mereka sekarang ini sebenarnya tidak sekuat dan semantap dulu lagi sama ada dari segi idealisme, warisan, budaya mahupun ekonomi. Melayu era pasca merdeka sudah jauh berbeza dengan Melayu pada era sebelumnya dari banyak segi.

Berhujah

Dari segi pemikiran, rakyat majoriti Melayu Islam ini berbeza dengan kelompok bangsa lain. Perbezaan pemikiran menjadi lebih ketara jika ia dibentengi oleh dokma politik kepartian. Segalanya-galanya menjadi berbeza. Pemikiran Melayu UMNO tidak sama dengan pemikiran Melayu Pas walaupun isu yang dihadapi adalah isu yang menyentuh kaum yang sama iaitu Melayu.

Masing-masing berhujah dan berpandangan seolah-olah matlamat akhir kepada penyelesaian isu itu bukanlah Melayu -Islam tetapi UMNO dan Pas. Ia amat memalukan dan mendukacitakan.

Lantaran itu tidak hairanlah apabila nilai agama Islam yang suatu masa dahulu berada di tempat tertinggi dalam negara ini dengan begitu senang diperkotak-katikkan oleh kelompok cauvanis agama lain.

Terbaru dalam kes penggunaan nama Allah oleh kelompok bukan Islam yang secara tidak langsung boleh mendedahkan ketidakupayaan kawalan penggunaan dalam konteks yang tepat yang akhirnya lebih parah lagi boleh menjurus kepada konflik yang lebih besar iaitu persengketaan agama dan kaum.

Begitu juga dengan institusi raja yang dewasa ini sewenang-wenangnya diasak sehinggakan tiada lagi sempadan adat antara raja dengan rakyat. Kes yang berlaku di negeri Perak begitu jelas menunjukkan bahawa ketaatsetiaan sudah terbelah bagi lantaran daripada kecelaruan pemikiran.

Dalam kes-kes sebegini, kelihatan seolah-olah tiada sesiapapun di kalangan kelompok parti yang berteraskan Melayu Islam yang dilihat bersungguh membuat pembelaan secara tersusun dan berpadu.

Entah dimana silapnya sehinggakan amat susah sekali untuk melihat kedua-dua parti yang berteraskan Melayu-Islam ini boleh bersekutu dalam hal ehwal yang sama sebegini. Masing-masing membawa budaya kepartian sehingga menjangkau jauh ke dalam setiap perkara dan situasi.

Dalam hal ini yang jelas rugi adalah masyarakat Melayu-Islam sendiri sama ada untuk tempoh masa sekarang mahupun untuk tempoh masa akan datang.

Pemimpin dan pengikut politik berteraskan Melayu-Islam seperti UMNO dan Pas seolah-olah lupa akan fundamental perjuangan masing-masing. Entiti perpaduan kaum yang selama menjadi tunjang dan tiang seri negara semakin galak diperkotak-katikkan oleh mereka yang berkepentingan. Keadaan seperti ini cukup merbahaya bagi negara kita yang bersifat pelbagai kaum seperti negara kita.

Elemen perpaduan bangsa adalah merupakan antara tiang seri negara. Tunjang kepada tiang seri ini ialah Melayu-Islam. Jika bergoncang tiang ini maka akan bergetarlah semua elemen yang lain dalam negara sama ada ekonomi, pendidikan mahupun pembangunan sosial.

Justeru, apabila entiti ini diusik, rakyat majoriti amat mengharapkan agar kedua-dua parti dominan Melayu ini tampil untuk bersuara dalam satu nada dengan berani. Ini dilihat seakan-akan mustahil berlaku.

Cenderung

Semuanya saling pandang-pandang dan akhirnya cenderung mengambil sikap bertentangan. Dalam situasi sebeginilah pentingnya apa yang dikatakan sebagai seni berpolitik. Salah satunya ialah melihat kepada keutamaan yang tertinggi.

Jika diperhalusi, kita dapati rakyat majoriti Melayu Islam baik penyokong UMNO mahupun Pas sebenarnya seolah-olah kehilangan arah dan fokus dalam penentuan untung nasib mereka sendiri. Kita seharusnya berfikir, jika UMNO dan Pas tidak menjuarai untung nasib orang Melayu-Islam, maka kepada siapa lagi rakyat majoriti ini mahu mengadu dan menumpang nasib?

Tidakkah terlihat kepada kita bahawa kedua-dua parti Melayu ini seolah-olah begitu berpolitik walaupun dalam hal ehwal yang begitu kritikal seperti agama Islam, institusi raja, status bumiputera dan seumpamanya. Tidakkah kita terfikir bahawa seolah-olah nasib orang Melayu Islam seluruhnya terbiar dalam banyak hal?

Keadaan seperti ini adalah antara hakikat pahit yang memeritkan yang dilalui rakyat negara ini terutamanya Masyarakat Melayu Islam di era pasca kemerdekaan dan ia seharusnya disedari oleh kedua-dua kelompok dalam parti ini.

Terserlah juga daripada situasi ini betapa dua parti berteraskan Melayu Islam ini dilihat seolah-olah tidak berdaya untuk menghadapi cabaran alaf pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dengan tuntas. Apakah ini adalah kerana wujudnya kebangkitan elemen pengundi liberal dan pengaruh pengundi bukan Melayu dalam PRU 12 sehingga menyebabkan kedua-dua parti utama ini semakin jauh beralah?

Parameter apakah yang diguna pakai oleh UMNO dan Pas untuk memastikan hak rakyat Melayu Islam sebagaimana yang terkandung dalam perlembagaan dipertahankan dan dijaga baik?

Sesungguhnya pengurusan krisis yang lemah perlu diberi perhatian utama oleh kedua-dua parti utama Melayu Islam ini.

Di Selangor sebagai contohnya, dasar islamisasi yang diharap oleh orang Islam untuk diselia oleh Pas dalam kerajaan negeri pakatan rakyat pun seolah-olah tidak menampakkan kestabilan dan keyakinan.

Terlampau banyak halangan untuk mempertahankan dasar-dasar yang berpaksikan kepada agama Islam selaku agama rasmi dalam perlembagaan seperti isu penjualan arak dan seumpamanya sehinggakan menampakkan Pas di Selangor lebih lemah daripada apa yang rakyat harapkan.

Begitu juga dengan UMNO, hal-hal yang berkaitan dengan Perlembagaan dan kontrak sosial seolah-olah bukan lagi menjadi satu medium perjuangan yang perlu diteruskan. Rakyat Melayu Islam mengharapkan sesuatu yang lebih sempurna akan kecewa. Keadaan ini jika berterusan tidak dibendung akan mendatangkan imej yang buruk dalam benak fikiran rakyat majoriti Melayu Islam. Semakin hari mereka jelas semakin gelisah dengan keadaan.

Persoalannya sekarang ialah jika kedua-dua parti UMNO dan Pas berterusan sebegini, berkonflik berhabisan tanpa memahami sempadan yang mana kritikal maka bagaimanakah akhirnya nasib rakyat majoriti Melayu Islam negara ini?

Pihak manakah lagi yang boleh untuk mereka bertumpang tadah? Jangan dibiarkan rakyat majoriti ini terkejar-kejar untuk mendapatkan perhatian dan pembelaan daripada kelompok lain yang sampai sekarang pun sukar ditelaah keikhlasannya. Lebih penting lagi, generasi akan datang bagi rakyat Melayu Islam ini. Mereka perlu diberikan hak yang terbaik.

Justeru itu, pimpinan dan ahli parti UMNO dan Pas perlu memperhalusi perkara seumpama ini dengan seikhlas-ikhlasnya. Bayangkanlah muka-muka rakyat majoriti ini yang semakin lama semakin tenggelam. Sama ada suka atau tidak, pahit atau maung ia perlu diberikan perhatian dan keutamaan dalam mengurus tadbir negara ini.

Perkara ini harus dijadikan agenda penting dalam setiap kali perbincangan mereka. Oleh itu, UMNO dan Pas juga harus tahu membezakan yang manakah fokus strategik dan ia tidak harus digadaikan semata-mata demi pemahaman politik sempit yang merugikan keseluruhan umat. Perbezaan politik adalah lumrah tetapi perbezaan yang melampau sudah pasti tidak akan menguntungkan, sebagaimana pesan Nabi SAW kepada kita semua agar senantiasa bersederhana dalam setiap tindakan dan perkara.

Tiada gunanya menang sorak tetapi kampung tergadai kepada yang lain.