SEBANYAK 400,000 kad pengenalan atau Mykad masih belum dituntut oleh para pemohonnya daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).Jumlah itu terlalu besar. Awang tidak tahu apa alasan para pemohon berkenaan enggan berbuat demikian tetapi faktor utama adalah soal sikap. Mohon MyKad tetapi tidak ambil.
Ketika warga asing ghairah mahu mendapatkan MyKad termasuk secara gelap, rakyat kita pula bersikap ambil mudah dan tidak bertanggungjawab.
Awal minggu ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan bagi mendapatkan khidmat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rela bagi menyerahkan Mykad yang tidak diambil kepada individu terbabit di kediaman masing-masing.
Menurut KDN, tindakan tersebut merupakan inisiatif kerajaan membantu pemohon terutama di pedalaman seperti kaum Penan di Sarawak. Selain itu, alasan yang diberikan, pemohon tidak mengetahui bila MyKad mereka siap.
Awang amat hargai niat murni dan memahami semangat positif di sebalik keputusan tersebut iaitu untuk memudahkan rakyat. Tetapi Awang ada pandangan berlainan dalam hal ini.
Menyerahkan MyKad ke rumah, bukanlah keputusan terbaik.
Mengapalah hendak dimanjakan sangat golongan seperti itu dan masyarakat jenis apa yang kita mahu lahirkan? Sepatutnya pihak berkuasa mendenda mereka atau mengambil tindakan lebih tegas. Banyak persoalan berlegar. Apakah benar pemohon tidak tahu bila Mykad mereka siap untuk dituntut? Setahu Awang, ketika permohonan dibuat, JPN sudah memaklumkan kepada pemohon jangkaan bila MyKad boleh diambil. JPN juga boleh dihubungi oleh pemohon atau penjaga mereka (jika pemohon masih dalam usia kanak-kanak) bagi tujuan pertanyaan.
Apakah juga kesemua 400,000 MyKad itu melibatkan pemohon daripada kawasan pedalaman? Awang percaya jumlahnya tidaklah sebesar mana tetapi mengapa perlu memberi keistimewaan kepada kesemua pemohon? Itu belum menyentuh soal kos tambahan yang bukannya kecil.
Awang bimbang langkah tersebut akan menjadi precedent atau teladan duluan yang akan mengubah banyak perkara lagi selepas ini. Apa sahaja yang telah ditetapkan sebagai peraturan untuk rakyat, diberi kelonggaran kepada sebahagian kecilnya.
Dalam isu MyKad ini, pastinya ada cara lebih sesuai dan praktikal bagi mengatasi masalah tersebut tetapi bukan dengan mengikut tabiat buruk sebahagian rakyat.
Lagipun untuk apa membebankan PDRM dan Rela, yang sudah pun terbeban dengan segala macam perkara termasuk yang bukan tugas hakiki mereka. Adalah lebih baik anggota polis dan Rela digembleng sepenuhnya untuk tugas menangani ancaman jenayah secara lebih menyeluruh. Sekarang ini pun di sebalik pelbagai langkah yang diambil, PDRM masih tidak menang tangan dan rakyat pula belum berpuas hati dengan pencapaian usaha memerangi jenayah. Manakan tidak, kes ragut dan pecah rumah makin menjadi-jadi. Di mana prioriti kita sama ada untuk membantu kelompok manja atau melindungi sepenuhnya rakyat daripada jenayah?
- Kalau dimanjakan sangat nanti naik kepala.
- Bujet kerajaan nanti takut dihabiskan untuk tujuan ini. Semakin kuranglah dana untuk bidang yang sepatutnya dilabur.