kali ini isu bertumpu kepada huraian konsep dan amalan ibadat dan juga hidup kerohanian fahaman Wahabiah.
Kita mulakan dengan huraian mengenai syahadah yang menjadi syarat bagi seseorang itu menjadi orang Islam kerana apabila Islam, barulah ibadatnya diterima Allah SWT.
Seperti dinyatakan sebelum ini, syahadah golongan ini mesti ada lima syarat, barulah mereka selamat menjadi orang Islam, sekali gus hukum Islam berjalan atasnya, nyawa dan hartanya selamat.
Syarat berkenaan ialah menyebut lafaz syahadah, faham ertinya, berikrar mengenai keesaan Tuhan, menyeru kepada-Nya dan kufur terhadap apa yang disembah selain Allah SWT.
Huraian seperti ini tidak pernah ada dalam mana-mana kitab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hanya ada pada kitab Wahabi saja. Dalam Ahli Sunnah, apabila orang mengucap syahadah, sah Islamnya, dan selamatlah nyawa dan hartanya. Jikalau dia tidak percaya tetapi disembunyikan daripada orang lain, itu adalah perkara antara dia dan Tuhan dan masyarakat Muslimin masih bergaul dengannya dan menganggapnya masih orang Islam.
Mentauhidkan Allah SWT dan beriman kepada-Nya bererti beribadat dan taat kepada-Nya. Seseorang yang beribadat kepada Tuhan jangan bersikap syirik terhadap-Nya.
Huraian mengenai konsep tauhid dibahagi tiga secara terpisah perlu disebut lagi kerana mereka menjadikannya alat atau senjata menyamakan orang Islam (kerana tawassul disebut menyembah kubur atau menyembah orang mati) dengan penyembah berhala, lalu timbul hukum syirik dan orangnya boleh dibunuh, manakala halal darah dan hartanya.
Hujahnya ialah penyembah berhala itu bertauhid dengan tauhid rububiah iaitu mengakui Tuhan menjadikan alam, memberi rezeki, berkuasa dan lainnya. Dia menyembah berhala itu sebagai perantara untuk berdampingan dengan Tuhan. Kata mereka, ini sama dengan orang yang mengucap 'Lailahaillallah' pergi berdoa di kubur nabi atau kubur orang soleh untuk mendapat berkat sebagai perantara dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu hajat. Kata pengasas golongan Wahabi, ia seperti penyembah berhala yang menyembah berhala, yang ini menyembah kubur, lalu dipanggil kuburriyun, penyembah kubur. Istilah ini hanya ada pada golongan Wahabi saja, tidak ada pada golongan lain.
Dalam ajaran Ahli Sunnah dibenarkan melawat kubur dan berdoa di situ untuk keampunan ahli kubur atau memohon kepada Tuhan dengan berkat orang soleh supaya Tuhan menunaikan hajatnya. Ini diharuskan dan hadisnya ada diriwayatkan dalam kitab yang panjang.
Sebenarnya mereka membandingkan orang Islam yang berdoa di kubur itu dengan penyembah berhala kerana orang Islam dikatakan menyembah kubur atau menyembah orang mati. Dakwaan menyembah kubur itu tidak benar kerana orang Islam ke kubur untuk menziarahi kubur kerana Allah dan perbuatan ini digalakkan dalam hadis nabi seperti amalan berdamping dengan Tuhan. Ini bermakna orang yang melawat itu tidak menyembah kubur. Oleh itu, istilah kuburiyyun tidak benar, kecuali kalau dimaksudkan untuk kaum yang sesat yang sememangnya menyembah kubur (seperti berlaku di sesetengah negeri yang mempunyai ajaran sesat sedemikian).
Orang Islam menyembah Allah SWT, bukan menyembah kubur. Mereka berdoa kepada Allah SWT di kubur untuk mendapat berkat. Itu dibenarkan dan disebut tawassul, ataupun disebut untuk mendapat syafaat dan perbuatan itu ada dalam Ahli Sunnah.
Hakikatnya, penyembah berhala itu memang menyembah berhala dan hanya apabila dihujah, penyembah berhala mengelak daripada terkena hujah lalu ia membuat helah menyebut berhala itu sekadar perantara saja, sedangkan ditujukan kepada Tuhan Yang Esa.
Dalam hubungan ibadat, antaranya kita boleh melihat istilah 'menyeru' pada golongan ini; huraian 'simplistic' mengenai 'menyeru' difahami secara zahir (literal), pada mereka kita tidak boleh menyeru kepada orang mati, sebab al-Quran melarangnya dalam ayat yang bermaksud: "Jangan kamu menyeru, selain daripada Allah SWT." (Quran, Syuara:213; Qasas:88 dan lain-lain sepertinya). Larangan oleh al-Quran ialah menyeru sebagai beribadat kepada Allah SWT dalam doa. Kalau menyeru: "Wahai ahli kubur, mudah-mudahan Allah SWT ampunkan kami dan kamu," itu tidak mengapa.
Demikian juga tidak mengapa jika menyeru seperti Saidina Bilal menyeru Rasulullah apabila melawat kuburnya. Ketika dalam solat pun kita menyeru Rasulullah dalam tahiyyat yang bererti 'Sejahteralah atas tuan hamba wahai Rasulullah rahmat Allah SWT dan keberkatan-Nya. Yang tidak boleh ialah menyembah orang dalam kubur itu.
Perkara yang dilarang di sini ialah menyembah kubur atau orangnya. Tetapi tidak ada pengikut Ahli Sunnah yang melakukan demikian kecuali orang yang sesat. Bagaimanapun, tuduhan berterusan dibuat golongan Wahabi kepada Ahli Sunnah. Ini boleh dilihat dalam sejarah bagaimana mereka sampai berperang dengan orang Turki Uthmaniah dan lainnya kerana konon mereka terkeluar daripada Islam. Salam yang mereka tujukan kepada mereka – seperti yang ada dalam kitab sejarah mereka sendiri, adalah salam yang diberikan oleh Musa kepada Firaun.
Dalam hubungan dengan ibadat, apabila kita berbincang mengenai solat, golongan ini (Wahabi) tidak mahu kita mengikut ibadat solat seperti yang ada dalam ajaran fiqh mengikut mazhab. Katakanlah di Malaysia, kita sembahyang mengikut Imam Syafie. Mereka mahu kita 'sembahyang nabi' dan maksud 'sembahyang nabi' itu ialah sembahyang yang dihuraikan oleh Syeikh Nasir al-Din Albani dalam bukunya Solatun-Nabi.
Kalau kita solat mengikut mazhab kata mereka, itu bukan sembahyang nabi, itu sembahyang imam mazhab; itu bidaah kata mereka. Jadi kalau kita belajar solat mengikut ajaran ibu bapa kita, maka logiknya boleh dikatakan solat ibu bapa dan demikianlah seterusnya.
Bagi Ahli Sunnah, wajib orang yang bukan mujtahid mengikut imam mujtahid kerana diperintah oleh al-Quran – bertanyalah kepada ahli ilmu kalau kita tidak tahu; ahli ilmu yang tertinggi dalam syariat ialah imam mujtahid; sebenarnya orang seperti Nasir al-Din Albani pun perlu bertanya kepada imam mujtahid; dengan merujuk kepada teks mereka dan mengikut panduan mereka tetapi dia tidak mahu kerana memikirkan dia mujtahid. Wallahu alam.
Pada Ahli Sunnah, semua imam mujtahid berada di jalan yang betul (sirat al-mustaqim). Dalam hubungan dengan ibadat juga, mereka membidaahkan azan dua kali pada hari Jumaat, (kalau begitu sahabat nabi seperti Saidina Othman pun buat bidaah). Qunut Subuh, berdoa dan mengaminkannya beramai-ramai di masjid, zikir beramai-ramai, tahlil beramai-ramai, membaca Yasin malam Jumaat semua dikatakan bidaah.
Dalam hubungan dengan hidup rohaniah juga mereka menentang tasauf padahal diijmakkan dalam Ahli Sunnah ia sebahagian daripada ilmu syarak yang sah. Imam Ahmad bin Hanbal turut terbabit dalam tasauf. Hakikatnya, tanpa ilmu dan amalan tasauf atau sekurang-kurangnya sekadar tahap fardu ain, hidup ibadat dan kerohanian orang Islam tidak mantap. Wallahualam.
Sunday, November 22, 2009
Wahabi Dan Sunnah Wal Jammaah
ILHAM DARI PUTERA at 9:43:00 AM