MEMBINCANGKAN Eropah dan Asia adalah perkara yang amat menarik kerana kedua-dua mempunyai sejarah perhubungan yang panjang dan rumit. Asia pernah dianggap sebagai Europe Centric yang memperlihatkan dominasi Eropah dalam konteks penjajahan dan kolonialisme. Malaysia (Tanah Melayu pada ketika itu) pernah dijajah oleh bangsa Eropah iaitu British sehingga mencapai kemerdekaan pada 1957.
Zaman kegemilangan Eropah yang ditandai dengan era reformasi, enlightment (pencerahan) dan renaissance sering menjadi rujukan bagaimana bangsa Eropah berjaya membuka tamadun dan peradaban baru menerusi pelbagai pencapaian. Mereka berusaha meninggalkan zaman kegelapan (Darks Ages) dengan mengeksploitasi kemampuan akal dan menjunjung kreativiti dan inovasi.
Di sebalik kegemilangan tamadun Eropah, kita tidak menafikan bahawa interaksi antara tamadun memang wujud. Malah menurut sumber sejarah, pencapaian Eropah pada era kegemilangannya turut dikaitkan dengan sumbangan tamadun Islam melalui pemindahan ilmu pengetahuan. Karya-karya Islam pada ketika itu diterjemahkan dan dengan itu, transformasi ilmu dapat dilakukan.
Penjajahan dan penguasaan Eropah adalah cerita lama. Negara jajahan Eropah sudah lama merdeka dan menjadi negara bangsa yang bebas merdeka. Kini banyak pihak bercakap mengenai kebangkitan Asia dalam abad ke-21.
Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucaptama pada Siri Syarahan Tokoh-tokoh Terkemuka anjuran Institut Asia Eropah baru-baru ini, abad ke-21 adalah abad Asia yang memperlihatkan kebangkitan Jepun, Korea dan China.
Apa yang menarik, Dr Mahathir mengingatkan Asia supaya tidak mengambil pendekatan Eropah untuk menjadi kuasa besar dunia. Jika Eropah menggunakan penjajahan sebagai cara mendominasi dunia, Asia wajar mengambil langkah bijaksana dengan membina kekuatan sendiri dan berhemah. Asia tidak perlu bermusuh dan menjatuhkan pihak lain untuk berjaya. Kata Dr Mahathir, Asia tidak harus menyaingi Eropah, sebaliknya bekerjasama dan membantu mereka jika diperlukan.
Dr Mahathir melihat Asia sudah dan sedang berusaha untuk membina kekuatan untuk muncul sebagai kuasa baru dunia. Jika selama ini, Eropah dan Amerika Syarikat begitu sangsi dengan kemampuan Asia, kita sebenarnya boleh berbangga dengan pencapaian Asia dalam pembangunan ekonomi, khususnya. China, misalnya yang mempunyai 1.3 bilion penduduk kini muncul sebagai antara negara pengeluar terbesar di dunia.
Meskipun mengikut kata Dr Mahathir, kualiti produk dari China masih pada tahap sederhana berbanding Barat, beliau yakin, kualiti itu akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Beliau memberi contoh bagaimana kereta keluaran Jepun yang memasuki pasaran Amerika pada awalnya diragui kualitinya. Keadaan itu menyebabkan Amerika Syarikat membuka kedai membaiki kereta dengan banyak kerana percaya kereta keluaran Jepun mudah rosak.
Namun ternyata pandangan itu tidak benar kerana kereta keluaran Jepun sememangnya mempunyai kualiti yang tinggi dan hingga kini berjaya menguasai pasaran kereta antarabangsa.
Eropah dikatakan tidak lagi penting, sebaliknya Asia kini menjadi tumpuan dunia dan berjaya mencuri perhatian pelbagai pihak, termasuk Amerika. Buktinya, Eropah dikatakan tersinggung kerana Presiden Amerika, Barack Obama membuat keputusan untuk tidak hadir ke majlis memperingati runtuhnya Tembok Berlin, baru-baru ini.
Obama dikatakan tidak hadir ke majlis itu kerana memilih untuk melawat China. Ketidakhadiran Obama pada upacara berkenaan menimbulkan kesangsian terhadap hubungannya dengan Eropah. Ramai pemerhati melihat Obama tidak begitu serius mendampingi Eropah berbanding era pemerintahan sebelumnya termasuk George W Bush.
Obama juga dikritik kerana gagal meyakinkan dunia bahawa Eropah adalah penting bagi Amerika gara-gara ketidakhadiran ke upacara di Berlin itu.
Apa yang menimbulkan kemarahan Eropah ialah kenapa Obama memilih China berbanding mereka sendiri? Apa kelebihan China sehingga Obama sanggup ke sana dan melupakan Eropah? Inilah persoalan demi persoalan yang timbul mengenai hubungan Obama dengan Eropah. Namun kita harus ingat Obama mempunyai pelbagai alasan kukuh untuk bersahabat dengan China. Sebagai bakal kuasa besar dunia, China boleh menjadi rakan perdagangan yang strategik bagi Amerika.
Obama juga sedar kekuatan China sebagai kuasa besar yang bakal mendominasi dunia dan boleh memberi saingan kepada Amerika.
Di sebalik pencapaian Asia yang mengagumkan, mereka tidak boleh berpuas hati jauh mendabik dada. Selain pembangunan material, pegangan nilai murni juga amat penting dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan pada hari ini.
Tegas Dr Mahathir, Jepun, misalnya kini risau dengan perkembangan generasi muda yang terlalu obses dan ghairah terhadap budaya Barat.
Sikap dan tindak tanduk generasi muda Jepun yang meniru nilai Barat seperti cara berpakaian dan berfikir sehingga mempengaruhi sikap juga tindakan mereka amat bertentangan dengan tradisi nilai Jepun. Kini masa depan Jepun diperdebatkan dan bakal menghadapi masalah jika tidak diperbaiki.
Selain itu, pegangan kepada kebebasan individu yang mutlak juga boleh membawa masalah kepada negara. Nilai itu yang menjadi pilihan rata-rata masyarakat Barat tidak wajar dicontohi oleh Asia kerana ia hanya melahirkan generasi yang mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan kepentingan awam dan masyarakat secara keseluruhan.
Sehubungan itu, kebangkitan Asia perlu diimbangi dengan pembangunan dalaman dan bukan fizikal semata-mata. Maka di sinilah letaknya peranan agama dalam memberi keseimbangan kepada kemajuan material. Jika agama dijadikan asas dan gandingan kepada pembangunan dan kebangkitan Asia, kita percaya kekuatan Asia akan lebih bermakna. Ketika Barat dan Eropah 'membuang' agama dalam urusan keduniaan atas dasar sekularisme, Asia wajar melihat agama dan sebagai sahabat dan faktor pelengkap kepada kemajuan yang ingin dibawa.
Asia bertuah kerana pegangan dan nilai agama masih wujud dan kukuh berbanding di Eropah. Islam misalnya, yang masih menjadi faktor penentu kepada beberapa negara sentiasa menjamin pembangunan yang seimbang dan komprehensif.
Berbanding Eropah yang mewakili satu bangsa, Asia memiliki kepelbagaian kerana mewarisi ras, etnik mahupun kepercayaan yang berbeza.
Kepelbagaian ini jika tidak bijak diuruskan, boleh menjadi masalah dan halangan untuk Asia bersatu. Namun begitu, ia juga boleh menjadi kelebihan kepada Asia jika mereka melihat kepelbagaian itu sebagai satu kekuatan.
Apa yang pasti, kebangkitan Asia terletak di tangan mereka sendiri. Melalui beberapa kelebihan yang ada, Asia mempunyai masa depan yang cerah dan gemilang. Asia mempunyai kekuatan tersendiri kerana jika tidak, mustahil Napoleon Bonaparte sanggup berkata: "Biarkan China itu tidur kerana jika dia bangun, dunia akan huru-hara."
Sunday, November 22, 2009
Kebangkitan Asia bakal dominasi dunia
ILHAM DARI PUTERA at 10:09:00 AM