Mencari Hasil Ilmu

Sunday, November 15, 2009

Umat Islam AS terancam

APABILA dunia dikejutkan dengan peristiwa penembakan di pangkalan tentera Fort Hood, di Texas, Amerika Syarikat (AS) - satu persoalan yang terlintas di fikiran umat Islam ialah kejadian itu sekali lagi akan meletakkan imej Islam tercemar.

Pandangan itu diberikan kerana kejadian berkenaan melibatkan seorang pegawai tentera beragama Islam iaitu Mejar Nidal M.Hassan seorang pakar psikologi bagi tentera AS.

Dalam kejadian itu beliau melepaskan tembakan yang mengakibatkan 13 orang terbunuh dan 30 yang lain luka.

Walaupun motif serangan masih disiasat namun seperti diduga sudah ada puak yang melemparkan tuduhan dengan mengaitkan perbuatan itu dengan puak ekstremis Islam.

Akibatnya, kehidupan umat Islam terutamanya di Texas terganggu. Mereka mula menerima ancaman bunuh daripada kumpulan-kumpulan yang tidak dikenali.

Berikutan itu, kawalan keselamatan ke atas umat Islam diperketatkan. Masjid-masjid yang menjadi tumpuan untuk solat Jumaat dikawal rapi oleh pihak polis termasuklah di Washington, Chicago dan California.

Lanjutan itu, Pengarah Majlis Hubungan Islam Amerika, Hussam Ayloush mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dan mengelakkan daripada mendedahkan identiti mereka.

Sambil memberitahu bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam di AS menerima pelbagai ancaman keselamatan beliau menyatakan, ''Sekarang adalah waktu untuk kita berdoa bersama warga AS agar kita menjadi semakin kuat, bersatu dan bertolak ansur.''

Umat Islam AS bernasib baik apabila seorang senator dari Parti Demokrat, Andre Carson cuba menenangkan keadaan dan mengingatkan semua pihak supaya menumpukan perhatian kepada usaha memulihkan mental anggota tentera berbanding bertelagah soal siapa yang bertanggungjawab.

''Kejadian ini tidak menggambarkan sedikitpun mengenai Islam seperti mana perbuatan Timothy Mc Veigh yang tiada kaitan dengan Kristian di Oklahoma kira-kira 14 tahun lalu yang mengakibatkan 168 orang terbunuh,'' katanya.

Dalam masa yang sama, Presiden Barrack Obama turut mengingatkan bahawa semua tentera AS tanpa mengira apa juga agama dan keturunan mereka berjasa kepada negara itu.

Sememangnya, peristiwa pembunuhan tersebut adalah jenayah murni dan ia tiada kaitan sama sekali dengan agama Islam. Oleh itu adalah tidak wajar jika mana-mana pihak cuba menuding jari dengan menuduh bahawa Islam itu agama yang ganas dan menjadikan perbuatan Mejar Nidal sebagai ukuran.

Berdasarkan hakikat itulah seorang imam di New York, Feisal Abdul Rauf menegaskan, perbuatan Mejar Nidal tidak boleh dimaafkan dan sama sekali bukan ajaran Islam.

''Apa yang dilakukan oleh pegawai tentera itu adalah bertentangan dengan ajaran dan undang-undang Islam, biarpun orang cuba mengaitkan beliau dengan Islam,'' katanya.

Feisal terpaksa membuat penegasan itu kerana bimbang dengan sikap sesetengah media di AS yang terus berusaha mengaitkan peristiwa tersebut dengan ancaman ekstremis Islam.

Malah sehari selepas kejadian, stesen televisyen CNN cuba membuat teori bahawa kononnya berdasarkan siasatan yang dijalankan Mejar Nidal pernah berhubung dengan seorang imam yang mempunyai kaitan dengan penyerang Pusat Dagang Dunia (WTC) pada 11 September 2001.

Spekulasi

Walaupun laporan itu dinafikan oleh imam terlibat, namun ia tidak mampu meredakan spekulasi demi spekulasi yang cuba dilakukan oleh media-media barat. Bagi mereka, Islam tetap harus dipersalahkan dalam kejadian itu.

''Kita harus ingat perbuatan itu dilakukan di sebuah kem tentera di AS bukannya di tengah-tengah medan peperangan, justeru pasti ada faktor lain yang mendorong Mejar Nidal bertindak,'' kata seorang ulama Akbar Ahmed.

Menurut Akbar dalam soal peperangan, Islam mempunyai peraturan yang jelas iaitu tidak boleh membunuh, wanita, kanak-kanak dan orang tua.

Beliau berkata, peristiwa yang berlaku boleh dianggap satu tragedi kemanusiaan, sesuatu yang amat buruk dan ia dilakukan oleh seseorang yang mengalami tekanan jiwa akibat tugas.

''Adalah jelas apa juga perkara yang berlaku sekarang akan dikaitkan dengan keganasan, agenda dan konspirasi,'' katanya yang merujuk kepada situasi umat Islam selepas peristiwa 11 September 2001.

Oleh itu kata beliau, mengaitkan perbuatan Mejar Nidal sebagai sebahagian daripada keganasan yang dirancang oleh umat Islam adalah tidak benar.

Beliau kecewa apabila sesetengah penduduk AS dan ahli politik negara itu menjadikan tindakan Mejar Nidal sebagai platform untuk menggambarkan begitu sikap orang Islam secara keseluruhannya.

Bagi Zaid Shakir yang merupakan seorang imam di Institut Zaytuna California, apa yang dilakukan oleh Mejar Nidal tidak boleh diterima sama sekali dalam Islam kerana dalam keadaan apa sekali pun umat Islam tidak boleh membunuh orang yang tidak bersalah.

''Perbuatan menganggap Mejar Nidal sebagai wira adalah satu pandangan yang boleh menjejaskan kesucian Islam,'' katanya.

Sememangnya tiada orang Islam yang akan menganggap Mejar Nidal sebagai wira. Kalau ada pun mereka terdiri daripada kelompok pengganas Islam yang sememangnya suka kepada perbuatan ganas seumpama itu.

Namun begitu, ancaman terhadap umat Islam tetap berlaku biarpun Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sudah mengesahkan bahawa perbuatan Mejar Nidal tiada kegiatan dengan puak pengganas.

Seharusnya kenyataan itu diterima oleh semua penduduk AS tanpa mengira bangsa dan agama. Ia adalah fakta sebenar dan tindakan mengaitkan Islam dengan apa yang dilakukan oleh Mejar Nidal tidak akan menyelesaikan masalah.

Sebaliknya seperti mana kata Feisal, di dalam pasukan tentera AS terdapat ribuan anggota beragama Islam. Mereka ini sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan negara itu.

''Rakan-rakan kita di AS harus faham bahawa seluruh pertubuhan Islam mengecam perbuatan Mejar Nidal.

''Terdapat ribuan anggota tentera AS beragama Islam yang kini berada di Iraq dan Afghanistan bagi mencapai matlamat mewujudkan keamanan dan kestabilan di kedua-dua negara itu,'' katanya.

Tidak dapat dipastikan sejauh manakah kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh tokoh-tokoh Islam AS itu dapat diterima oleh masyarakat kuasa besar tersebut.

Tetapi apa yang pasti peristiwa penembakan yang dilakukan oleh Mejar Nidal hanya memburukkan lagi imej Islam. Hakikatnya, umat Islam tidak peduli apa pun motif Mejar Nidal tetapi perbuatannya telah menyebabkan umat Islam di AS dalam bahaya.

Bagaimanapun inilah nasib yang terpaksa dilalui oleh umat Islam di seluruh dunia sekarang terutamanya mereka yang menjadi penduduk minoriti.

Peristiwa 11 September 2001 yang dianggap oleh sesetengah puak pengganas Islam sebagai satu kejayaan besar, hakikatnya hanya mengundang penderitaan berpanjangan kepada umat Islam.