Iran semalam melancarkan latihan perang bagi pertahanan udaranya, bertujuan melindungi kemudahan nuklear daripada kemungkinan diserang Israel, kata seorang panglima kanan tentera kelmarin.
Latihan itu diadakan selepas seorang pemimpin tertinggi Iran mengulangi ancamannya untuk menyasarkan Tel Aviv andainya Israel menyerang Iran.
Latihan selama lima hari itu membabitkan Pengawal Revolusi Iran dan tentera biasa dan meliputi kira-kira 600,000 kilometer persegi kawasan tengah, barat dan selatan Iran, kata Jeneral Ahmad Mighani daripada sayap tentera udara.
Ketika Iran meneruskan program nuklearnya, Israel beberapa kali mengancam akan mengambil tindakan ketenteraan bagi menghalang Teheran daripada memperoleh senjata nuklear. Amerika Syarikat juga tidak menolak tindakan ketenteraan jika pendekatan diplomasi gagal menyelesaikan pertikaian berhubung kegiatan nuklear Iran.
Washington dan sekutu Eropahnya mengesyaki Iran akan menggunakan program nuklear awam sebagai alasan untuk mengeluarkan senjata tetapi Iran dengan tegasnya menolak cadangan baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertujuan meredakan kebimbangan itu.
Teheran menafikan sebarang hasrat untuk mengeluarkan senjata nuklear dan berkata ia hanya bertujuan untuk menjana kuasa elektrik.
Latihan udara itu membabitkan serangan oleh pesawat yang mewakili musuh olok-olok.
"Pesawat peninjau musuh menceroboh ruang udara kami dan cuba menganggu sistem radar dan elektronik kami, mengenal pasti kemudahan sensitif, merakam gambar dan menyerang pengkalan udara kami," kata Jeneral Ahmad, dipetik stesen televisyen kerajaan.
"Sistem pertahanan kami akan berdepan dengan pesawat yang menceroboh itu."
Salah satu komponen utama dalam pertahanan udara Iran adalah sistem peluru berpandu antipesawat Russia, yang masih belum dihantar ke negara itu.
Jeneral Ahmad mengecam Russia, dan menyatakan penangguhan penghantaran peluru berpandu S-300 itu selama beberapa bulan itu, berlaku akibat tekanan Israel, bukan isu teknikal seperti yang didakwa Moscow.
Israel dan Amerika Syarikat menentang perjanjian peluru berpandu itu kerana bimbang Iran akan menggunakan sistem berkenaan bagi meningkatkan lagi pertahanannya di tapak nuklearnya - termasuk loji perkayaan uranium di Natanz.
Wakil pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran bahawa peluru berpandu Iran akan mensasarkan Tel Aviv jika peluru berpandu Israel meledak di Iran.
Monday, November 23, 2009
Iran sedia serang bandar Tel Aviv
ILHAM DARI PUTERA at 8:54:00 AM