Amerika Syarikat (AS) menguasai lebih dua pertiga dari jualan senjata asing pada tahun lalu, tahun yang menyaksikan penjualan global terendah untuk tiga tahun berturut-turut.
Akhbar The New York Times dalam laporannya semalam memetik sebuah kajian peringkat Kongres pada Jumaat lalu yang menyatakan AS terlibat dalam 68.4 peratus dalam jualan senjata global.
Ia melonjak hampir 50 peratus tahun lalu, walaupun dunia mengalami krisis ekonomi dengan nilai jualan AS$37.8 bilion (RM133.3 bilion) dari AS$25.4 bilion (RM89.6 bilion) pada tahun 2007.
Lonjakan tersebut menafikan trend seluruh dunia yang menyaksikan penjualan senjata global jatuh 7.6 peratus kepada AS$55.2 bilion (RM194.6 bilion) tahun lalu. Perjanjian penjualan senjata global berada pada paras terendah sejak tahun 2005.
Itali di tangga kedua, mencatatkan AS$3.7 bilion (RM13 bilion) penjualan senjata, sementara Rusia di tempat ketiga dengan AS$3.5 bilion (RM12.3 bilion) dalam jualan tahun lalu berbanding AS$10.8 bilion (RM38 bilion) pada 2007.
Times menyatakan, peningkatan jualan tersebut adalah disebabkan ‘tempahan besar dari pelanggan di Asia Barat dan Asia’ serta kontrak berterusan untuk peralatan dan perkhidmatan sokongan.
AS juga mendahului dalam penjualan senjata kepada negara membangun dengan 70.1 peratus daripada keseluruhan perjanjian senjata dengan nilai AS$29.6 bilion (RM104.2 bilion) untuk tahun lalu.
Perjanjian jualan senjata dengan dunia membangun termasuklah sistem pertahanan udara pada harga AS$6.5 bilion (RM22.9 bilion) kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), jet pejuang berjumlah AS$2.1 bilion (RM7.4 bilion) kepada Maghribi dan helikopter tempur bernilai AS$2 bilion (RM7 bilion) kepada Taiwan.
India, Iraq, Arab Saudi, Mesir, Korea Selatan dan Brazil turut menandatangani perjanjian pembelian senjata dengan AS.
Laporan itu juga mendedahkan UAE sebagai pembeli terbesar di antara negara-negara membangun dengan pembelian senjata sebanyak AS$9.7 bilion (RM34.2 bilion) tahun lalu.
Arab Saudi pula berada di tempat kedua dengan AS$8.7 bilion (RM30.7 bilion) sementara Maghribi di tangga ketiga dengan AS$5.4 (RM19 bilion).
Tuesday, September 08, 2009
Amerika kuasai pasaran senjata
ILHAM DARI PUTERA at 8:42:00 AM