Mencari Hasil Ilmu

Tuesday, August 24, 2010

Segerakan bank DNA

PERDEBATAN mengenai keperluan sebuah tabung asid deoksiribonukleik (DNA) sebagai antara penyelesaian kepada kes jenayah sebenarnya sudah pun bermula sejak tahun 2000 lagi.

Namun, cadangan itu menimbulkan polemik yang pelbagai dengan suara membantah lebih banyak dari yang bersetuju.

Mereka yang menolak beranggapan Malaysia belum bersedia dari sudut teknologi dan kepakaran untuk memiliki serta menguruskan sebuah bank DNA.

Apatah lagi ketika ini hanya beberapa buah negara maju sahaja yang memiliki tabung DNA seperti itu. Antaranya Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, New Zealand dan Denmark.

Isu integriti dan ketelusan badan yang memantau tabung DNA juga menjadi pertikaian apabila banyak pihak yang bimbang ia akan digunakan untuk tujuan yang salah.

Lebih malang, cadangan penubuhan bank DNA itu turut terjerumus ke dalam perdebatan politik menyebabkan perbincangan mengenainya tidak membuahkan sebarang keputusan.

Bagaimanapun, peningkatan jenayah yang kompleks seperti rogol, bunuh, buang bayi dan sebagainya semakin mendesak kepada perlunya sebuah tabung DNA negara untuk membantu penyelesaian kes-kes jenayah tersebut.

Sehinggalah pada Ogos 2008, Rang Undang-Undang Indentifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 akhirnya dibentangkan buat pertama kali di Dewan Rakyat oleh Datuk Seri Syed Hamid Albar yang ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri.

Rang Undang-Undang itu antara lain memasukkan keperluan membangunkan sebuah Bank Data Forensik DNA, analisis forensik DNA, penggunaan profil DNA dan sebarang maklumat berkaitan dengan DNA yang diperoleh dalam proses pengumpulan bukti.

Jika diluluskan, ia juga akan menyediakan hukuman yang boleh dikenakan terhadap mereka yang enggan memberi, membenar atau menghalang sampel DNA bukan intim (non-intimate) seperti kuku, calitan daripada bahagian bukan sulit badan dan air liur diambil untuk diuji dalam sesuatu kes jenayah yang disiasat.

Setakat yang diketahui rang-rang undang itu telah dibacakan sebanyak dua kali dan sudah dibahaskan oleh ahli Dewan. Ia juga ketika itu dalam keadaan tergantung sama ada perlu dirujuk ke jawatankuasa pilihan atau perlu diteruskan dengan perbahasan.

Namun sejak itu, tiada perkembangan terkini dari Dewan Rakyat mengenai status rang undang-undang tersebut kerana peralihan kerajaan.

Sehinggalah kelmarin, keperluan kepada tabung DNA itu dibayangkan semula oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai langkah mengurangkan kadar jenayah.

Memandangkan rang undang-undang itu sudah pun dibawa ke peringkat Dewan Rakyat, maka adalah wajar sekiranya Hishammuddin menyambung semula usaha tersebut.

Pentingnya rang undang-undang itu menjadi kenyataan kerana teknologi DNA ketika ini dilihat sebagai penyelesaian terbaik dalam menjejak penjenayah.

Ia boleh membantu mempercepatkan proses siasatan di samping melindungi suspek yang tidak bersalah. Ini kerana dalam sebarang kes jenayah seperti rogol, bunuh dan buang bayi misalnya, DNA akan menjadi bahan bukti utama yang akan mengaitkan kepada penjenayah tersebut.

Berbeza dengan cap jari yang boleh dimusnahkan, DNA bagaimanapun boleh disimpan seumur hidup dalam pangkalan data memandangkan ia direkodkan dalam bentuk nombor.

Justeru, sekiranya pihak polis tidak mempunyai sebarang suspek dalam sesuatu kes jenayah, DNA itu boleh dipadankan dengan rekod yang disimpan di bank DNA.

Ketepatan ujian DNA juga hampir sempurna iaitu sehingga 99.9 peratus memandangkan profil bagi setiap individu adalah unik dan berbeza. Kelebihan itu juga dapat membantu pihak polis mengenalpasti penjenayah yang melakukan jenayah berulang.

Malangnya, disebabkan negara ketika ini tidak mempunyai maklumat mengenai identiti pemilik DNA, penjenayah akhirnya lepas begitu sahaja.

Jika boleh diimbas kembali, ketiadaan data DNA itu juga gagal menegakkan kebenaran buat Nurin Jazlin Jazmin, Noritta Samsudin dan ramai lagi mangsa yang dibunuh dengan kejam.

Begitu juga dalam siasatan kematian Teoh Beng Hock apabila misteri DNA milik dua lelaki asing masih belum terungkai sehingga kini. Inilah juga yang menjadi dilema kepada pihak polis dalam menyelesaikan kes jenayah lain terutama buang bayi yang ketika ini semakin membimbangkan.

Memang dari sudut kos dan infrastrukturnya, perbelanjaan yang tinggi diperlukan untuk menubuhkan tabung DNA. Ini kerana pada asasnya, kos untuk mendapatkan DNA bagi setiap individu boleh mencecah sekitar RM500 seorang.

Mengambil kira kelahiran bayi iaitu seramai kira-kira 500,000 orang setahun, serta DNA setiap penduduk yang tidak pernah direkodkan sebelum ini, ia boleh membebankan kewangan kerajaan.

Kos itu akan lebih meningkat apabila kerajaan perlu menubuhkan makmal DNA di setiap negeri selain kos penyelenggaraan dan pengurusan yang besar memandangkan sampel DNA memerlukan pemerhatian khusus.

Namun, pelaburan itu sebenarnya jauh lebih berbaloi berbanding kos yang perlu digunakan oleh polis untuk menjalankan siasatan sesuatu kes jenayah yang berakhir dengan sia-sia kerana gagal memadankan pemilik DNA.

Usaha mengumpulkan maklumat DNA itu juga boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut kategori masyarakat.

Untuk permulaan, kerja-kerja merekodkan DNA bayi yang baru dilahirkan boleh dilakukan di peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu ketika sijil kelahiran mahu dikeluarkan.

Begitu juga ketika proses membuat kad pengenalan yang diwajibkan bagi kanak-kanak ketika berusia 12 tahun. Bagi kategori rakyat yang lainnya, kerajaan mungkin boleh menggerakkan satu tempoh pengambilan DNA sama seperti yang dilakukan dalam kempen menukar kad pengenalan lama kepada MyKad atau sebarang kaedah yang difikirkan sesuai.