Mencari Hasil Ilmu

Sunday, August 29, 2010

BANGSA SERUMPUN SUDAH BASI

MELONTAR najis kepada sebuah kedutaan asing dan memijak bendera yang merupakan lambang kebangsaan negara orang lain, lebih-lebih lagi negara yang dipanggil jiran adalah di luar kewarasan. Sifat tidak bertamadun dan tidak waras rakyat Indonesia yang berlindung atas nama Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) perlu membuka mata banyak pihak, bukan sahaja Kedutaan Malaysia di Jakarta tetapi juga semua rakyat Malaysia.

Kita berhak marah dan beremosi kepada insiden yang berlaku itu dan kita perlu menganggap perhubungan antara Malaysia dengan Indonesia telah cacat. Insiden di Kedutaan Malaysia sudah berulang kali berlaku tetapi pihak Indonesia sebagaimana biasa mengatakan peristiwa itu adalah terpencil dan perlu diatasi secara rundingan. Kenyataan yang sama akan terkeluar daripada mulut pihak berkuasa Indonesia di Kuala Lumpur setiap kali tercetusnya sentimen anti Malaysia oleh rakyat Indonesia. ‘Kita dari bangsa yang serumpun’ adalah gula-gula lama yang manis tetapi sebenarnya berpenyakit.