Kerajaan perlu pastikan hanya rakyat Malaysia peroleh kemudahan
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan bajet negara untuk tahun depan pada Jumaat lalu menghuraikan beberapa usaha bagi meningkatkan lagi kemasukan pelancong asing yang puratanya mencecah hampir dua juta orang sebulan. Antara galakan yang diberi ialah membuka beberapa pusat beli-belah barangan berjenama berkonsepkan 'factory outlet' raksasa.
Tentunya Johor Bahru akan dipilih antara beberapa bandar raya untuk didirikan pusat beli-belah itu memandangkan ia menjadi tumpuan rakyat Singapura untuk membeli pelbagai barangan serta perkhidmatan yang rata-ratanya lebih murah daripada yang mereka terpaksa bayar di republik itu. Dan, tentunya yang akan menikmati penubuhan kompleks beli-belah itu nanti adalah juga rakyat republik itu.
Dengan nilai tukaran sehingga RM2.45 bagi setiap dolar Singapura, mereka kini pun sudah menikmati harga amat murah hingga separuh daripada harga yang mereka bayar untuk barangan dan perkhidmatan serupa di pulau itu.
Dikatakan hingga 70 peratus daripada sekitar 23 juta pelancong yang melawat negara terdiri daripada mereka yang menyeberangi Selat Tebrau melalui Tambak Johor dan Link Kedua. Dan antara jumlah itu majoritinya adalah rakyat Singapura. Kebanyakan mereka pergi ke Johor bukannya sebagai pelancong mengikut erti kata sebenar, tetapi untuk membeli-belah.
Mereka inilah yang banyak berulang alik dan menjadi antara punca keadaan sesak sering berlaku di Tambak Johor dan di Link Kedua. Malangnya, angka sebenar rakyat Singapura yang datang untuk beberapa jam saja itu tidak dihebahkan. Kiranya tiada pemantauan demikian dilakukan, masanya sudah tiba bagi kerajaan memantau kemasukan mereka ini supaya kita tahu dan dapat membezakan antara mereka yang benar-benar melancong dengan yang memasuki untuk beberapa jam saja untuk membeli barang keperluan harian mereka. Demikian juga jumlah rakyatnya yang menetap di Johor, tetapi bekerja di pulau itu.
Ini akan membolehkan kita tahu berapa ramai sebenarnya yang ke mari membeli barang keperluan dapur mereka dan dengan itu dapat pula menikmati subsidi terhadap barang keperluan harian seperti minyak masak, gula dan beras yang sepatutnya hanya diberi kepada rakyat dan pembayar cukai negara ini saja.
Persoalannya, apakah patut rakyat republik itu (sama ada yang tinggal di Johor mahupun yang memasuki untuk membeli barangan keperluan harian) mendapat keistimewaan ini? Suatu kaedah harus diwujudkan untuk membolehkan mereka ini dikenal pasti supaya satu sistem dilaksanakan bagi menentukan mereka ini tidak akan menikmati sebarang subsidi rakyat kita. Apakah patut mereka ini yang tidak pun membayar cukai kita, menikmati subsidi yang diberi kerajaan?
Kita harus sedar Kerajaan Singapura menetapkan pelbagai bayaran untuk rakyat Malaysia yang memasuki republik itu dengan kenderaan sendiri hatta motosikal sekali pun. Bayaran yang dikenakan sekarang ialah S$20 sehari untuk kereta dan S$4 sehari untuk motosikal. Ia juga menetapkan setiap warganya yang hendak memasuki negara ini perlu mengisi minyak tidak kurang tiga suku tangki sebelum ke Johor.
Apapun, tindakan Kerajaan Singapura terhadap rakyatnya itu bukan bertujuan menolong mengehadkan rakyatnya menikmati subsidi minyak kita, tetapi sebenarnya untuk pertahankan stesen minyaknya di Woodlands, Jurong dan Tuas. Tanpa peraturan itu, tentunya majoriti rakyatnya yang tinggal dekat Tambak Johor dan Link Kedua akan berduyun ke Johor hanya untuk mengisi minyak kerana harga minyak di pulau itu sudah mencecah lebih S$1.50 seliter, hampir dua kali ganda harga di sini.
Oleh itu, apakah penubuhan pasar raya raksasa ini akan menggalakkan pelancongan atau memberi peluang lebih luas kepada rakyat Singapura membeli-belah di Johor Bahru untuk keperluan harian mereka? Daripada dua juta yang dikatakan berkunjung ke Malaysia sebulan, dikatakan 50 peratus adalah rakyat Singapura yang memasuki Johor untuk membeli-belah, hingga kos sara hidup harian di bandar raya itu setanding Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Apakah tiada kajian dibuat sama ada kemasukan mereka mendatangkan faedah yang lebih kepada kita atau memberi lebih faedah kepada mereka? Kita harap pelancong akan membeli-belah apabila berkunjung ke mari. Tetapi apakah kita hendak menggalakkan mereka membeli barangan keperluan yang diberi subsidi? Kenapa perlu kita menyediakan subsidi untuk dimanfaatkan orang Singapura?
Ada pula sejumlah rakyat Singapura yang tinggal di Johor Bahru dan berulang alik ke tempat kerja mereka di Singapura. Mereka ini sanggup menghadapi kesesakan di Tambak Johor untuk menikmati kos sara hidup yang jauh lebih rendah.
Mereka ini tentunya menikmati kos sara hidup yang rendah, dan pada masa sama menikmati pendapatan tinggi. Kita bukan mahu menyekat kehidupan mereka, tetapi kita juga harus mengadakan peraturan untuk memanfaatkan keadaan demikian demi kepentingan dan faedah kita.
Dalam pada itu, kerajaan juga harus lebih prihatin terhadap gejala di mana dikatakan sehingga 10,000 kanak-kanak dari Johor berulang alik setiap hari untuk belajar di sekolah di republik itu. Mungkin ada yang berpendapat apa sangat yang hendak dihebohkan jika ibu bapa mereka memilih menghantar anak mereka belajar di sana.
Persoalannya ialah apakah implikasinya untuk masa depan? Mereka itu tentunya tidak akan menerima pelajaran bahasa Melayu dan akan membesar tanpa dapat menguasai Bahasa Kebangsaan negara ini dengan baik. Ia juga menunjukkan ibu bapa mereka sedikit pun tidak kisah apakah anak-anak mereka tidak boleh menguasai bahasa Melayu. Ini sendiri menunjukkan bagaimana pandangan mereka itu terhadap Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa yang sepatutnya boleh menyatupadukan rakyat. Kiranya masih ada warga negara ini yang sedikit pun tidak menghormati bahasa negara ini, apakah kesimpulan yang boleh kita buat?
Mereka ini akan menghabiskan antara 11 hingga 13 tahun persekolahan dan kiranya mereka melanjutkan pula pelajaran tiga atau empat tahun lagi di institusi pengajian tinggi di republik itu tentunya mereka ini lebih cenderung terus belajar di republik itu dan kemudian bekerja di sana.
Sekarang ini pun tahukah kita berapa ramainya lulusan terbaik anak-anak negara ini yang bekerja di Singapura? Difahamkan ramai daripada pakar kesihatan dan perubatan di hospital republik itu terdiri dari rakyat negara ini dan boleh dikatakan semuanya terdiri daripada kaum Cina atau India dan ramai pula dari Sarawak dan Sabah. Apa implikasinya pada jangka masa panjang?
Kalau ada lulusan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil yang masih tidak fasih bertutur bahasa Melayu, apa yang boleh kita harapkan daripada beribu-ribu kanak-kanak Malaysia yang mendapat didikan di Singapura yang tentunya menyerapkan rasa cinta terhadap pulau itu. Apakah kita boleh harapkan semangat patriotik kepada negara ini oleh mereka?
Sudah sampai masanya kerajaan bersikap lebih berhati-hati dan lebih berwaspada terhadap perkara yang boleh membawa kepada implikasi tidak menyenangkan ini.
Thursday, October 29, 2009
Subsidi Hanya Untuk Rakyat Malaysia Sahaja
ILHAM DARI PUTERA at 8:14:00 AM