Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, September 29, 2010

FATWA-FATWA ULAMA BERKENAAN MENJATUHKAN PEMERINTAH

2. Fatwa Syeikh Muhammad Ibn Shalih Al-'Utsaimin

Soalan 2:

Apakah hukumnya mengadakan mogok bekerja dengan tujuan untuk menjatuhkan sistem sekular yang sedang dilaksanakan dalam sesebuah negara Islam, dan apakah hukum memprotes seperti mana dalam hadis mengenai seorang yang disakiti oleh jirannya, lantas ia mengadu kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, kemudian ia mengeluarkan barangan rumahnya di halaman (sebagaimana tanda protes).

Jawapan:

Soalan ini sebenarnya membahayakan pemudi-pemudi islam kerana mogok bekerja tidak digariskan oleh syarak. Persoalan ini juga sebenarnya membawa kemudaratan yang lebih besar sungguhpun perkara yang dikemukakan agak penting. Tidak dinafikan bahawa perkara ini boleh memberi tekanan kepada kerajaan yang memerintah. Namun perkara yang penting di sini ialah menjatuhkan sistem sekular. Justeru, perlu disahkan terlebih dahulu bahawa sistem yang sedia terpakai itu ialah sistem sekular. Sekiranya telah disahkan perkara tersebut, hendaklah kita ketahui bahawa tidak harus bagi kita mengingkari pemerintah melainkan dengan syarat-syarat tertentu sepertimana yang telah dijelaskan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:

Hadis daripada Ubadah bin Samit radiallahu 'anhu:

"Kami telah memberi baiah untuk taat setia kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam perkara yang kami suka ataupun yang kami tidak suka, kegembiraan kami ataupun kedudukan kami dan mendahului baginda daripada diri-diri kami dan bahawa kami tidak bantah arahan ahlinya, sabdanya: "Melainkan sekiranya engkau melihat kekufuran yang nyata berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Allah."

- Syarat yang pertama: Hendaklah engkau mengetahui dengan yakin bahawa pemerintah telah melakukan kekufuran.

- Syarat yang kedua: Hendaklah pemerintah telah melakukan kekufuran, sekiranya dia telah melakukan kefasiqan maka tidak harus keluar daripada pemerintahannya.


- Syarat yang ketiga: Hendaklah kekufuran itu kekufuran yang nyata, tiada keraguan serta tidak boleh ditakwilkan.

- Syarat yang keempat: Hendaklah kekufuran itu dibuktikan dengan nas yang pasti, sama ada daripada al-Quran, sunnah atau ijmak.


- Syarat yang kelima: Hendaklah pihak yang menentang kerajaan mempunyai kekuatan yang secukupnya untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Jika perkara yang sebaliknya berlaku, akan berlakulah kemudaratan yang lebih besar. Oleh itu, hendaklah mereka terus berdiam diri di bawah kerajaan yang memerintah di samping memperkukuhkan kekuatan untuk menegakkan agama Islam.

Demikianlah lima syarat yang mesti dipenuhi untuk menjatuhkan sistem sekular dalam sesebuah negara. Sekiranya mogok bekerja dilakukan selepas kelima-lima syarat di atas dipenuhi, maka tidak menjadi kesalahan untuk menjatuhkan kerajaan sekular yang memerintah. Sebaliknya, jika salah satu syarat yang telah disebutkan tadi tidak dipenuhi, maka tidak harus diadakan mogok bekerja dan tidak harus menjatuhkan sistem yang sedia terpakai.