Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, January 14, 2009

Olmert arah Bush tolak usul PBB

Pemimpin Zionis dedah perbualan telefon

BAITULMAQDIS: Tindakan Amerika Syarikat yang menyokong kezaliman Israel di Gaza semakin jelas apabila Perdana Menteri rejim Zionis itu, Ehud Olmert, mendedahkan panggilan telefon yang dibuat kepada Presiden George W Bush minggu lalu memaksa Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice, tidak menyokong usul Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perang di Gaza, yang membuatkan beliau 'malu.'

Dalam ucapannya lewat kelmarin, Olmert berkata, beliau mendesak untuk bercakap dengan Bush dengan cuma 10 minit masa yang masih ada sebelum Majlis Keselamatan PBB mengundi Khamis lalu mengenai resolusi mendesak diadakan gencatan senjata segera yang dibantah Israel.

"Apabila kami mendapati Setiausaha Negara Amerika, atas alasan yang kami tidak memahami, mahu mengundi menyokong resolusi PBB, saya segera menelefon Presiden Bush dan mereka memberitahu saya, beliau sedang berucap di Philadelphia.

"Saya berkata, 'Saya tidak peduli. Saya mahu bercakap dengannya sekarang.

"Mereka menarik beliau dari pentas, membawanya ke satu bilik lain dan saya bercakap dengannya. Saya memberitahu beliau tidak boleh mengundi menyokong resolusi itu.

"Beliau berkata, 'Dengar sini, saya tidak tahu mengenainya, saya tidak melihatnya dan saya tidak memahaminya," kata Olmert sambil menyifatkan Bush yang akan meninggalkan pejabat pada 20 Januari ini sebagai 'rakan yang tiada tandingnya' kepada Israel.

Olmert menambah, beliau kemudian memberitahu Bush: "Saya memahaminya. Anda tidak boleh menyokong. Bush memberikan arahan kepada Rice dan beliau tidak mengundi menyokong resolusi itu � resolusi yang ditimbulkan dan dianjurkan olehnya.

"Rice malu dan tidak menyokong resolusi yang diaturnya," katanya. � Reuters