ARTIS Malaysia yang masih lagi diingati oleh peminat muzik di Indonesia, tentulah Datuk Siti Nurhaliza. Lebih dahulu daripada Siti, Saleem dari kumpulan Iklim, Zamani dari kumpulan Slam, Amy dari kumpulan Search dan kumpulan Raihan sempat mengukir nama di persada seni negara jiran berkenaan.
Lagu Isabella nyanyian Amy kini dinyanyikan semula oleh penyanyi Charlie dari kumpulan ST12 kini menjadi siulan anak-anak muda.
Bagaimanapun kehadiran artis-artis baru yang mencuba nasib seperti Kaer Azami dan sebagainya juga tidak menarik minat rakyat negara yang cukup ramai penyanyi yang berjaya menembusi pasaran hingga ke Malaysia.
Mungkin Asraf Sinclair selepas berkahwin dengan pelakon dan penyanyi Indonesia, Bunga Cinta Lestari (BCL) kini agak popular dan membintangi drama bersiri di stesen televisyen tempatan.
Di samping beliau terdapat seorang pelakon dari Malaysia iaitu Miller dan kedua- dua pelakon mempunyai raut wajah Inggeris itu berperanan sebagai hero dan pembantu di dalam drama bersiri yang sama.
Bagaimanapun kebelakangan ini timbul fenomena baru, iaitu siri kartun Upin dan Ipin. Sebenarnya kehadiran kartun itu lebih hebat daripada penyanyi sebelumnya kerana ia membawa budaya dan bahasa Malaysia ke Indonesia.
Gaya percakapan dua watak kartun kini menjadi ikutan bukan sahaja kalangan kanak-kanak, bahkan kalangan orang dewasa juga.
Apabila penulis memperkenalkan diri dari Malaysia kebanyakan orang akan mengaitkan dengan siri kartun berkenaan dan mereka akan bersusah payah mengikut loghat dan gaya percakapan Malaysia.
Jika selama ini kebudayaan dan bahasa Malaysia kurang diketahui oleh lebih 200 juta penduduk Indonesia, sehingga kadang kala kerana salah faham erti perkataan sehingga merenggangkan hubungan Malaysia dengan Indonesia sebagaimana isu tarian Barongsari yang diperkenalkan sebagai tarian 'asli' dari Johor.
Di Indonesia perkataan 'asli' bererti berasal dari, manakala di Malaysia pula ia bererti persembahan kebudayaan tradisional.
Akibat salah faham itu aktivis seni Indonesia menuduh Malaysia mencuri tarian itu dan mendakwa ia adalah milik Malaysia.
Bagaimanapun siri kartun berkenaan telah membawa dimensi baru kerana bukan sahaja ia popular kerana kelucuannya, tetapi ia juga memberi pendedahan yang lebih luas kepada masyarakat Indonesia tentang bahasa dan kehidupan rakyat di Malaysia yang sebenarnya tidak banyak berbeza dengan di Indonesia.
Melihat kepada potensi tersebut, ia harus diambil kesempatan oleh penggiat seni di Malaysia untuk menghasilkan siri animasi lebih banyak dan berkualiti yang mampu menembusi pasaran Indonesia yang cukup luas.
Di Indonesia mempunyai puluhan stesen televisyen, apa yang perlu dilakukan hanya menghasilkan animasi yang berkualiti dan menarik, kerana Indonesia.
Indonesia memang terkenal dengan drama bersiri yang banyak dan membanjir di stesen televisyen Malaysia, sehinggakan ramai rakyat Malaysia yang mampu bertutur bahasa Indonesia tanpa perlu pergi atau tinggal di Indonesia kerana pengaruh drama-drama tersebut.
Di sini dapat dilihat betapa kuatnya pengaruh media elektronik di dalam mempengaruhi pemikiran khalayak.
Pendedahan tentang Malaysia melalui siri animasi itu mungkin salah satu solusi kepada memperbaiki hubungan rakyat dengan rakyat kedua-dua buah negara dan pada masa yang sama memberi manfaat dari segi komersial kepada pengusaha dari Malaysia dan Indonesia
Sunday, December 06, 2009
Upin Ipin
ILHAM DARI PUTERA at 10:24:00 AM