Ikrar Presiden baru Amerika Syarikat, Barack Obama untuk mewujudkan 'hala tuju baru' dalam hubungan dengan dunia Islam selepas menghadapi masalah selama lapan tahun di bawah bekas presiden, George W Bush dialu-alukan oleh tokoh Islam, tetapi pendiriannya terhadap isu Palestin masih dipersoalkan.
"Ikrar hala tuju baru itu adalah sesuatu yang baik tetapi beliau perlu mengubah dasar negaranya terhadap konflik Israel dan Palestin terlebih dulu," kata pemimpin Nahdatul Ulama, Maskuri Abdilah yang mengetuai pertubuhan Islam terbesar Indonesia.
"Penyelesaian isu ini amat penting kerana ia menjadi punca kepada semua keganasan dan ketegangan di antara dunia Islam dan Barat."
Dalam ucapan sulungnya sebagai presiden kelmarin, Obama selain berikrar mahu memperbaiki hubungan dengan dunia Islam, turut mengulangi janjinya ketika berkempen bahawa Amerika Syarikat akan 'mula menyerahkan Iraq kepada rakyatnya dan meneruskan usaha perdamaian di Afghanistan.'
Obama, yang menghadapi cabaran hebat di kalangan dunia Islam - dari wilayah Palestin hingga ke Iran, Iraq, Afghanistan dan Pakistan, akan memperkenalkan cara baru serta menjanjikan keseimbangan dalam pendekatan diplomatik, ketenteraan dan bentuk kuasa lain.
Beliau juga berkata, pemuliharaan keselamatan selepas pasca 9/11 di Amerika, tidak akan diusahakan dengan mengetepikan idealisme kebebasan AS dan kedaulatan undang-undang, yang dikritik ke atas pentadbiran Bush dalam perangnya terhadap keganasan.
Di PAKISTAN, seorang pemimpin kanan parti Jamaat-i-Islami, Khurshid Ahmed mengucapkan selamat berjaya kepada Obama tetapi agak hampa presiden baru itu masih sunyi sepi terhadap pembunuhan rakyat Palestin di Gaza.
"Saya hanya mampu berdoa. Saya memegang harapan (terhadap Obama) tetapi turut bimbang," katanya.
Di AFGHANISTAN, penganalisis dari Pusat Penyelidikan dan Kajian Dasar Haroun Mir berkata ucapan Obama memberi isyarat kuat bahawa beliau mahu memperbaiki hubungan dengan dunia Islam.
"Sudah wujud keyakinan terhadap kepimpinan Obama di dunia Islam," katanya.
Jurucakap Taliban, Yousuf Ahmadi berkata kumpulannya yang digulingkan tentera Amerika pada 2001 tidak mempunyai masalah dengan Obama jika beliau mengundurkan tentera negaranya dari bumi Afghanistan.
"Beliau mesti mengambil iktibar daripada pengalaman Bush dan tentera Soviet sebelum ini," katanya dari Kabul.
Di GAZA, majlis mengangkat sumpah bersejarah Barack Obama tidak membawa sebarang makna.
"Obama tidak akan menghidupkan semula suami saya," kata Leila Khalil yang kehilangan suami akibat dibunuh tentera Israel dalam serangan mereka ke atas wilayah Palestin itu.
Di seluruh wilayah itu, penduduk tidak menaruh harapan tinggi Obama akan menghilangkan penderitaan mereka selepas tiga minggu dizalimi tentera rejim Zionis.
"Tiada Presiden Amerika yang akan membayar ganti rugi kepada apa yang kami hilang dari perang, tidak akan menghidupkan mereka yang syahid atau menyembuhkan luka atau membina semula rumah," kata Samih Zouhdi, 53.
Bagi Umm Mohammad, Obama tidak membawa sebarang harapan kepada anak-anaknya yang masih trauma.
"Bush atau Obama tidak akan membuat kami lupa kepada ketakutan dan ketiadaan rumah seperti yang kami harungi ketika itu," katanya.
Sekurang-kurangnya 1,300 penduduk Palestin, termasuk 410 kanak-kanak, terkorban dalam serangan udara, laut dan darat tentera Yahudi ke atas Gaza.
Thursday, January 22, 2009
PENDIRIAN OBAMA TERHADAP PALESTINE MASIH RAPUH
ILHAM DARI PUTERA at 2:00:00 PM