PETIKAN seperti itulah yang sering diulang-ulang oleh media Barat dipelopori tokoh- tokoh Yahudi Zionis yang menguasai CNN, BBC serta agensi berita antarabangsa lain.
Terdapat satu ungkapan atau teori dalam komunikasi massa yang mengatakan bahawa penipuan yang diulang-ulang dan berpanjangan akhirnya akan dipercayai sebagai kebenaran. Itulah yang dipropagandakan oleh media berpengaruh sekarang ini yang akhirnya menjadi anutan jutaan penduduk dunia sama ada Muslim ataupun tidak.
Apa yang sering disembunyikan oleh media Barat ialah fakta bahawa Israel adalah satu-satunya negara di dunia yang didirikan secara haram dan masih melakukan penjajahan. Jadi tiada istilah mempertahankan diri kerana sememangnya mereka adalah penjajah.
Sementara itu, Hamas adalah pejuang kemerdekaan dan sudah selayaknya menyerang balas kerana mempertahankan tanah air sendiri.
Tindakan ini adalah normal bagi mana-mana negara yang dijajah, jika Hamas yang mempertahankan tanah air dilabel sebagai pengganas, maka pengganaslah pejuang-pejuang kemerdekaan Melayu dahulu seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Mat Salleh dan ramai lagi.
Harus diingat bahawa sebelum 1948, Israel tidak pernah wujud di atas muka bumi, hanya melalui rampasan tanah, penyembelihan dan penghalauan penduduk Arab Palestin secara sistematik, mereka memperoleh sedikit demi sedikit tanah yang hari ini dinamakan Israel.
Hamas pula masih merupakan entiti sah untuk memerintah Palestin kerana mereka menang pilihan raya Palestin 2005. Tapi rupanya demokrasi yang diagung-agungkan hanyalah palsu apabila dunia tidak mengiktiraf Hamas, sebaliknya mengiktiraf Fatah yang cukup terkenal dengan korupsi dan penyelewengan itu.
Agak malang apabila dunia Arab turut membisu dan hanya mampu untuk membantah tanpa melakukan apa-apa tindakan konkrit.
Pemimpin-pemimpin Arab ibarat kerbau dicucuk hidung kerana hanya menurut sahaja kehendak tuan mereka. Dalam hal ini, Venezuela telah menunjukkan contoh yang baik dengan menghalau duta Israel dan melakukan protes besar-besaran di negara itu.
Sekalung tahniah kepada media tempatan secara khusus Utusan Malaysia dan pemimpin-pemimpin Malaysia yang kelihatannya agak proaktif dalam membawa isu ini kepada masyarakat. Paparan-paparan dan liputan di media arus perdana yang komprehensif telah berjaya menjadikan isu ini sebagai isu nasional. Tahniah Malaysia.
Adapun sebagai rakyat Malaysia, banyak tindakan yang boleh kita ambil, antaranya dengan menyumbang kepada badan-badan yang bertauliah dalam isu Palestin seperti Aman Palestin, Mercy Malaysia bagi disalurkan kepada rakyat Palestin.
Selain itu, kempen-kempen kesedaran harus dipertingkatkan lagi bagi memastikan setiap rakyat Malaysia prihatin terhadap keganasan yang berlaku di Palestin