PELANTIKAN Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-44 menerusi majlis angkat sumpah di luar Capitol AS, semalam turut membawa harapan kepada kelahiran sebuah negara AS baru.
Obama yang melakar sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS, tidak hanya membawa mesej pembaharuan kepada rakyat di negara berkenaan, sebaliknya memikul impian yang lebih besar bagi kebanyakan masyarakat dunia.
Disaksikan oleh jutaan manusia di seluruh dunia, serta kira-kira dua juta rakyat AS yang turut memenuhi kawasan Capitol AS, Obama mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Agung, John Roberts bersaksikan kitab Bible yang digunakan oleh Abraham Lincoln sewaktu mengangkat sumpah pada 1861.
Sebaik secara rasmi ditabalkan sebagai Presiden keempat termuda dalam sejarah AS, pemimpin berusia 47 tahun itu menyampaikan pidato perdananya yang dinilai banyak pihak sebagai sangat mengesankan dan penuh kesederhanaan serta sikap saling menghargai.
Dalam pidato kira-kira 20 minit itu juga, Obama mengajak seluruh rakyat AS untuk bangkit dan bersatu dalam menghadapi tempoh-tempoh yang sukar serta mencabar yang membelenggu negara itu.
Tidak seperti kebanyakan pidato politik yang penuh dengan retorik, ucapan Obama bagaimanapun sangat dekat dengan realiti sebenar yang membelenggu AS ketika ini.
Beliau antara lain berkata: "Saya menyatakan kepada anda semua bahawa cabaran yang kita hadapi adalah cabaran yang nyata. Cabaran itu juga adalah serius serta pelbagai dan tidak mudah diatasi dalam tempoh yang singkat. Tetapi ini adalah bangsa Amerika dan kita mampu mengatasi semua cabaran itu."
Ucapan Obama itu mengingatkan dunia kepada ucapan hampir sama yang pernah disampaikan oleh bekas Presiden Abraham Lincoln dan John F. Kennedy ketika majlis angkat sumpah masing-masing.
Perkara itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Obama dikatakan banyak merujuk kepada pidato-pidato Presiden terdahulu dalam merangka ucapannya sempena majlis angkat sumpah tersebut.
Bagaimanapun, sesuatu yang agak menarik apabila Obama memilih untuk mencontohi pidato kedua-dua tokoh pemimpin itu yang dikenang dengan perjuangan membela hak asasi manusia.
Memberikan harapan kepada rakyatnya untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi, Obama berjanji akan menggunakan pakej rangsangan ekonomi berjumlah AS$825 bilion untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.
Beliau turut memberi jaminan untuk mempermudahkan segala ruang bagi kemasukan pelaburan baru termasuk menerusi pengecualian cukai-cukai tertentu.
Obama dalam ucapannya juga berjaya menyentuh sisi kemanusiaan rakyat AS apabila berjanji untuk memperbaharui dan meningkatkan sistem perubatan dan memberi pembelaan sewajarnya kepada golongan tua.
Bagaimanapun bagi masyarakat antarabangsa, perhatian lebih tertumpu terhadap pendirian peribadi Obama sebagai seorang pemimpin negara adikuasa dunia dalam menjalin persahabatan dengan negara luar.
Ternyata, apa yang ingin didengari oleh penduduk di seluruh dunia bukanlah sesuatu yang menghampakan dan tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa imej baru AS yang cuba dibawakan Obama berjaya difahami dan diterima oleh masyarakat dunia.
"Telah tiba waktunya untuk kita membangkitkan kembali semangat kita yang abadi," kata Obama pada pidato tersebut.
Selanjutnya, beliau turut berjanji pada era kepimpinannya, masyarakat antarabangsa akan mengenali AS sebagai sebuah negara yang mendengar suara dunia.
Kepada dunia Islam, Obama mengharapkan untuk membina satu jalinan perhubungan baru berasaskan rasa hormat dan kesefahaman yang sama.
Pastinya janji tersebut dituntut oleh pemimpin-pemimpin negara Islam di seluruh dunia selepas lapan tahun di bawah pentadbiran Presiden, George W. Bush, hubungan dunia Islam dengan AS semakin buruk terutamanya selepas serangan 11 September 2001.
Menguatkan keyakinan terhadap fasa aman hubungan diplomatik dengan dunia Islam ialah apabila beliau berjanji untuk mengundurkan tentera AS dari Iraq.
Krisis di Afghanistan turut mendapat perhatian Obama yang akan berusaha lebih gigih bagi mencapai keamanan.
Obama turut melontar ikrar untuk menutup kem tahanan di Teluk Guatanamo, Cuba yang disifatkan oleh beliau sebagai melanggar lunas-lunas perundangan dan tidak selari dengan nilai-nilai AS.
Pendirian Obama untuk membentuk sebuah jalinan persahabatan dengan dunia luar yang lebih baik itu merupakan lanjutan daripada apa yang pernah ditekankan beliau beberapa kali sebelum ini.
Obama dikatakan lebih cenderung untuk menggunakan pendekatan lebih diplomatik ketika berdepan dengan negara-negara yang dilabelkan sebagai pengganas ketika era Bush seperti Korea Utara, Iran dan Syria.
Isu pembangunan aktiviti nuklear di Korea Utara dan Iran serta Syria sebagai pangkalan kumpulan pengganas akan dicari jalan penyelesaiannya secara berdialog di bawah pentadbiran Obama.
Sekurang-kurangnya, Obama memberi peluang kepada dunia untuk melihat AS yang baru sebagai negara yang mendokong prinsip multilateral dan bukan lagi sebuah 'kuasa polis dunia'.
Paling utama, sikap kompromi dalam dasar luar Obama diharapkan dapat mengembalikan semula peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah institusi pengaman antarabangsa.
Bagaimanapun, sesuatu yang agak mengecewakan daripada pidato Obama itu apabila beliau langsung tidak menyentuh mengenai krisis di Asia Barat terutamanya mengenai jenayah perang yang dilakukan Israel terhadap penduduk di Genting Gaza.
Pendirian Obama itu menjelaskan hakikat bahawa siapa pun yang dipilih menjadi Presiden, AS tetap merupakan AS yang selamanya akan bertindak sebagai sebuah negara kuasa besar dunia.
Justeru seperti yang dijelaskan oleh pakar sejarah AS, Timbalan Pengarah, Institut Kajian Oksidental (IKON), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. K.S Nathan, masyarakat dunia tidak seharusnya meletakkan harapan yang tinggi terhadap Obama lebih-lebih lagi berhubung konflik di Asia Barat.
Meskipun latar belakang pelbagai budaya Obama dilihat sangat meyakinkan untuk beliau lebih sensitif terhadap konflik itu serta isu-isu lain di negara ketiga, namun Obama hakikatnya masih terikat dengan pendirian yang sudah ditetapkan pentadbiran terdahulu.
Obama juga perlu mematuhi dasar berhubung konflik Asia Barat yang ditetapkan oleh institusi dan undang-undang AS demi menjaga kepentingan politiknya.
Dalam masa yang sama, pendirian Obama juga akan melebihkan kepentingan Israel memandangkan pelobi-pelobi Yahudi menguasai hampir kebanyakan kepentingan di AS.
"Pastinya, Obama tidak akan mengambil sebarang penyelesaian yang dilihat tidak menyebelahi Israel, malah tidak keterlaluan untuk dikatakan AS di bawah era Obama juga akan terus menyokong ekonomi Israel dan membekalkan senjata kepada tentera Zionis,"
Thursday, January 22, 2009
MESEJ DARI OBAMA
ILHAM DARI PUTERA at 2:12:00 PM