KETIKA Israel terus menerus melakukan jenayah kemanusiaan di Gaza, kesengsaraan dan penderitaan rakyat Palestin semakin mendapat perhatian dunia dan diikuti dengan penuh simpati oleh seluruh masyarakat antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia.
Namun, apa yang disajikan kepada seluruh dunia tentang hakikat pencerobohan Israel di Gaza sebenarnya masih jauh daripada nyata.
Kebanyakan laporan mengenai serangan itu bersumberkan agensi berita yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang juga merupakan pelobi Yahudi.
Pastinya setiap laporan itu ditapis supaya tidak begitu memperlihatkan kekejaman tentera Zionis dan paling penting menyebarkan agenda bahawa pencerobohan Israel adalah tindakan mempertahankan diri daripada roket dan peluru Hamas.
Apa yang lebih mendukacitakan, wartawan dari seluruh dunia juga tidak dibenarkan untuk membuat liputan secara langsung mengenai keadaan sebenar di Gaza sebaliknya hanya berkumpul di sebuah pusat media di Kaherah, Mesir dan mendapatkan berita daripada sumber-sumber Israel.
Lokasi paling dekat yang boleh dilaporkan oleh wartawan asing ialah di perbatasan Palestin-Mesir iaitu di Rafah, itu pun diberikan ruang bersama-sama pasukan keselamatan antarabangsa yang menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin. Keadaan yang serupa juga berlaku kepada wartawan yang berpangkalan di Baitulmaqdis, Israel, apabila tidak dibenarkan memasuki Gaza dan hanya menerima berita daripada tentera-tentera Israel.
Apa yang benar-benar terjadi di balik tembok yang memisahkan Gaza dengan Mesir dan Israel kekal misteri kepada masyarakat dunia, melainkan apa yang diperoleh menerusi laporan berita daripada kroni-kroni Israel yang melancarkan serangan.
Namun, meskipun dalam sumber berita yang terhad, ia bukanlah penghalang kepada masyarakat dunia untuk menyaksikan dan memahami kekejaman Israel menerusi pelbagai sumber berita yang melaporkannya dari sudut permasalahan yang sebenar.
Laporan dan artikel yang lebih adil dan tepat itu kebanyakannya disiarkan oleh rangkaian berita online dan dikupas oleh wartawan serta wakil organisasi keamanan antarabangsa dari seluruh dunia yang pernah bertugas di Gaza dan Tebing Barat.
Laporan dan artikel oleh kumpulan penulis ini sekurang-kurangnya dapat menimbal balas laporan yang disogokkan oleh agensi berita pro Israel dengan gambaran sebenar permasalahan di Asia Barat serta situasi terkini penduduk Gaza yang terus dibedil tentera Zionis.
International Herald Tribune yang berpangkalan di Paris misalnya, menerusi wartawannya Rashid Khalidi menulis mengenai situasi sebenar di Gaza yang mungkin tidak diketahui oleh banyak pihak.
Antaranya hakikat bahawa penduduk Gaza seramai 1.5 juta orang sebahagian besarnya tidak berasal dari Gaza sendiri, sebaliknya dari luar wilayah itu seperti Ashkelon dan Beersheba.
Mereka dipaksa berpindah ke Gaza oleh tentera Israel pada 1948 iaitu ketika terbinanya sebuah negara Israel yang tidak sah di Palestin.
Lebih lanjut, Rashid juga menjelaskan bahawa penduduk di Gaza sebenarnya sudah berada di bawah pendudukan Israel terutamanya selepas Perang Enam Hari pada 1967, meskipun negara Yahudi itu sudah memindahkan tentera dan penempatan Yahudi sejak 2005.
Israel juga masih mengawal kemasukan pergerakan keluar masuk serta eksport dan import ke Gaza selain menakluk ruang udara dan laut wilayah itu.
Sebagai kuasa penjajah, Israel di bawah Konvensyen Keempat Geneva, bertanggungjawab menjaga kebajikan penduduk awam di wilayah berkenaan.
Rashid dalam tulisannya lagi turut menyentuh mengenai sekatan ke atas Gaza oleh Israel yang disokong oleh AS dan Kesatuan Eropah (EU), semakin ketat terutamanya selepas Hamas memenangi pilihan raya pada 2006.
Sekatan itu secara perlahan-lahan menekan rakyat Gaza yang terputus sumber asas termasuk bahan api elektrik dan minyak, import dan eksport. Keadaan itu menjurus rakyat Gaza kepada krisis kemanusiaan yang terputus bekalan perubatan, sanitasi, sumber air bersih dan pengangkutan.
Berhubung gencatan senjata yang dicapai pula, Rashid menjelaskan antara intipati kesepakatan yang dicapai pada Jun lalu ialah membuka semua sekatan ke atas Gaza selain kedua-dua pihak menghentikan serangan roket.
Gencatan senjata itu menyaksikan serangan roket dari Gaza ke Israel yang berjumlah ratusan antara Mei dan Jun, berkurangan kepada hanya kira-kira 20 dalam tempoh empat bulan selepas gencatan senjata.
Bagaimanapun gencatan senjata itu berakhir apabila Israel melancarkan serangan udara dan darat besar-besaran pada awal November yang membunuh kira-kira enam orang pejuang Hamas.
Rashid juga menyimpulkan apa yang berlaku di Asia Barat ketika ini adalah satu jenayah perang apabila orang awam menjadi sasaran.
Hanya perundingan merupakan jalan terbaik dalam menyelesaikan konflik ketika ini dan ia sudah dibuktikan ketika Israel mematuhi gencatan senjata pada Jun lalu dan membuka sekatan ke atas Gaza.
Fakta-fakta yang disebutkan Rashid itu tidak banyak disentuh dalam membincangkan permasalahan di Asia Barat termasuk dalam analisis ketika Israel menyerang Palestin kini.
Penderitaan
Sementara itu, CommonDreams.org, sebuah laman sesawang berita pada 9 Januari lalu mengeluarkan satu kenyataan media mengenai serangan ke atas Gaza yang disorot daripada kaca mata beberapa individu yang sangat dekat dengan penderitaan rakyat Palestin.
Antaranya kenyataan Richard Falk, iaitu seorang Professor Emeritus dalam bidang undang-undang antarabangsa di Universiti Princeton.
Falk yang juga pemantau khas hak asasi manusia bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza dan Tebing Barat antara lain membuat kenyataan yang berbunyi: ''Adalah tidak bertanggungjawab untuk mengetepikan Hamas sebagai badan antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan perbincangan diplomatik lain yang menjurus berkenaan dengan gencatan senjata. Ini kerana permintaan tidak bersyarat Hamas terhadap pengunduran Israel, persetujuan gencatan senjata segera dan pembukaan semua sekatan adalah berasas, patut diluluskan dan bertepatan dengan undang-undang antarabangsa.
"Dalam mencari relevan bagi melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas, ia sangat tidak membantu dalam perspektif penyelesaian konflik, sebaliknya Israel yang seharusnya digelar negara pengganas,".
Kenyataan Falk itu disampaikan semasa Persidangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB di Geneva pada 9 Januari lalu.
CoomonDream.org dalam kenyataan akhbar yang sama juga turut memetik kenyataan pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Laureate Maguire yang menyaksikan sendiri kesengsaraan penduduk Gaza yang menjadi tawanan Israel sejak kira-kira dua tahun lalu.
Justeru, Maguire telah menulis surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, sejajar dengan suara kebanyakan badan dan pertubuhan hak asasi di seluruh dunia supaya menghadapkan Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa selaras dengan perkara 22 PBB.
Turut dimuatkan dalam kenyataan akhbar itu ialah pengalaman aktivis dan sukarelawan, Philip Rizk yang sudah dua tahun menjalankan kerja-kerja kemanusiaan di Gaza.
Menurut Rizk, dua buah bas termasuk yang dinaiki beliau yang membawa doktor, sukarelawan dan wartawan telah dihalang memasuki Gaza dan diarah berpatah balik ke Kaherah oleh kira-kira 300 askar Mesir.
Menurut Rizk, selain bekalan ubat-ubatan dan keperluan asas lain yang gagal disalurkan kepada penduduk Gaza, wilayah itu juga terputus hubungan komunikasi dengan dunia luar.
Bagaimanapun Rizk bernasib baik apabila berjaya menghubungi seorang pakar bedah di Hospital Al-Shifaa, Gaza, Dr. Attalah Tarazi yang memberitahu kebanyakan yang cedera dan terbunuh ialah kanak-kanak dan wanita dan angka mangsa kekejaman Israel itu sebenarnya lebih tinggi daripada yang dilaporkan.
Dr. Attalah juga sempat menyebut mengenai kecederaan rakyat Gaza yang disebabkan oleh bahan kimia yang mirip kepada fosforus putih, namun beliau sendiri tidak dapat mengesahkannya.
Apa yang paling dikesalkan Rizk ialah sikap Mesir yang enggan membuka laluan bagi kemasukan bantuan ke Gaza yang memperlihatkan Mesir juga bersekongkol dengan Israel dalam menindas rakyat Palestin. Kecaman ke atas Mesir turut disuarakan oleh dua wartawan Inter Press Service New Agency, iaitu Adam Morrow dan Khaled Moussa al- Omrani.
Menerusi artikel mereka yang disiarkan secara online, Morrow dan Khaled Mousa melaporkan limpahan bantuan mula tiba di bandar Al-Aris, 40 kilometer dari perbatasan Mesir dan Gaza, namun menurut sumber tempatan, bantuan itu dihalang masuk ke wilayah yang terkepung di Gaza oleh pihak berkuasa Mesir.
Sempadan itu juga dibuka kira-kira lima hingga enam kali untuk membawa bantuan yang sangat terhad dengan hanya 1,000 tan makanan berjaya disalurkan, sedangkan penduduk Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 1,500 tan makanan sehari untuk meneruskan kehidupan.
Sementara itu, wartawan Middle East Report , Mouin Rabbani dalam laporannya yang disiarkan secara online pada 7 Januari lalu, secara panjang lebar memperincikan mengenai konflik Asia Barat sehingga membawa kepada aksi kekejaman Israel ketika ini.
Kritikal
Mouin, yang berpangkalan di Amman, Jordan dan merupakan editor penyumbang kepada majalah analisis Asia Barat paling berpengaruh di AS itu melaporkan, serangan hari pertama Israel dilancarkan ketika kebanyakan kanak-kanak Palestin baru menghabiskan sesi persekolahan pagi dan sedang bergerak untuk pulang ke rumah.
Ketika itu menurut Mouin, kira-kira 90 pesawat Israel mensasarkan lebih 100 tan bahan letupan ke 100 sasaran di seluruh Gaza. Serangan pada hari itu sahaja membunuh seramai 225 orang rakyat Palestin dan mencederakan kira-kira 700 orang yang lain dengan lebih 200 orang dilaporkan kritikal.
Jumlah kematian dan kecederaan penduduk Palestin pada serangan hari pertama Israel itu juga lebih ramai daripada mana-mana serangan sama ada di Gaza atau Tebing Barat sejak Israel menduduki Palestin pada Jun 1967.
Dalam laporan berasingan Mouin menulis lagi bahawa 15 anggota Majlis Keselamatan PBB sepatutnya malu pada diri sendiri dan perlu bersiap sedia untuk kehilangan kredibiliti masing-masing.
Ini kerana 15 anggota terbabit masih ghairah mempersiapkan bukti-bukti terhadap program nuklear Iran sedangkan tidak mampu meluluskan resolusi terhadap Israel yang secara terang-terangan melakukan penindasan dan kezaliman ke atas penduduk Palestin.
Namun persoalan yang jauh lebih besar menurut Rabbani, adakah layak untuk Majlis Keselamatan PBB memiliki kredibiliti setelah beberapa kali gagal menjamin perdamaian dan menutup mata terhadap pelbagai ancaman yang merenggut hak-hak asasi jutaan manusia.
''Dan konflik ini (Israel-Palestin) adalah konflik yang mereka (Majlis Keselamatan PBB) ciptakan sendiri pada 1947,", demikian disimpulkan oleh Mouin dalam menyatakan kekecewaannya kepada PBB