RAKYAT Malaysia yang bertugas di Indonesia pasti mempunyai cerita dan pengalaman sendiri yang tidak akan dilupakan.
Pada Isnin lalu ketika membuat liputan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan menjadi antara pengalaman yang tidak akan dilupakan.
Sebelum itu, tersebar maklumat bahawa terdapat kira-kira 500 anggota Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) akan menyerang dan menduduki Kedutaan Malaysia dan ketika penulis tiba di lokasi, terdapat kira-kira 300 anggota polis, sebuah kenderaan meriam air dan kenderaan yang membawa dawai kawat.
Seorang pegawai polis menghampiri penulis dan menasihatkan tidak berada terlalu dekat dengan kawasan tunjuk perasaan kerana kumpulan berkenaan dianggap agresif setiap kali mengadakan tunjuk perasaan.
Ini kerana kumpulan itu pernah mengadakan operasi mengusir rakyat Malaysia menggunakan buluh runcing pada tahun lalu setelah isu sempadan di perairan Ambalat diperbesarkan oleh media Indonesia.
Ketika kumpulan sekitar 20 orang penunjuk perasaan tiba, penulis bersama puluhan jurugambar lain berasak-asak mengambil gambar mereka yang sedang memijak Jalur Gemilang dan berpidato dengan menggunakan alat pembesar suara.
Nada pidato cukup keras dengan memanggil Malaysia sebagai negara 'maling' yang bermaksud pencuri dan sebagainya. Pidato itu disambut dengan teriakan para penyokong mereka yang tidak seberapa jumlahnya berbanding yang digembar-gemburkan.
Terlintas di dalam fikiran penulis, beginilah nasib polis di Indonesia walaupun cukup terlatih, tetapi akhirnya ditipu dan diperbodohkan oleh penunjuk perasaan.
Dalam pada itu, lima penunjuk perasaan mengeluarkan bungkusan yang mengandungi najis manusia. Penulis tidak jadi mengambil gambar kerana bau najis yang terlalu busuk memaksa kesemua wartawan dan jurugambar 'bertempiaran lari'.
Jika sebelum ini, penulis yang pernah bertugas di Meja Jenayah tidak pernah berundur walau setapak ketika berdepan dengan mayat berulat, mahupun dalam keadaan mengerikan akibat kemalangan, namun insiden di Jakarta ini memaksa penulis melarikan diri.
Bukan sahaja kerana tidak tahan dengan bau busuk najis manusia, tetapi untuk mengelak daripada bermandikan najis yang sempat dilempar ke kawasan Kedutaan Malaysia.
Penulis yakin perbuatan itu dilakukan oleh segelintir daripada lebih 300 juta rakyat Indonesia yang sebenarnya telah dipergunakan oleh pihak yang berkepentingan. Walaupun tidak mempunyai bukti tetapi memang sangat jelas ia pastinya dilakukan oleh mereka yang memusuhi kepimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Kadangkala penulis berasa bosan dengan sikap hipokrit atau 'talam dua muka' para pemimpin Indonesia. Apabila berbincang dengan menteri atau pegawai dari Malaysia, mereka cukup ikhlas mencari perdamaian, tetapi apabila mereka bercakap dengan media Indonesia, nada suara langsung berubah.
Mereka mula mengeluarkan kata-kata kecaman dan menghina Malaysia. Ia ibarat pepatah Melayu, 'telunjuk lurus, kelengkeng berkait'. Jika terdapat menteri yang bersikap lembut dan mahu menyelesaikan sebarang isu secara diplomasi, dia akan dituduh sebagai lemah dan tidak tegas dalam mempertahankan kedaulatan negara Indonesia.
Begitu juga sikap media Indonesia. Para pemimpinnya juga tidak mempunyai jiwa yang cukup besar untuk menerima hakikat bahawa Malaysia yang suatu ketika dahulu bertatih dan belajar dari Indonesia, kini telah maju serta jauh meninggalkan negara itu.
Lantaran itu, perasaan cemburu dan iri hati terus menguasai fikiran segelintir rakyat Indonesia sehingga mereka sanggup dan terus hidup dalam penafian, selain bertindak memperbodohkan pembaca dengan menyembunyikan serta melencongkan fakta.
Sebagai contoh, kira-kira 70 penjenayah warganegara Indonesia kini berdepan dengan hukuman gantung sampai mati di Malaysia. Bagaimanapun, badan-badan bukan kerajaan dan media Indonesia menjadikan ia sebagai isu 70 rakyat Indonesia bakal dihukum mati di Malaysia.
Mereka tidak pula melihat bahawa begitu ramai rakyat Indonesia berkelakuan tidak senonoh dan terlibat dengan jenayah di Malaysia sehingga mengganggu ketenteraman rakyat Malaysia. Apabila mereka dihukum kerana perbuatan jenayah, kerajaan Malaysia dianggap kejam dan berat sebelah.
Dalam erti kata lain, kumpulan berkenaan menafikan hak rakyat serta kerajaan Malaysia untuk menegakkan undang-undang dan menjaga ketenteraman negara.
Penulis yakin menjelang sambutan hari kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos ini, pasti lebih banyak insiden menyakitkan hati dilakukan oleh pelbagai pihak di Indonesia dan yang paling digemari mereka adalah memijak dan membakar bendera Malaysia.
Sehubungan itu, rakyat Indonesia tidak boleh menyalahkan dunia luar apabila memandang negatif terhadap mereka kerana ia berpunca daripada sikap mereka sendiri.
Saturday, August 28, 2010
Tindakan melampau menjejaskan imej Indonesia
ILHAM DARI PUTERA at 4:48:00 AM