SYABAS diucapkan kepada rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan tidak mudah melenting dengan provokasi sebuah kumpulan dari Indonesia, Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera).
Walaupun Jalur Gemilang kita diinjak seumpama kain buruk dan dibakar serta kedutaan dilempar najis, namun majoriti rakyat negara ini masih rasional tanpa melakukan tindakan serupa, malah masih boleh menganggap ia tindakan manusia yang tidak ada kerja cari kerja.
Kita wajar bersatu tanpa mengira kaum, agama dan budaya untuk bersama memelihara keharmonian dan perpaduan yang memungkinkan kita sama-sama mencari makan tanpa terpengaruh dengan provokasi saudara kita yang lain sudut pandangannya.
Jika Bendera di Indonesia memprovokasi kita di sini, kita pula wajar mengibarkan bendera kita di serata tanah merdeka Malaysia. Sewajarnya kita membuat ekspedisi sama ada berjalan kaki atau berkenderaan mengibarkan Jalur Gemilang dari Padang Besar hingga ke puncak Gunung Kinabalu dari 31 Ogos hingga 16 September.
Dua tarikh keramat ini mempunyai impak kepada semua pihak sebagai tarikh kemerdekaan dan penubuhan Malaysia.
Jika ada pihak yang membakar 10 Jalur Gemilang kerana kedangkalan minda mereka, kita wujudkan pula sejuta bendera sebagai ganti dan dikibarkan di seluruh pelosok tanah air berdaulat ini.
Agak dikesalkan kerana sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini menyaksikan kibaran Jalur Gemilang amat kurang. Namun, ia tidak bermakna semangat kemerdekaan kita tidak kukuh.
Adakalanya kita tertanya-tanya adakah yang bersemangat menyambut kemerdekaan cuma pemandu teksi sahaja.
Adakah kemerdekaan cuma satu hari yang mana pada malam sebelumnya, remaja dan orang tua sama-sama membuat countdown dan selepas itu melihat persembahan mercun yang sah diharamkan mengikut undang-undang negara?
Sewajarnya pengisian kemerdekaan disambut dengan doa selamat, tahlil dan bacaan Yasin secara beramai-ramai oleh semua umat Islam. Bagi penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian, mereka boleh bersembahyang mengikut agama masing-masing.
Penjajah telah pergi, Perlembagaan Negara telah ditulis, kemajuan ekonomi dan pembangunan prasarana semakin mantap. Adakah kita tidak boleh bersyukur mendoakan kesejahteraan Malaysia yang tercinta selama 53 tahun ini. Tsunami politik 2008 membuktikan sistem demokrasi subur di negara ini dan belum lagi berkubur, maka doakanlah agar negara ini terus makmur.
Mencabar perlembagaan dengan politik sempit dan menghina institusi yang terbentuk daripada perlembagaan menunjukkan pihak terbabit masih mentah dan tidak mengerti pengorbanan sebenar para pejuang kemerdekaan yang seorang demi seorang telah pergi menemui pencipta-Nya.
Tunjukkan kepada Bendera bahawa kita tidak termakan provokasi. Ini kerana itu bukan cara kita. Sebaiknya, dalang kumpulan itu perlu disiasat. Mungkin ada petualang bangsa yang memberi upah.
Marilah kita bersatu tidak kira Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban, Bidayuh, Melanau, Kelabit, Kadazan Dusun,Bajau, Serani dan anak-anak Pan-Asian. Marilah kita lupakan perbezaan kita kerana kita adalah 1Malaysia.
Tuesday, August 31, 2010
Provokasi Bendera tidak menjadi
ILHAM DARI PUTERA at 8:18:00 PM