BARU-BARU ini majalah Newsweek dalam edisi khas mengeluarkan senarai 100 negara terbaik di dunia. Lebih menarik lagi Malaysia menduduki tempat ke-37 dalam senarai tersebut.
Memang mengejutkan namun mungkin itu antara perubahan yang dibawa oleh majalah itu dengan buat pertama kalinya menjalankan kajian negara manakah layak dimartabatkan antara negara terbaik di dunia.
Kita katakan pembaharuan kerana majalah ini baru sahaja dijual awal bulan ini kepada jutawan California, Sidney Harman yang mengeluarkan sistem audio premium Harman Kardon.
Seperti mana kesuraman industri akhbar dan majalah yang melanda seluruh dunia masalah yang sama berlaku kepada Newsweek yang sebelum ini dimiliki oleh The Washington Post Company.
Newsweek yang bersaing sengit dengan majalah Time, kerugian AS$28 juta (RM88.6 juta) tahun lalu dan perolehan iklan jatuh sebanyak 37 peratus.
Harman dalam kata-kata aluan selepas pengumuman pembelian majalah tersebut menyatakan, “Newsweek merupakan harta negara. Saya berasa sangat bangga untuk mewarisinya daripada The Washington Post Company dan keluarga Graham selain tidak sabar untuk menghadapi cabaran kewartawanan, perniagaan dan teknologi yang besar,”.
Oleh itu pembaharuan pertama yang dilakukannya adalah menjalankan kajian negara manakah yang boleh dikatakan sebagai terbaik di dunia.
Hasilnya 100 senarai negara terbaik dikeluarkan dengan 10 negara kecil dengan jumlah penduduk yang sedikit (kecuali Jepun) menduduki tangga teratas.
Namun dalam mukadimahnya, pengarang telah menyatakan para pembaca di seluruh dunia mungkin akan menemui sesuatu yang disukai ataupun dibenci tentang senarai ini.
Pada masa yang sama senarai ini juga menunjukkan bahawa dunia ini adalah luas dan kita mempunyai pelbagai cara untuk melihat dan menilai tentangnya.
Ini sesuatu yang menarik kerana Newsweek sendiri seolah-olah tidak begitu pasti tentang pilihan yang dilakukannya.
Bukan berniat untuk memperlekeh mahupun menafikan kajian yang telah dibuat namun pasti terdapat beberapa kelompongan memandangkan usaha ini dilakukan berdasarkan kaca mata dan pandangan Barat mengenai apa yang ditakrifkan sebagai terbaik.
Pemilihan
Majalah Newsweek menetapkan pemilihan negara terbaik berdasarkan lima kategori iaitu pendidikan, kesihatan, kualiti kehidupan, daya saing ekonomi dan persekitaran politik. Semua faktor ini menjadi keutamaan yang menjurus kepada kesejahteraan negara.
Kesemua faktor ini kemudian digabungkan jumlahnya yang akhirnya menentukan di tangga mana sesebuah negara itu sepatutnya berada.
Sebagai contoh Malaysia dipilih berada di tempat ke-37 setelah semua lima kategori digabungkan dengan jumlah keseluruhan markah adalah 69.69 peratus.
Malaysia berada di tempat ke-14 dalam kategori daya saing ekonomi dengan markah 61.93 peratus, tempat ke-48 dalam kategori kualiti kehidupan dengan markah 69.28 peratus, faktor kesihatan di tangga ke-52 dengan markah 71.02 peratus, faktor pendidikan dengan markah 86.43 peratus di tempat 36 dan terakhir, persekitaran politik di tangga ke-54 dengan markah 59.80 peratus.
Di sebalik semua jumlah pemarkahan itu menduduki tempat ke 10 teratas adalah negara dari Eropah Utara iaitu Finland di tempat pertama, Sweden ketiga, Norway keenam, Denmark ke- 10 selain negara Eropah kecil lain seperti Switzerland, Luxembourg dan Belanda.
Di sini juga timbul kemusykilan bagaimana sebuah negara seperti Finland dan Norway yang tempoh musim sejuknya panjang dan gelap lebih dari enam bulan dalam setahun terpilih di antara yang terbaik.
Memang dari sudut “terbaik” negara ini mempunyai semua kualiti yang kehadapan dari negara-negara lain. Namun seperti yang dinyatakan pengarangnya soal “terbaik” ini masih boleh didebatkan walaupun ia sebenarnya satu usaha yang baik bagi mengiktiraf penat lelah yang dilakukan oleh kerajaan sesebuah negara dalam menguruskan negara mereka.
Namun soal “terbaik” ini masih lagi sesuatu yang subjektif apatah lagi negara yang agak terkebelakang seperti Costa Rica (35), Estonia (32) dan Latvia (35) mendahului Malaysia dalam senarai ini.
Lebih mengejutkan musuh umat Islam, Israel menduduki tempat ke-22 walaupun seperti yang kita sedia maklum berlaku serangan hampir setiap hari oleh penduduk Palestin yang marah dengan pencabulan yang dilakukan mereka.
Begitu juga dengan kedudukan Greece yang menduduki tempat ke-26 walaupun ekonomi dan sistem kewangan negara itu hampir lumpuh dan berita mengenai rusuhan oleh rakyatnya pernah mewarnai akhbar-akhbar utama dunia.
Mungkin jika kita bersikap realistik Malaysia masih lagi belum mencapai standard negara-negara maju seperti Itali, Jerman dan lain-lain.
Namun perasaan bangga harus ada di dalam diri kita setelah Malaysia dinobatkan yang terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura (20) dan keempat terbaik di Asia selepas Jepun (9) dan Korea Selatan (15).
Mungkin ada yang berpandangan negara yang bercuaca panas seharusnya lebih baik dari negara yang sentiasa sejuk seperti Norway atau Kanada.
Namun kerana keadaan ekonomi yang sempurna dengan hampir semua rakyatnya mempunyai kerja yang menjamin sekaligus memungkinkan struktur kesihatan dan pendidikan yang lebih baik diberikan kepada rakyatnya.
Selain itu dengan jumlah rakyatnya yang sedikit contohnya Finland sekitar 5.3 juta dan Sweden 9.3 juta memudahkan pengagihan kekayaan dan pendapatan diberikan secara adil dan mendorong suasana politik yang lebih stabil dan harmoni.
Jika dibandingkan dengan Pakistan yang menduduki tempat ke-89, Venezuela (71) dan Bangladesh (88) pastinya realiti kehidupan jika mahu dibandingkan umpama langit dan bumi.
Percakaran politik, jurang antara kaya dan miskin yang jauh berbeza serta sistem kesihatan dan pendidikan yang caca merba telah mengakibatkan ramai penduduknya berhijrah ke negara lain seperti Malaysia untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Realitinya banyak negara-negara di Asia, Amerika Latin dan Afrika masih jauh dari dari apa yang dikatakan “terbaik” oleh majalah Newsweek.
Bukan sahaja dibebani masalah sistem pendidikan dan kesihatan yang sememangnya teruk, hendak mendapatkan sesuap nasi dalam sehari pun masih lagi menjadi beban utama bagi negara-negara di Afrika.
Begitu juga kerana kemiskinan mengakibatkan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah, penculikan, pelacuran, rasuah dan pelbagai lagi seolah-olah sudah menjadi sebahagian dari kehidupan di negara-negara Amerika Latin.
Jika dilihat pada negara-negara yang menduduki tempat teratas senarai tersebut, mereka berkongsi resepi yang mudah iaitu elakkan dari berperang, kekal bertahan dan produktif walaupun dalam keadaan yang tertekan selain mempunyai suasana sejuk dan gelap lebih lama sepanjang tahun.
Yang jelas Malaysia cukup bertuah tersenarai di tangga ke-37 dengan resepi yang sama cuma bezanya cuacanya panas sepanjang tahun selain mempunyai penduduk yang terdiri dari berbilang kaum, satu-satunya keunikan yang tidak terdapat pada 36 negara di atas kita.
Lebih indah lagi dari senarai 36 negara itu Malaysia merupakan satu-satunya negara Islam yang sekaligus membuktikan negara bertuah ini terbaik untuk didiami semua kaum dan agama.
Sunday, August 29, 2010
100 negara terbaik
ILHAM DARI PUTERA at 9:30:00 PM