Netanyahu ketepi 'arahan' AS babit timur Baitulmaqdis.
Amerika Syarikat mengarahkan Israel berhenti mendirikan satu projek perumahan di timur bandar ini tetapi segera ditolak Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu.
Keengganan Israel itu adalah pertikaian terbaru dua negara bersekutu rapat itu berhubung soal penempatan Yahudi, kata seorang pegawai kanan Israel, semalam.
Duta Israel di Washington, Micheal Oren diarahkan ke Jabatan Negara hujung minggu lalu berhubung projek itu yang mensasarkan mendirikan unit perumahan di kejiranan Sheikh Jarrah, kata pegawai yang enggan dikenali, mengesahkan laporan media terdahulu.
"Kami tidak boleh terima idea bahawa orang Yahudi tidak berhak tinggal atau membina rumah di mana-mana tempat di timur Baitulmaqdis.
"Baitulmaqdis yang bersatu adalah ibu kota Yahudi dan ibu negara Israel. Kedaulatan kami tidak boleh dipersoalkan," kata Netanyahu sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Projek perumahan berkenaan dikenali penduduk Palestin sebagai Karm Al-Mufti, kawasan yang pernah dimiliki Mufti Besar Baitul-maqdis, Amin al-Husseini sebelum dibeli oleh jutawan Amerika, Irving Moskowitz pada 1985.
Projek Sheikh Jarrah terletak dekat bangunan kerajaan Israel dan konsulat Amerika serta Britain. Kebenaran membina bangunan sudah diberi beberapa bulan lalu, lapor akhbar Maariv.
Tiada ulasan terkini Amerika berhubung laporan mengenai pembinaan unit rumah di tapak hotel Shepherd di kejiranan itu.
Kerja pembinaan itu dibiayai Moskowitz, yang sebelum ini memberi sumbangan kepada kumpulan ultra nasionalis Yahudi.
Masyarakat antarabangsa menganggap penempatan Yahudi di kediaman majoriti Arab di timur Baitulmaqdis sebagai halangan utama dalam proses damai Asia Barat yang terus lumpuh.
#Satu lagi bukti Israel tak mau usaha damai diteruskan dan ingin terus mencabul nya.
Monday, July 20, 2009
Tak akan berhenti
ILHAM DARI PUTERA at 9:48:00 AM