DAN berkatalah Firaun, “Hai Haman, buatkanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu, (iaitu) pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta...”
(al-Mu’min: 36-37)
PADA suatu hati, Firaun memerintahkan para menteri serta para pemimpin di Mesir berkumpul di istananya. Firaun mengeluarkan perintah kepada Haman, iaitu salah seorang menterinya, supaya mengetuai pertemuan tersebut.
Firaun tidak berpuas hati dengan seruan Nabi Musa yang menyatakan bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah. Firaun mahu semua rakyat menyembah dirinya sahaja. Dia mendakwa dirinya adalah tuhan yang memerintah seluruh alam itu.
Sebaik sahaja semua rakyatnya berkumpul, Firaun terus berkata, “Hai Haman, adakah aku ini seorang pendusta?”
“Tidak ada seorang pun yang berani menentang tuanku,” Kata Haman.
Firaun berkata dengan marah, “Tetapi Musa berani menentang aku. Musa pernah mengatakan bahawa ada Tuhan lain selain aku di langit.”
“Wahai tuanku, sesungguhnya Musa itu berbohong,” kata Haman lagi.
“Aku sudah mengetahui bahawasanya dia berdusta.”
Firaun menoleh ke arah Haman dan mengeluarkan perintah kepadanya. “Aku mahu kau membina sebuah bangunan yang tinggi mencakar langit. Tingginya itu haruslah mencapai ke pintu-pintu langit. Aku hendak naik dan melihat bagaimanakah rupa Tuhan Musa itu. Bukankah Tuhan Musa itu berada di atas langit?”
“Saya akan melaksanakan perintah tunku itu. Saya akan segera mengumpulkan jurutera-jurutera, beribu-ribu tukang batu dan tukang kayu untuk membinanya,” kata Haman, berjanji kepada Firaun.
Setelah bertungkus lumus membina bangunan itu, maka siaplah bangunan yang tinggi hinggakan puncaknya tidak kelihatan. Sebaik sahaja bangunan itu siap, Firaun pun segera naik ke tingkat yang paling atas dan memerintahkan supaya dibuatnya anak panah untuknya.
Anak panah itu dipanah ke arah langit. Dengan takdir Allah, anak panah itu kemudian terjatuh semula di hadapan Firaun. Anak panah itu berlumuran dengan darah. Padahal panah itu telah dicelupnya dengan darah sebelum dia memanah langit.
Dengan bangganya Firaun berkata, “Tengok, aku sudah pun membunuh Tuhan Musa, Tuhan Musa itu telah mati ditangan ku. Aku yakin Musa adalah pendusta kerana dia mendakwa ada Tuhan di langit yang dapat menolongnya dan melantiknya sebagai Rasul”.
- Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
Saturday, July 04, 2009
BinaKan Ku Bangunan Tinggi
ILHAM DARI PUTERA at 2:15:00 PM