Kenapa ada negara-negara Arab merestui Israel membunuh penduduk Gaza? Jika pun betul mereka sangat marah kepada Hamas kerana perkiraan permainan politik semasa di rantau Asia Barat memaksa mereka berbuat demikian, tetapi tercapaikah matlamat mereka?
Hamas masih kuat dan mungkin dalam masa beberapa bulan akan datang, ia akan menjadi lebih kuat dari masa lalu. Buktinya selepas sehari tentera berundur dari Gaza, beribu-ribu orang Hamas lengkap dengan senjata keluar mengadakan tunjuk perasaan mengisytiharkan kemenangan. Kebanyakan mereka keluar dari ratusan terowong bawah tanah. Mungkin pada masa akan datang jika proses damai tidak diteruskan, bukan saja Yahudi akan menjadi sasaran keganasan, tetapi juga negara-negara Arab.
Pada penelitian saya, kebanyakan orang Muslim, orang Yahudi dan orang Kristian melihat perang Israel ke atas Gaza itu sebagai perang agama atau sekurang-kurangnya perang yang mempunyai ciri-ciri agama.
Pandangan stereotaip ini mungkin terpantul daripada semua perang yang berlaku antara Arab dan Yahudi dalam jangka sama lebih enam dasawarsa lalu. Malah ia mugkin juga terpantul daripada pengalaman pelbagai perang Salib dan perang jihad orang Muslim pada zaman silam. Jika dihalusi memang terdapat faktor agama dan budaya menyebabkan perang Arab-Israel termasuk perang ke atas Gaza dianggap sebagai perang agama atau sekurang-kurangnya perang yang mempunyai ciri-ciri agama. Dalam masa empat minggu berturut-turut saya memantau media massa Yahudi, saya dapati selain rencana-rencana yang memperkatakan perang ke atas Gaza merupakan perang agama, ramai anggota tentera Israel merupakan orang yang kuat agama, membawa dan membaca kitab suci ketika di medan perang, memakai kopiah dan menjadi ahli pergerakan atau parti pelampau agama Yahudi.
Dengan itu dapat dikatakan bahawa perang agama menjadi gagasan perjuangan Yahudi sejak sekian lama. Ini juga yang terjadi di kalangan orang Palestin dan bangsa-bangsa Arab lain kerana terpengaruh dengan gagasan perjuangan Yahudi. Umat Muslim di seluruh dunia turut dijangkiti fahaman ini. Kerana pandangan stereotaip ini, sejarah silam yang amat buruk dan keji itu diulangi serta dimainkan semula oleh manusia yang moden dan maju kini. Mereka yang memilih jalan untuk berperang atau mempunyai mentaliti mahu berperang di kalangan orang Muslim, Kristian, Yahudi dan lain-lain tidak berbeza.
Hanya diri mereka berada pada zaman serba maju dan canggih ini, tetapi otak dan akal tercampak jauh ke zaman kuno.. Semua mereka bermusuh dan berperang atas nama agama dan Tuhan. Pada hal agama dan Tuhan tidak pernah merestui perang.
Sebenarnya jika merujuk kepada wacana agama (al-khitab ad-dini) dalam ketiga-tiga agama langit (Islam, Kristian dan Yahudi), kita akan dapati bahawa terdapat banyak wacana agama yang bermasalah.
Begitu juga dalam Islam ada konsep jihad, yang sering disalah fahamkan ramai orang terutama orang bukan Islam. Jihad bila dikaitkan dengan perang seperti disebut dalam al-Quran, maka ia bererti bersugguh-sunguh dalam perang mempertahankan diri. Perang mempertahan diri adalah satu-satunya perang yang sah dalam Islam berdasarkan nas al-Quran dan hadis. Islam tidak pernah mensyariatkan perang untuk menceroboh dan merampas wilayah orang lain.
Jika merujuk kepada wacana agama dalam Kristian dan Yahudi terdapat nas-nas Injil dalam Perjanjian Lama yang secara jelas menganjurkan pembunuhan dan perang. Jika nas-nas Injil itu difahami secara harfiah, nescaya pembunuhan dan perang tidak dapat dielak dan orang atau bangsa yang disuruh dibunuh dalam nas-nas itu pula adalah orang atau bangsa Palestin. Saya tidak pasti apakah para pemimpin Yahudi yang membuat keputusan melancarkan perang ke atas Gaza pada 27 Disember lalu turut berhujah dengan peruntukan Injil dalam Perjanjian Lama di bawah ini.
Cuba teliti nas-nas Injil di bawah.
33:50-56 Tuhan berfirman kepada Musa di Dataran Moab di tepi sungai Jordan dekat Jericho:
Berbicaralah kepada orang Israel dan katakanlah kepada mereka: Apabila kamu menyeberangi sungai Jordan ke tanah Kanaan, maka haruslah kamu menghalau semua penduduk negeri itu (Palestin) dari depanmu dan membinasakan segala batu berukir kepunyaan mereka; juga haruslah kamu membinasakan segala patung tuangan mereka dan memusnahkan segala bukit pengorbanan mereka.
Haruslah kamu menduduki negeri itu dan diam di sana, sebab kepadamulah Kuberikan negeri itu untuk diduduki. Maka haruslah kamu membahagi negeri itu sebagai milik pusaka dengan membuang undi menurut kaummu: kepada yang besar jumlahnya haruslah kamu memberikan milik pusaka yang besar, dan kepada yang kecil jumlahnya haruslah kamu memberikan milik pusaka yang kecil; yang ditunjuk oleh undi bagi masing-masing, itulah bahagian undiannya; menurut suku nenek moyangmu haruslah kamu membahagi milik pusaka itu. Tetapi jika kamu tidak menghalau penduduk negeri itu dari depanmu, maka orang-orang yang kamu tinggalkan hidup dari mereka akan menjadi seperti selumbar di matamu dan seperti duri yang menusuk lambungmu, dan mereka akan menyesatkan kamu di negeri yang kamu diami itu.
Akhirnya sekali saya ingin jelaskan bahawa walaupun Israel yang melancarkan perang ke atas Gaza, tetapi negara-negara Arab yang kena kutuk. Bukan Israel tidak kena kutuk, tetapi kali ini negara-negara Arab kena kutuk dengan cara yang agak luar biasa. Ia bukan pertama kali negara-negara Arab kena kutuk disebabkan angkara Yahudi.
Pada masa lalu kebanyakan negara Arab kena kutuk kerana dilihat tidak mampu melakukan apa-apa yang sepatutnya untuk berhadapan dengan ancaman Israel, tetapi kini beberapa negara Arab berpengaruh kena kutuk kerana didakwa bersekongkol dengan rejim Tel Aviv untuk menjatuhkan Pergerakan Pertahanan Islam (Hamas).
Pada negara-negara Arab itu, Hamas patut diperangi kerana ia adalah al-Ikhwan al-Muslimun (al-Ikhwan), mahu menubuhkan negara Islam, menjadi proksi Iran dan menjadi paksi yang tidak disukai dengan Hizbullah, Syria dan Iran. Malah negara-negara Arab itu juga memerangi Hamas kerana melihatnya sebagai Taliban Palestin
Sunday, February 01, 2009
Perang agama di Gaza?
ILHAM DARI PUTERA at 6:26:00 PM