Mencari Hasil Ilmu

Thursday, February 19, 2009

PENGHANTARAN TENTERA KE AFGANISTAN

Presiden Barack Obama semalam meluluskan penempatan seramai 17,000 tentera Amerika Syarikat ke Afghanistan sambil menyifatkan ia perlu untuk menstabilkan keamanan yang semakin merosot di negara itu.

"Tiada tugas paling serius sebagai Presiden selain membuat keputusan untuk menempatkan pasukan bersenjata kita dengan cara itu," kata Obama dalam satu kenyataan.

"Saya hari ini mengakui keadaan di Afghanistan dan Pakistan menuntut perhatian segera dan tindakan pantas."

Obama berkata perintah berkenaan adalah sebagai jawapan kepada permintaan sebulan lalu oleh komander Amerika Syarikat di Afghanistan, Jeneral David McKiernan yang meminta tambahan 30,000 tentera.

Presiden itu berkata bagi memenuhi keperluan keselamatan yang segera, beliau meluluskan satu permintaan oleh Setiausaha Pertahanan, Robert Gates untuk menempatkan Marine Expenditionary Brigade musim bunga ini dan Army Stryker Brigade serta pasukan sokongan akhir musim panas ini.

Rumah Putih berkata seramai 17,000 tentera akan dihantar ke Afghanistan menjelang pilihan raya negara itu yang dijadualkan pada 20 Ogos.

Ditanya mengenai kemungkinan arahan selanjutnya pada masa depan untuk menambah tentera lagi, seorang pegawai kanan pentadbiran memberitahu AFP bahawa ia tidak mungkin berlaku sebelum kajian menyeluruh strategi Amerika Syarikat di Afghanistan dan Pakistan disempurnakan.

"Penambahan terbaru itu penting pada masa ini kerana kami menjangka pertempuran akan meningkat pada musim bunga dan sempena pilihan raya akan datang," kata pegawai berkenaan yang enggan mendedahkan nama.