KEPUTUSAN Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan kempen menghalang pejuang Palestin, terutama pergerakan Hamas memiliki senjata di Genting Gaza, bukan sahaja berat sebelah, tetapi juga tindakan yang tidak logik. Ia tidak akan membantu menghalang Israel daripada terus melakukan kekejaman ke atas Palestin.
Kita tidak nampak apakah rasionalnya kuasa-kuasa besar melaksanakan tindakan menyekat pejuang Palestin memiliki senjata bagi mempertahankan diri.
Pelbagai istilah digunakan bagi menguatkuasa tindakan itu untuk memenuhi kepentingan Israel, dengan mentakrifkan ia sebagai usaha menghalang penyeludupan senjata ke Gaza.
Jika Israel yang memiliki senjata nuklear boleh menerima bekalan senjata dari AS, mengapa pula Hamas tidak boleh untuk tujuan mempertahankan diri?
Alasan kuasa-kuasa besar menghalang bekalan senjata kepada Hamas kerana pergerakan itu disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas lebih tidak logik. Hamas secara rasminya adalah sebuah parti politik yang menerima mandat daripada rakyat Palestin apabila parti itu memenangi pilihan raya Palestin pada 2007.
Jika tindakan Hamas melancarkan serangan roket buatan sendiri yang terbatas kemampuannya dijadikan alasan untuk menyenaraikan pergerakan itu sebagai pertubuhan pengganas, maka rejim Zionis Israel juga perlu disenaraihitamkan. Zionis juga perlu dianggap pengganas kerana menggunakan senjata yang diharamkan untuk mengebom Palestin.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut bersekongkol meluluskan resolusi menghalang penghantaran bekalan senjata kepada Hamas atas dasar mengukuhkan gencatan senjata di wilayah Palestin tersebut.
Keputusan PBB dan EU mengikut telunjuk Israel itu lebih tidak masuk akal kerana negara Yahudi bukanlah negara yang sah daripada segi pembentukannya kerana penubuhannya bercanggah dengan piagam PBB.
Sebaliknya, Palestin yang merupakan sebuah negara sah dan diceroboh serta ditakluk oleh Israel sejak 1948 tidak diiktiraf haknya sebagai sebuah negara yang berdaulat untuk mempertahankan diri.
Lebih tidak logik, resolusi berhubung tindakan menyekat penyeludupan senjata ke Gaza disambut oleh Perancis, Jerman dan Britain serta mendapat sokongan Mesir. Tetapi keputusan resolusi yang mendesak supaya sempadan Gaza dibuka bagi membawa bantuan makanan dan perubatan tidak pula disegerakan.
Lebih tidak logik, AS yang berkecuali dalam pengundian meluluskan resolusi gencatan senjata PBB di Gaza pada 22 Januari, turut menyertai kempen EU memerangi penyeludupan senjata ke Gaza.
Lebih mendukacitakan apabila negara Islam seperti Mesir sanggup bersekongkol menyokong kempen kuasa besar yang menjadi pak turut Israel itu.
Persoalannya, apakah tindakan PBB dan EU benar-benar untuk menguatkuasakan gencatan senjata di Gaza atau memberi lesen besar kepada Israel menyerang Gaza dan wilayah Palestin yang lain?
Israel mengancam menyerang semula Gaza berikutan tindakan Hamas terus melancarkan serangan roket ke wilayah Israel.
Maka kuasa besar, PBB dan negara-negara Islam juga haruslah bersedia menyaksikan tayangan 'filem' baru secara langsung. Ia akan membabitkan serangan besar-besaran ke atas penduduk Palestin menjelang dan selepas pilihan raya negara Yahudi itu pada 10 Februari ini.
Tuesday, February 03, 2009
EU, PBB terus jadi alat jayakan agenda Israel
ILHAM DARI PUTERA at 10:49:00 AM