Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, February 04, 2009

'Hutang moral' Israel, AS dituntut Palestin

'Hutang moral' Israel, AS dituntut Palestin
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
ayop_60@yahoo.com

SERANGAN tidak berperikemanusiaan Israel ke atas wilayah Gaza baru-baru ini turut membawa kemusnahan besar terhadap kemudahan awam dan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, sekolah dan hospital. Anggaran untuk membangunkan semula wilayah berkenaan adalah sebanyak RM7.2 bilion (AS$2.1 bilion).

Sepatutnya Israel dan Amerika Syarikat (AS) wajar menanggung kos pembangunan semula wilayah itu. Justeru, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus membuat satu ketetapan meminta Israel menanggung segala kos kemusnahan di Gaza dalam bentuk bayaran pampasan munasabah, termasuk bayaran pampasan kepada keluarga yang terkorban dalam serangan terbabit.

Kenyataan maaf Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert kerana serangan yang dilakukan Israel itu menyebabkan ramai penduduk awam terkorban harus dibuktikan dengan menjelaskan hutang moralnya kepada rakyat Palestin.

Israel mula menyerang wilayah itu pada 27 Disember 2008 dan selama 23 hari itu, lebih 1,300 nyawa terkorban, mencederakan berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin serta memusnahkan lebih 20,000 bangunan dan rumah kediaman rakyat Palestin.

Satu lagi cara ialah Israel dan AS menyediakan satu pakej pemulihan pembangunan tanpa sebarang timbal balas yang disyaratkan mereka. Semua ini mesti dilakukan atas dasar 'hutang moral' Israel dan AS ke atas rakyat Palestin. AS tidak sepatutnya membantu Israel menghukum 1.5 juta penduduk Gaza semata-mata kerana memusuhi Hamas yang dipilih secara demokratik dalam pilihan raya Januari 2006.

Terlalu banyak pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan Israel ketika menceroboh dan menyerang Gaza. AS jangan hanya pandai membantu Israel, tetapi melupakan hutang moralnya terhadap rakyat Palestin. Jika beberapa tahun lalu, AS menerusi memorandum persefahaman dengan Israel sanggup memberi bantuan AS$30 bilion kepada Israel selama 10 tahun, mengapa pula ia tidak membantu membangun semula wilayah Gaza atas rasa tanggungjawab moralnya terhadap rakyat Palestin.

Perjanjian yang ditandatangani itu adalah hasil lobi American Israel Public Affairs Committee (AIPAC), sebuah badan pelobi Yahudi yang berpengaruh. AS juga pernah membantu proses pemulihan semula ekonomi negara Eropah Barat yang terjejas teruk kesan Perang Dunia Kedua.

Ia dilaksanakan melalui program Pelan Marshall (The Marshall Plan) ketika pentadbiran Henry Truman (Demokratik,1945-53). Nama program ini diambil sempena nama George Catlet Marshall, bekas Setiausaha Pertahanan AS (1947-1949) dan Setiausaha Pertahanan AS (1950-1951). Mengapa program seperti itu tidak dilaksanakan AS untuk Palestin?

Walaupun agak sukar untuk membawa Israel ke muka pengadilan kerana dilindungi AS dan sekutunya, tekanan ke atas AS dan Zionis Israel mesti diteruskan oleh masyarakat antarabangsa. Jika Presiden AS, Barack Obama jujur untuk memulihkan hubungan dengan dunia Islam, ia patut memainkan peranan itu secara berani.

Memang sukar untuk Obama membebaskan diri daripada pengaruh dan cengkaman kuasa Yahudi. Pengaruh pelobi Yahudi dalam setiap pelan damai Israel-Palestin sudah berakar umbi sejak 1948 lagi.

Kekuasaan Zionis ke atas pentadbiran, struktur politik, media massa, perekonomian, ketenteraan dan sosial AS adalah kenyataan yang tidak boleh disanggah. Justeru, tidak hairanlah David Luchins, seorang Yahudi Ortodoks pernah berkata, "Kami bukanlah kelompok minoriti, tetapi kami adalah sebahagian daripada majoriti di mana segala sesuatu yang kami inginkan, pasti akan kami miliki dan kuasai." Apa pun, Obama mesti membuktikan apa yang dijanjikannya kepada dunia Islam.

Bagi kita, sejak wujudnya negara haram Israel di bumi Palestin pada 1948, Malaysia sentiasa peka dan prihatin terhadap serangan bersiri dilakukan Zionis Israel ke atas bumi nabi itu. Ia umpama 'cubit paha kanan, paha kiri terasa juga'. Demikianlah pertautan persaudaraan dan rasa kemanusiaan umat Islam dan rakyat negara ini terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Namun, 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'. Apa pun, kita sentiasa menghulurkan bantuan yang termampu terhadap penderitaan rakyat Palestin. Terbaru, ketika wilayah Gaza diceroboh dan diserang secara tidak berperikemanusiaan oleh Zionis Israel, rakyat pelbagai kaum di negara ini turut menzahirkan rasa kemanusiaan mereka menerusi gerakan massa secara besar-besaran yang diterajui beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik bagi membantah dan mengutuk kezaliman Israel itu.

Kerajaan pula mengambil langkah yang lebih bermakna dengan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat untuk membantah pencerobohan Israel itu. Inilah pertama kalinya wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang sepakat membahaskan isu Palestin secara serius di Dewan Rakyat yang diadakan pada 12 Januari lalu.

Mereka juga sebulat suara merumuskan 10 resolusi bagi membantah dan mengutuk kekejaman Israel dan AS di wilayah Palestin itu. Resolusi itu dihantar terus ke PBB, Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain, Parlimen Eropah dan Parlimen di seluruh dunia.

Melalui Kementerian Luar, kerajaan turut menghantar satu memorandum khas kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon untuk membantah sikap pilih kasih AS yang sentiasa menyebelahi Israel. Satu daripada 10 resolusi itu ialah mendesak PBB membentuk Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk mendakwa jenayah perang Israel di Palestin.

Usaha kita untuk mempengaruhi masyarakat dunia supaya membawa Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah satu usaha yang menggambarkan keberanian kerajaan dan rakyat Malaysia untuk menentang kezaliman Israel itu. Desakan kita itu mendapat sokongan daripada pemimpin Asean, negara Islam dan negara Komanwel.

Beberapa negara Amerika Latin seperti Cuba dan Venezuela turut menyokong pendirian kerajaan kita.