Fatwa Samahatus Syeikh Abdul Aziz Ibn Abdullah Ibn Baaz
Soalan 2:
Kita telah mengetahui bahawa hakikat ini merupakan asas di dalam ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tetapi yang menyedihkan ialah terdapatnya satu golongan daripada mereka yang mengganggap perkara ini sebagai pemikiran yang lemah serta melambangkan penghinaan kepada Islam, walaupun hal ini telah diperjelaskan. Hasil daripada itu mereka menyeru para pemuda supaya menggunakan kekerasan sebagai cara untuk membuat perubahan. Betulkah begitu?
Jawapan:
Pendapat seperti ini merupakan satu kesilapan serta menandakan kefahaman penuturnya cetek. Ini berlaku kerana mereka tidak memahami al-Sunnah serta tidak mengetahui sebagaimana sepatutnya. Mereka hanya dibuai semangat kosong serta ghairah untuk membuang kemungkaran walaupun mereka tersungkur sebagaimana golongan Khawarij dan Muktazilah yang terdahulu. Kecintaan serta keghairahan mereka untuk menegakkan kebenaran itu membawa mereka terjerumus ke dalam kebatilan sehingga mereka sanggup mengkufurkan orang Islam dengan sebab melakukan maksiat ataupun mereka kekal di dalam nereka kerana maksiat tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Muktazilah.
Golongan Khawarij mengkafirkan mereka yang melakukan maksiat dan menganggap mereka kekal di dalam neraka. Manakala golongan Muktazilah pula bersetuju dengan mereka pada kesudahan mereka, bahawa mereka kekal di dalam neraka. Tetapi mereka mengatakan bahawa di dunia mereka berada pada satu tingkat di antara dua tingkat. Semua itu merupakan kesesatan. Sebenarnya pendapat Ahli Sunnah lebih tepat, iaitu mereka yang melakukan maksiat tidak jatuh kufur selagi mana ia tidak menghalalkannya.
Apabila ia berzina, ia tidak kufur, begitu juga jika ia mencuri atau minum arak. Tetapi ia dianggap melakukan maksiat lemah imannya serta fasiq. Ia mesti dihukum dengan hukum hudud. Ia tidak jatuh kufur kecuali jika ia menghalalkan perbuatan maksiat tersebut dan berkata: "Perbuatan itu halal."
Apa yang dikatakan oleh golongan Khawarij itu merupakan batil, begitu juga dengan perbuatan mereka mengkafirkan manusia. Oleh itu, golongan seperti mereka inilah dikatakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sebagai:
Maksudnya: "Mereka keluar daripada ajaran Islam dan tidak kembali kepadanya."
Mereka memerangi golongan Islam tetapi membiarkan penyembah berhala. Inilah keadaan golongan Khawarij dengan sebab sifat melampau, kejahilan serta kesesatan mereka. Tidak sepatutnya ajaran golongan Khawarij dan Muktazilah tadi manjadi ikutan.
Bahkan mereka wajib mengikuti landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berdasarkan dalil syarak iaitu nas al-Quran dan hadis sebagaimana ia diturunkan. Tidak sepatutnya mereka menderhakai pemerintah hanya dengan sebab kemaksiatan yang dilakukannya. Bahkan menjadi tugas mereka untuk menasihati pemerintah tersebut sama ada secara lisan ataupun bertulis dengan cara yang baik serta berhikmah dan dengan perdebatan yang bermanfaat sehingga mereka berjaya, sehinggalah keburukan tadi hilang atau berkurangan, dan timbulnya kebaikan sebagaimana firman Allah Ta'ala:
Maksudnya: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." (Surah Ali 'Imran: 159)
Tuesday, September 21, 2010
FATWA-FATWA ULAMA BERKENAAN MENJATUHKAN PEMERINTAH
ILHAM DARI PUTERA at 5:23:00 AM