SATU tinjauan pandangan dilakukan oleh Gallup tahun lalu mendedahkan kebanyakan umat Islam di seluruh dunia menyebut demokrasi, kebebasan dan keupayaan teknologi apabila ditanya apakah paling dikagumi mereka mengenai negara Barat.
Namun, apabila tinjauan sama mengajukan soalan apakah paling dikagumi mengenai dunia Islam, kebanyakan rakyat Amerika menjawab: "Tidak ada apa-apa."
Jawapan yang agak tidak memeranjatkan, lebih-lebih lagi hampir setiap minggu dunia disaji dengan berita mengenai pembunuhan dilakukan oleh kumpulan yang digelar media antarabangsa sebagai 'militan Islam.'
Terbaru adalah serangan ke atas pasukan kriket Sri Lanka di Lahore, Pakistan minggu ini yang menyaksikan lapan terbunuh.
Setakat ini belum diketahui kumpulan mana yang bertanggungjawab terhadap serangan itu, tetapi oleh kerana ia berlaku di Pakistan dan media antarabangsa cepat menuduh militan Islam, sudah tentu persepsi terhadap agama berkenaan bertambah buruk lagi.
Berikutan itu apabila berita positif sekali sekala muncul mengenai Islam, kita harus menggembar gemburkannya, agar dapat sedikit sebanyak mengimbangkan persepsi negatif mengenai agama suci ini.
antara berita positif minggu ini mengenai Islam ialah pencapaian umatnya di Amerika Syarikat (AS). Satu tinjauan didedahkan hasilnya minggu ini mendapati umat Islam di AS hanya ketinggalan kepada bangsa Yahudi dari segi pencapaian akademik.
Kajian yang juga dilaksanakan oleh Gallup itu mendapati 40 peratus umat Islam di AS mempunyai kelulusan sarjana muda atau lebih berbanding 29 peratus bagi keseluruhan penduduk Amerika. Walaupun angka ini lebih rendah daripada bangsa Yahudi di AS yang mencatatkan 61 peratus lulusan sarjana muda atau lebih, ia tetap menyerlahkan potensi umat Islam untuk muncul sebagai anggota masyarakat yang cemerlang, walaupun di AS.
Apa yang lebih membanggakan dalam kajian sama ialah pencapaian wanita Islam di AS dalam bidang pendidikan adalah sama dengan pencapaian wanita bukan Islam, mahupun lelaki bukan Islam.
Bukan sekadar pendidikan tetapi paras pendapatan wanita Islam AS turut seimbang dengan lelaki dan wanita AS yang bukan Islam.
Wanita Muslim di AS menyerlah berbanding wanita agama lain jika dibandingkan dengan pencapaian golongan lelaki dalam kelompok agama masing-masing. Di AS, 42 peratus wanita Muslim mempunyai kelayakan sarjana muda atau lebih berbanding 39 peratus bagi lelaki Muslim Amerika.
Bandingkan perangkaan ini dengan perangkaan wanita Yahudi di AS yang mencatat pencapaian enam peratus lebih rendah berbanding lelaki Yahudi dan secara keseluruhan di AS hanya 29 peratus wanita mempunyai kelulusan sarjana muda atau lebih berbanding 30 peratus bagi lelaki.
Walaupun mencatatkan kejayaan yang membanggakan ini, wanita Islam ini tetap memegang kuat kepada agama mereka. Kajian yang sama mendapati kekerapan wanita Muslim AS mengunjungi masjid adalah sama seperti Muslim lelaki.
Bandingkan perangkaan ini dengan wanita di negara Islam sendiri. Apakah wanita Islam di negara Islam sama kerap mengunjungi masjid seperti lelaki? Wallahu'alam.
Berita ini membuktikan bahawa umat Islam sebenarnya boleh dikagumi jika usaha dilaburkan ke arah pembangunan insan dan tidak kepada tindakan sia-sia seperti serangan bunuh diri, sama ada memenuhi tuntutan agama atau tidak.
Jika umat Islam di AS yang hidup dalam kelompok minoriti dapat cemerlang dalam bidang pendidikan, sudah tentu umat Islam di negara sendiri harus lebih menyerlah lagi. Apa yang diperlukan ialah negara Islam menyedari bahawa pelaburan dalam membangunkan modal Islam amat perlu diutamakan dan suasana sosiopolitik haruslah sesuai untuk memupuk kecemerlangan ini.
Friday, March 06, 2009
prejudis barat terhadap islam tidak pernah hilang
ILHAM DARI PUTERA at 7:34:00 AM