Mencari Hasil Ilmu

Saturday, December 04, 2010

FATWA-FATWA ULAMA BERKENAAN MENJATUHKAN PEMERINTAH

3. Fatwa Syeikh Shalih Fauzan Al-Fauzan

Soalan 2:

Amat dikesali, di sana ada yang mengharuskan kederhakaan kepada sesebuah kerajaan tanpa sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, apakah dasar yang harus kami ikuti apabila berurusan dengan pemerintah Islam dan pemerintah bukan Islam?

Jawapan:

Pemerintah Islam wajib ditaati dan dipetuhi. Allah Ta’ala berfirman:

Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisa': 59)

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pula menyebut dalam hadisnya yang bermaksud:

“Aku berpesan kepada kamu agar bertakwa kepada Allah dan mentaati pemimpin kamu, sesungguhnya barangsiapa yang hidup selepas kamu akan melihat banyak perpecahan (perselisihan), maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin selepasku, berpegang teguhlah kamu dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham (jangan lepaskan ia).”

Hadis ini menepati ayat yang sebelumnya. Dalam hadis yang lain, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda lagi dengan maksudnya:

“Barangsiapa yang mentaati pemerintah, sesungguhnya ia telah mentaati aku, barangsiapa yang mengingkari pemerintah, sesungguhnya ia telah mengingkari aku.”

Terdapat juga hadis-hadis lain yang menuntut kita agar mentaati pemerintah antaranya ialah:

“Dengar dan taatlah walaupun hartamu dirampas dan dipukul belakangmu.”
Pemerintah Islam wajib ditaati selagi mana ia mentaati perintah Allah. Sekiranya dia menyuruh maksiat, maka dia tidak perlu ditaati (maksiat tersebut).

Adapun berurusan dengan pemerintah yang bukan Islam berbeza mengikut keadaan-keadaan yang tertentu. Sekiranya orang Islam mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk memeranginya, maka ia perlu ditumbangkan, kemudian pemerintah Islam perlu dilantik. Ini dianggap sebagai usaha jihad di jalan Allah.

Sebaliknya, jika orang Islam tidak mampu menumbangkannya, maka tidak harus menentangnya kerana ia akan lebih memudaratkan dan melemahkan umat Islam.

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berada di Makkah selama 13 tahun selepas pelantikannya sebagai Rasul dan Makkah pada waktu itu di bawah pemerintah orang kafir. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersama-sama sahabat-sahabatnya tidak memberontak dan tidak memerangi orang kafir pada waktu itu. Peperangan tidak dibenarkan melainkan selepas hijrah Nabi ke Madinah, selepas terbentuknya daulah Islamiyyah dan jemaah Islam yang berupaya memerangi orang kafir. Inilah dasar Islam.

Orang Islam perlu berpegang dengan agama Islam dan mempertahankan akidah mereka jika mereka berada di bawah pemerintahan bukan Islam yang tidak mampu ditumpaskannya. Mereka tidak perlu membahayakan diri mereka dengan menentang orang kafir kerana ia akan melemahkan gerakan dakwah. Jika mereka telah mempunyai kekuatan untuk berjihad, mereka perlu berjuang di jalan Allah mengiku landasan syariah.