Mencari Hasil Ilmu

Tuesday, August 24, 2010

Penentangan terhadap Park51 di Ground Zero

TIDAK kira sama ada percaturan politik negara maju atau dunia ketiga, berbaga-bagai helah dan isu digunakan untuk melangsungkan agenda politik masing-masing yang kelazimannya membelakangkan kebenaran dan kepentingan rakyat negara tersebut.

Amerika Syarikat (AS) umpamanya sebuah negara yang dianggap mempunyai proses demokrasi yang paling matang telah mempamerkan bagaimana ahli politik mereka telah mempermainkan isu agama untuk meraih undi simpati pengundi.

Cadangan projek pusat kebudayaan Islam dan masjid berhampiran dengan tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) sememangnya mengundang kontroversi kerana lokasinya berhampiran dengan 'Ground Zero' iaitu tapak runtuhan yang musnah dalam serangan 11 September 2001.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa projek yang dikenali sebagai Park51 Cordoba House itu yang meliputi sebuah bangunan 13 tingkat untuk menempatkan sebuah masjid, auditorium, kolam renang dan bilik mesyuarat menjadi perbualan hangat rakyat AS kerana sensitiviti isu tersebut.

Tetapi isu Park51 menjadi bertambah parah dan terpesong apabila ahli politik dari kedua-dua belah pihak iaitu Demokrat dan Republikan mempermainkan sentimen rakyat AS gara-gara pemilihan perwakilan dan gabenor separuh penggal yang bakal diadakan pada bulan November akan datang.

Pelbagai tohmahan dan analogi digunakan oleh pihak yang menentang Park51 untuk menegakkan hujah masing-masing dan yang paling mengaibkan sekali adalah cubaan untuk mengaitkan peristiwa keganasan dengan agama Islam.

Newt Gingrich bekas speaker Dewan Perwakilan Kongres AS memberi analogi membenarkan Park51 di Ground Zero adalah serupa dengan memberi kebenaran kepada Jepun membina tugu peringatan di Pearl Harbor. Beliau tanpa berselindung menuduh Islam bertanggungjawab terhadap serangan 11 September.

Malah Gingrich dengan angkuh membuat persamaan bahawa pihak Nazi tidak mempunyai hak meletakkan sebarang tanda atau peringatan berdekatan dengan Muzium Holocaust di Washington.

Sarah Palin iaitu calon Naib Presiden parti Republikan pada pemilihan presiden AS yang lepas sudah lazim dengan sifat beliau yang gemar melemparkan hujah dangkal. Ground Zero pada pendapat Palin ialah kawasan suci bagi rakyat AS dan membenarkan pembinaan masjid di kawasan tersebut merupakan satu pengkhianatan terhadap mangsa tragedi 11 September.

"Islam sudah pasti sama sekali tidak akan mengizinkan kewujudan gereja di Mekah dan kami juga mempunyai pegangan yang serupa mengenai Ground Zero," adalah di antara hujah yang selalu diungkitkan oleh ahli politik yang bertanding.

Presiden Barack Obama walaupun tidak menentang projek Park51 tetapi terpaksa akur dengan tekanan politik dari kedua-dua belah pihak Demokrat dan Republikan.

Ketika meraikan diplomat asing beragama Islam berbuka puasa di White House pada Jumaat, 13 Ogos lepas, beliau memberi jaminan bahawa AS menghormati kebebasan beragama dan ini termasuklah pembinaan masjid berhampiran Ground Zero.

Tetapi setelah menerima kritikan keras terhadap kenyataan tersebut, Presiden Obama menjelaskan bahawa sokongan beliau terhadap Park51 hanyalah berkaitan dengan kehendak undang-undang dan ordinan yang telah dipenuhi oleh kontraktor projek tersebut dan bukan mengenai kewajaran pembinaannya berhampiran dengan Ground Zero.

Perlu ditekankan bahawa faktor yang menjadi dorongan terhadap projek Park51 adalah sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Inisiatif Cordoba yang mempunyai misi untuk memperkukuhkan hubungan Islam-Barat dalam masa dekad yang akan datang.

Imam Feisal Rauf salah seorang pendokong kuat Inisiatif Cordoba dan Park51 mempunyai harapan tinggi terhadap pusat kebudayaan Islam Park51 yang mampu mempercepatkan proses inisiatif tersebut.

Malah Jabatan Negara AS telah memberi kepercayaan kepada Imam Feisal dengan melantik beliau sebagai wakil khas AS untuk memberi penjelasan kepada Arab Saudi mengenai kehidupan rakyat AS yang beragama Islam di Amerika.

Park51 boleh dianggap sebagai wadah untuk memberi gambaran sebenar mengenai Islam kepada rakyat AS yang mempunyai persepsi buruk terhadap apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Islam.

Malah lokasi Park51 yang berhampiran dengan Ground Zero adalah begitu istimewa sekali yang menggambarkan sikap bertolak ansur Amerika itu sendiri terhadap agama Islam dan penganutnya.

Kewujudan dua masjid sedia ada di kawasan tersebut yang kadangkala dikenali sebagai TriBeCa adalah manifestasi sikap sebenar rakyat AS.

Penentangan terhadap Park51 sebenarnya itulah senario yang diidam-idamkan oleh pemimpin Al-Qaeda Osama Bin Laden supaya berlaku pertembungan di antara Islam dan Barat. Tetapi oleh kerana begitu rakus dengan kedudukan politik masing-masing, rakyat AS turut terjebak dalam permainan politik kotor.

Ahli politik AS sepatutnya mengambil iktibar dan pengajaran dari keputusan yang telah diambil oleh Suruhanjaya Pemuliharaan Bangunan New York yang menolak permohonan untuk menjadikan bangunan sedia ada Park51 sebagai bangunan bersejarah. Permohonan ini hanyalah satu helah untuk menggagalkan projek Park51.

Seperti yang telah ditekankan oleh Datuk Bandar New York Michael Bloomberg, Park51 yang dianggarkan akan menelan belanja AS$100 juta mampu dijadikan pusat titik persamaan di antara rakyat Amerika yang beragama Islam dan lain-lain agama.

Kontroversi Park51 bukan sahaja telah menghilangkan kewarasan ahli politik AS tetapi juga beberapa pertubuhan yang memperjuangkan konsep kebebasan. Anti-Defamation League (ADL) iaitu pertubuhan pro-Yahudi yang selama ini menolak keras sifat anti-semitik tetapi agak aneh mengambil pendirian menolak Park51 dengan alasan masjid sepatutnya tidak dibina dalam bayangan WTC.

Sekali lagi amat mengaibkan sebuah pertubuhan seperti ADL yang dikatakan mempunyai asas perjuangan yang menolak sikap diskriminasi telah meluahkan pandangan yang dianggap sebagai fanatik tidak ubah seperti kumpulan Ku Klux Klan. Malah tidak keterlaluan jika diandaikan hujah yang digunakan untuk menolak Park51 adalah serupa dan selari seperti yang telah digunakan oleh KKK satu masa dahulu.