Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, January 06, 2010

Majlis Fatwa, gereja Katolik perlu semuka

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Gereja Katolik disaran mengadakan pertemuan bagi mencari penyelesaian berhubung isu penggunaan kalimah Allah yang menjadi polemik ketika ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pertemuan itu perlu bagi menyampaikan kekhuatiran umat Islam kepada penerbit akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly itu.

Pertemuan itu juga katanya, bagi membolehkan pandangan kedua-dua pihak dapat difahami tanpa perlu dipanjangkan di media, sekali gus mengurangkan ketegangan hubungan antara kaum dan agama.

"Pemuda UMNO percaya isu sensitif ini memerlukan penyelesaian menyeluruh supaya prinsip saling menghormati dapat dipelihara melalui sesi dialog antara kedua-dua pihak.

"Harapan kami agar sesi dialog ini mampu menjadi medan untuk kedua-dua pihak berbincang tanpa melibatkan perdebatan di dada akhbar bagi mencari jalan penyelesaian kepada kemelut ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas polemik beberapa pihak berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan itu menggunakan perkataan Allah.