Mencari Hasil Ilmu

Monday, January 04, 2010

Kes kontroversi jadi hikmah akibat ummah kerap berbalah

KEDATANGAN 2010 yang sepatutnya dipenuhi harapan dan keyakinan baru mengenai masa depan negara pelbagai kaum ini, diselaputi kebimbangan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly, menggunakan perkataan 'Allah.' Hakim Datuk Lau Bee Lan, Khamis lalu memutuskan akhbar itu boleh menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Gereja Katolik terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 yang melarang penggunaan perkataan itu.

Katanya, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama dan kedua gagal mengemukakan bukti bahawa penggunaan perkataan 'Allah' boleh mengancam keselamatan negara dan menimbulkan salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam negara ini, selain penerbitan majalah hanya terhad kepada penganut agama Kristian.

Pada 16 Februari tahun lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan 'Allah' dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam. Isu ini dikhuatiri menggugat keharmonian kaum kerana sebahagian besar umat Melayu/Islam di negara ini amat sensitif terhadap soal agama, apa lagi berhubung penggunaan perkataan Allah.

Memang benar Allah turut digunakan dalam Bible berbahasa Arab dan dirujuk sebagai Tuhan penganut Kristian di beberapa negara lain. Bagaimanapun, di kalangan umat Melayu/Islam di negara ini, sejak sekian lama ' Allah' merujuk khusus kepada Tuhan yang disembah oleh mereka. Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 mencapai keputusan bersetuju bahawa lafaz 'Allah' adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

Dan bagi kebanyakan orang Melayu/Islam, terutama yang konservatif dan tinggal di luar bandar, mungkin ramai yang tidak pernah mendengar ada agama lain menggunakan nama Allah sehingga isu ini muncul lebih setahun lalu. Kerana itu, tidak hairanlah apabila ramai yang mempersoalkannya apabila mahkamah membuat keputusan. Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi itu belum muktamad kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan, pelbagai pertubuhan dan individu Islam menyuarakan bantahan sama ada melalui perhimpunan, kenyataan media atau dalam forum di internet.

Kita dapat memahami jika tuntutan itu dibuat dari kalangan penganut Kristian, kebanyakannya ahli Sidang Injil Borneo di Sabah dan Sarawak kerana sebelum dua negeri itu bergabung dalam Malaysia, mereka menggunakan istilah itu ketika merujuk kepada Tuhan mereka. Bagaimanapun, tuntutan ini dibuat oleh gereja mazhab terbesar Kristian di Lembah Klang, yang kebanyakan ahlinya bukan orang Melayu, yang tentunya bukan menjadikan bahasa Melayu sebagai perantaraan utama mereka.

Isu ini perlu ditangani dengan penuh bijaksana serta memerlukan lebih daripada keputusan mahkamah dan tafsiran undang-undang semata-mata. Sebab itulah, ada cadangan supaya Majlis Raja-Raja Melayu selaku ketua agama Islam seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan campur tangan bagi menyelesaikan isu ini. Kita juga berharap pihak yang membantah perkara ini jangan terlalu emosional sehingga melakukan perkara yang bukan saja melanggar undang-undang tetapi mencemarkan kesucian Islam itu sendiri.

Pada masa sama, masyarakat bukan Islam perlu menjaga sensitiviti umat Melayu/Islam di negara ini dengan mengelak melakukan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Orang Islam wajib percaya bahawa di sebalik setiap kejadian itu, ada hikmah tersembunyi. Justeru, dalam kita meluahkan kemarahan terhadap apa yang berlaku ini, kita juga dituntut mencari puncanya kenapa semakin banyak pihak berani melakukan perkara yang kita anggap mencabar kesucian Islam.

Satu jawapannya seperti yang turut berlaku di negara umat Islam lain ialah kerana perpaduan umat Islam semakin rapuh. Selagi umat Islam berbalah sehingga melupakan keutamaan sebenar, iaitu menjaga kepentingan ummah, akan sentiasa ada pihak yang mengambil kesempatan. Hikmah awal daripada isu ini ialah ramai pemimpin Umno dan Pas, dua parti terbesar orang Melayu/Islam di negara ini mengambil pendirian serupa dalam menyatakan bantahan seperti dilihat dan didengar sejak beberapa hari lalu walaupun ada satu dua suara yang menyatakan sebaliknya.