Mencari Hasil Ilmu

Sunday, January 03, 2010

Kalimah Allah: Ingat prinsip penubuhan negara

Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly seolah-olah tidak menghormati prinsip penubuhan negara ini.

Ahli seumur hidup Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Sarjan (B) Ismail Kassim berkata, prinsip berkenaan berasaskan sikap hormati menghormati antara semua kaum dan agama dengan mengutamakan kepentingan Islam.

Menurutnya, keputusan itu amat mendukacitakan beliau serta rakan-rakannya dalam persatuan itu.

"Pengorbanan dan peranan kami dalam menubuhkan Malaysia moden berasaskan Perlembagaan Persekutuan dengan mengutamakan hal berkaitan Islam seolah-olah tidak dikenang.

"Ramai rakan seperjuangan yang terkorban demi keamanan. Keputusan ini boleh menimbulkan kekeliruan. Ingatlah asas penubuhan negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Hakim Datuk Lau Bee Lan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald-The Catholic Weekly.

Ketua Penerangan Kelab Bekas Tentera British Malaysia (KBTBM), Rahman Adam pula memberitahu, keputusan itu amat memeranjatkan serta boleh mengelirukan generasi umat Islam pada masa hadapan.

Katanya, umat Islam di negara ini sejak dahulu memahami kalimah Allah dikhususkan merujuk kepada Tuhan yang satu.

Jelasnya, ini berbeza dengan konteks ketuhanan Kristian yang berpaksikan konsep Triniti iaitu Tuhan, Anak Tuhan dan Roh Suci.

"Justeru, saya setuju keputusan kerajaan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada Khamis lalu," tegasnya.

Naib Presiden Persatuan Kebajikan Keluarga Bekas Polis dan Tentera (Poltera), Mejar (B) Ahmad Arshad menegaskan, keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin boleh memecahbelahkan penganut pelbagai agama di negara ini.

"Ia (keputusan) bukan saja mengelirukan umat Islam sebagai penduduk majoriti negara ini.

"Malah saya yakin ia akan turut mengelirukan penganut Kristian Katholik tempatan dan seterusnya menyebabkan perpecahan dalam masyarakat," ujarnya.

Justeru jelasnya, kerajaan melakukan langkah tepat apabila membuat keputusan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.

Sementara itu di Pulau Pinang, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) menganggap tindakan akhbar mingguan Herald-The Chatolic Weekly mahu menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya sebagai satu perbuatan biadab.

Setiausaha Khasnya, Zainal Abidin Ahmad berkata, tindakan itu jelas melanggar asas perlembagaan serta membelakangkan kuasa rajaraja Melayu yang telah mengiktiraf kalimah Allah hanya milik orang Islam.

"Kita menghormati kedaulatan undang-undang di negara ini tetapi keputusan itu benar-benar menyentuh soal kesucian agama dan ia jelas mengaibkan umat Islam," tegasnya.