Mencari Hasil Ilmu

Saturday, January 02, 2010

Kalimah Allah eksklusif untuk Islam

Penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk agama Islam sahaja kerana ia sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran dan langsung tidak terdapat dalam kitab agama lain.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, keputusan mahkamah membenarkan kalimah itu digunakan oleh agama lain adalah satu tragedi dan hadiah paling tidak berharga kepada umat Islam sempena tahun baru.

Tegasnya, kalimah Allah bukan sesuatu yang boleh dipermainkan tambahan pula jika digunakan oleh penganut agama lain kerana boleh menyentuh sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

''Walaupun terpaksa menerima keputusan mahkamah dengan berat hati tetapi kami menyifatkannya sebagai tragedi.

"Kalimah Allah merupakan sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran yang pada setiap masa tanpa sebarang kompromi tidak boleh dikongsi oleh mana-mana pihak selain penganut Islam.

''Ia tiada dalam 'kamus' agama lain dan jika masih ingin digunakan, ia membawa maksud untuk mempermain-mainkan kesucian kalimah ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sheikh Abdul Halim turut mempertikaikan tindakan KDN sebelum ini yang membenarkan penggunaan perkataan Allah itu tanpa terlebih dahulu merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam dalam membuat keputusan.

Sehubungan itu katanya, PUM mendesak kerajaan supaya menjernihkan perkara itu kerana sensitiviti agama bukannya hak persatuan itu sahaja tetapi turut membabitkan kepentingan umat Islam di negara ini yang merupakan kumpulan majoriti.

Sementara itu, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid menegaskan masalah itu berpunca daripada sikap umat Islam sendiri.

Katanya, perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini menyebabkan penganut agama lain secara terang-terangan berani mengambil kesempatan daripada kelemahan itu.

"Jika pemimpin politik yang berkuasa dan mempunyai pengaruh masih lagi tidak sedar dan insaf, kebarangkalian pada masa akan datang penganut agama lain untuk terus mengambil kesempatan adalah terlalu besar.

"Tidak mustahil akan ada lagi beberapa kejutan besar dan semuanya berpunca daripada kelemahan kita sendiri yang terlalu sibuk berpolitik. Fikir, renung dan muhasabah diri sendiri jangan sampai maruah agama terus tergadai," katanya.

Mahmood Zuhdi seterusnya menggesa kerajaan supaya menggunakan peruntukan kuasa-kuasa pentadbiran legislatif dan eksekutif bagi merungkai ketegangan ini.

Ini kerana katanya, jika dibiarkan berlanjutan ia dikhuatiri boleh mengundang musibah yang akhirnya sukar untuk ditangani apabila isu tersebut menjadi terlalu serius.

"Pandangan saya ini bukan bermakna umat Islam tidak menghormati keputusan mahkamah, kita terima dan akur sebagai menghormati keluhuran undang-undang tetapi dengan perasaan penuh dukacita dan sedih," katanya.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula dalam satu kenyataan membantah keputusan mahkamah itu dan menggesa KDN supaya segera memfailkan rayuan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, pihaknya bimbang keputusan itu boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara akibat sentimen beragama umat Islam yang amat sensitif terhadap perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka.

"PPIM hairan mengapa kini baru ditimbulkan soal merujuk tuhan agama Kristian sebagai Allah. Selama ini tuhan yang mereka sembah itu hanya dirujuk di dalam kitab suci mereka sebagai Lord sahaja.

"Kita percaya penerbitan itu mempunyai agenda tertentu apabila mahu menggunakan kalimah Allah dan sudah tentu ia bukan sesuatu yang baik untuk semua pihak termasuk penganut agama Kristian kerana tiada siapa yang beruntung jika rusuhan agama berlaku," ujarnya.