Mencari Hasil Ilmu

Saturday, January 16, 2010

Jordan kembalikan hak wanita

SEMAKIN ramai wanita Jordan bertindak berani memperjuangkan hak mereka dan memfailkan permohonan cerai daripada suami masing-masing sejak enakmen undang-undang membenarkan mereka berbuat demikian diluluskan pada 2001, kata satu laporan rasmi.

Jabatan Ketua Keadilan Islam Jordan dalam satu perangkaan rasmi yang dikeluarkan menyatakan, lebih 1,500 kes tebus talak dan permohonan cerai dikemukakan setiap tahun sejak undang-undang sementara memberi hak kepada wanita untuk bercerai daripada suami masing-masing, berbanding hanya 300 hingga 400 kes sebelum undang-undang sementara itu diluluskan.

Undang-undang Khula, undang-undang sementara yang diluluskan menyatakan bahawa wanita di Jordan boleh ‘menceraikan’ suami mereka dengan syarat mereka menggugurkan tuntutan nafkah dan mengembalikan mas kahwin yang diterima ketika pernikahan.

"Wanita Jordan semakin sedar hak mereka di dalam perkahwinan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas suami jika mereka berasa tidak bahagia. Wanita Jordan juga semakin berpendidikan.

"Mereka bekerja serta menyara diri sendiri dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salah laku suami atau kesukaran hidup berumahtangga," kata Profesor Madya Sosiologi, Hussein Khuzaii

Sebelum enakmen undang-undang Khula diluluskan, proses perceraian bagi seseorang wanita di Jordan amat sukar dan sering mengambil masa yang lama sebelum dapat diselesaikan.

"Sebelum undang-undang ini diluluskan wanita yang mahu berpisah daripada suami sering kali menghadapi kesulitan untuk berbuat demikian. Ia amat sukar dan memeningkan, termasuk perbicaraan yang kadang-kadang mengambil masa lebih dua tahun untuk diselesaikan," kata peguam dan aktivis wanita Inaam Asha.

Beliau merujuk kepada kes seorang wanita berusia 26 tahun, Khadija yang diwakilinya di mahkamah.

"Sejak awal 2000 Khadija sudah beberapa kali memfailkan permohonan cerai berikutan masalah ekonomi dan kegagalan suaminya memenuhi tanggungjawab dan memberi nafkah, tetapi gagal.

"Bagaimanapun selepas undang-undang Khula diluluskan sebagai sebahagian daripada Undang-Undang Status Peribadi pada 2001, Khadija dibenarkan bercerai daripada suaminya serta-merta," kata Asha.

Kes Khadija adalah satu di antara beribu-ribu kes membabitkan wanita yang bersedia bertindak tegas untuk meninggalkan suami berikutan enakmen itu yang turut menyatakan bahawa segala proses tidak boleh mengambil masa lebih enam bulan.

Aktivis wanita mengalu-alukan undang-undang itu dan menegaskan bahawa sejak berdekad lalu, beribu-ribu wanita yang mahu bercerai daripada suami mereka terpaksa menghadapi pelbagai masalah.

"Semakin ramai wanita menggunakan undang-undang Khula untuk mengakhiri perkahwinan yang tidak lagi mampu dipertahankan," katanya.

Ahli Majlis Al Ifta, sebuah badan yang bertanggungjawab dalam masalah agama, Abdul Nasser Abul Basal berkata, undang-undang Khula bertujuan melindungi hak dan maruah wanita di negara itu.

"Ia dibenarkan bagi kes yang sudah sampai pada tahap tidak mampu dipertahankan dan lebih menimbulkan masalah jika perkahwinan itu diteruskan. Undang-undang Khula memberi wanita hak untuk memilih perceraian bagi mengakhiri perkahwinan, berbanding persetujuan bersama yang diperlukan sebelum ini," katanya.

Pakar menyatakan bahawa kesukaran ekonomi adalah faktor utama yang menyebabkan ramai wanita menggunakan Khula untuk berpisah daripada pasangan mereka, diikuti keganasan rumah tangga, perkahwinan pada usia terlalu awal atau suami mati pucuk.

Seorang lagi peguam, Mahmoud Qteishat yang mengendalikan kes serupa di mahkamah berkata kedudukan ekonomi yang semakin sukar di Jordan adalah punca utama semakin ramai wanita mahu berpisah daripada suami mereka.

"Apabila kemiskinan melanda, cinta adalah perkara pertama yang akan menjadi 'mangsa'. Masalah kewangan sering kali menyebabkan hubungan keluarga menjadi renggang" katanya.

Bagaimanapun, berikutan tuntutan perceraian oleh isteri dianggap suatu perkara yang 'memalukan dan aib' bagi lelaki Arab, ramai di antara mereka lebih suka menceraikan isteri 'dengan segera' apabila mendapat tahu pasangan mereka bercadang mengemukakan tuntutan di bawah undang-undang Khula.

"Lelaki Jordan biasanya lebih suka menceraikan isteri bagi mengelak tanggapan negatif masyarakat terhadap mereka," katanya.

Pendapat ini disokong Khuzaii yang berkata: “Bagi lelaki Arab, adalah amat memalukan jika mereka 'diceraikan' oleh isteri. Biasanya mereka akan menceraikan isteri dengan segera bagi 'menjaga maruah'.”

Pakar dan aktivis wanita bagaimanapun berharap undang-undang sementara ini akan dikekalkan bagi memastikan masa depan dan perlindungan ke atas wanita.

"Selagi undang-undang itu masih bersifat sementara, keadaan mungkin kembali sebelum 2001," kata Asha.